Home » » Penyokong Mursi kini ikrar sedia mati

Penyokong Mursi kini ikrar sedia mati

Written By canang on Sabtu, 3 Ogos 2013 | 8/03/2013 03:00:00 PTG


Kerajaan Mesir yang disokong tentera pada Khamis memberi amaran kepada penyokong presiden Mohamed Mursi yang digulingkan supaya meninggalkan kem tunjuk perasaan di Kaherah, dengan menjanjikan jalan keluar selamat tanpa pertempuran.

Rayuan itu dibuat oleh jurucakap kementerian dalam negeri Hany Abdel Latif dalam saluran televisyen negara selepas kerajaan pada Rabu memberi amaran bertindak menamatkan tunjuk perasaan dua minggu oleh ribuan penyokong Mursi.

Sejak tentera menggulingkan Mursi, pemimpin kumpulan Islamis pada 3 Julai, pemimpin-pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin dituduh menghasut keganasan.

Amaran terkini dikeluarkan berhubung kemungkinan berlakunya pertumpahan darah akibat ketegangan berterusan.

Latif berkata, jika penunjuk perasaan meninggalkan tapak bantahan mereka secara aman, mereka akan menjamin keselamatan kumpulan itu. Tiada tarikh akhir ditetapkan.

"Tiada tarikh tepat (ditetapkan). Kami akan terus melihat keadaan di lapangan," kata Latif kepada Reuters.

Sehingga Khamis, penunjuk perasaan tidak menghiraukan kenyataan itu dan bersedia untuk kemungkinan terburuk.

Di kem Rabaa al-Adawiya, sampah sarap dibersihkan bagi memudahkan laluan ambulans. Pasir-pasir ditimbun di sekitar kawasan untuk menimbus kanister gas pemedih mata yang mungkin dilepaskan.

Di balik benteng pasir, batu-batu juga dikumpulkan untuk dijadikan senjata jika perlu.

"Kami sudah bersedia. Kami bersedia untuk mati demi legitimasi. Serangan boleh berlaku pada bila-bila mata sahaja," kata Mohamed Saqr, aktivis Ikhwan yang mengawal laluan masuk tempat perkhemahan di masjid di Kaherah Utara.

Polarisasi di Mesir sekarang paling ketara sejak autokrat yang disokong Amerika Syarikat Hosni Mubarak digulingkan pada 2011, sekali gus bermulanya peralihan politik penuh pergolakan.

Mursi menjadi pemimpin pertama Mesir yang dipilih secara demokratik oleh rakyat pada Jun 2012 tetapi menghadapi tentangan kemudiannya apabila gagal menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi yang sentiasa menjadi ketakutan di negara itu








Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger