Home » » Bangkai khinzir digunakan untuk menghasilkan makanan

Bangkai khinzir digunakan untuk menghasilkan makanan

Written By canang on Isnin, 16 Mei 2011 | 5/16/2011 01:00:00 PTG


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media oleh NTV 7yang disiarkan di dalam Edisi Siasat Mandarin berkaitan isu khinzir yang telah mati di Tanjung Sepat, Selangor yang digunakan untuk menghasilkan makanan yang terproses.Berita berkenaan melaporkan, bahawa penternak khinzir tersebut telah menjual bangkai haiwan berkenaan untuk menghasilkan makanan seperti sosej daging, daging salai, dim sum dan pau.

KKM memandang serius terhadap perkara ini. KKM sedang menjalankan siasatan berkenaan isu ini. Jika KKM mendapati isu ini berasas, maka tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 13A, Akta Makanan 1983.


Seksyen 13A memperuntukkan larangan penyediaan atau penjualan makanan yang mengandungi binatang atau sayuran yang berpenyakit, kotor, reput atau bangar, apa-apa bahagian binatang yang tidak sesuai untuk dijadikan makanan dan hasil binatang yang sudah mati selain kerana disembelih atau sebagai binatang buruan. Mana-mana orang yang melanggar seksyen tersebut adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi lapan tahun atau kedua-duanya.

KKM memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini supaya dapat tampil untuk memberikan maklumat agar dapat membantu siasatan. Orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM iaitu http://fsq.moh.gov.my atau melalui email fsq-division@moh.gov.my.

KKM tidak akan berkompromi berkaitan isu keselamatan makanan dan berharap orang ramai tidak khuatir dengan makanan yang ada di pasaran kerana KKM sentiasa memantau tahap keselamatan makanan yang dijual.

*Kenyataan media oleh Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia pada 13 Mei 2011.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger