Home » » Undang-undang adil & telus cegah demonstrasi - Raja Dr Nazrin

Undang-undang adil & telus cegah demonstrasi - Raja Dr Nazrin

Written By canang on Rabu, 12 Mac 2014 | 3/12/2014 12:05:00 PG

KUALA LUMPUR: Keadilan sejati menuntut kepada pelaksanaan undang-undang yang adil, saksama, telus dan jujur, titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah (gambar).
  
Baginda bertitah pelaksanaan perundangan secara telus dan jujur akan membuatkan rakyat sedar bahawa keadilan dilaksanakan dan menerima sesuatu undang-undang tanpa ragu.
  
"Jaminan keadilan tidak ditentukan atau dijamin melalui dokumen undang-undang secara bertulis, struktur organisasi yang moden dan peralatan yang canggih namun keadilan sejati menuntut kepada pelaksanaan perundangan yang telus dan jujur.
  
"Pihak pelaksana undang-undang termasuk mahkamah serta pegawai-pegawainya iaitu hakim, pendakwa raya dan peguam bela mempunyai tanggungjawab penting untuk menjamin keadilan dan demokrasi selain 
integriti pemerintahan awam dalam sesebuah negara dapat dipertahankan," titah baginda.
  
Raja Nazrin bertitah pada Majlis Konvokesyen Ke-19, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2013 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Baginda bertitah pelaksanaan undang-undang secara adil dan telus dapat mencegah rakyat daripada mengadakan demonstrasi.
  
Menyentuh mengenai akses khidmat bantuan guaman kepada golongan berpendapatan rendah, Raja Nazrin bertitah Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) ditubuhkan pada 25 Feb 2011 bagi memperluas akses khidmat guaman kepada golongan sasar.
  
Titah baginda, YBGK merupakan suatu komitmen penting kerajaan melalui suatu keputusan politik berani yang diperkukuhkan melalui gerak kerja dinamik serta pencapaian meyakinkan agar penubuhan yayasan itu tidak dipersendakan.
  
"YBGK hendaklah dipastikan berjaya memberi impak, mencetus perubahan signifikan dan positif dalam menegakkan keadilan negara. Pendukung YBGK walaupun berhadapan pelbagai cabaran tetapi berpeluang mencipta dan melakar sejarah kejayaan melalui sistem penyampaian dan khidmat guaman berkualiti tinggi," titah baginda.
  
Menurut Raja Dr Nazrin, sejak ditubuhkan YBGK telah mendapat sambutan menggalakkan dengan 1,075 orang telah tampil melibatkan diri sebagai peguam manakala pada 2013, sebanyak 140,761 rakyat seluruh negara telah mendapat manfaat bantuan guaman YBGK.

Baginda bertitah, keadilan akan tercicir sekiranya khidmat guaman hanya berpihak kepada masyarakat daripada golongan berpendapatan tinggi dan kumpulan elit sahaja.
  
"Lapan puluh peratus tertuduh bagi kes jenayah di negara ini tidak diwakili peguam disebabkan faktor kewangan," titah baginda sambil menyeru agar akses khidmat guaman tanpa diskriminasi menjadi faktor utama bagi memastikan pengurusan keadilan dilakukan secara saksama.
  
Baginda bertitah rangkaian hubungan profesional dan semangat saling menghormati antara tiga entiti utama terdiri daripada Institusi Kehakiman, Jabatan Peguam Negara dan Majlis Peguam adalah amat penting dipupuk.
  
"Penghormatan itu tidak datang bergolek, ia perlu diusahakan melalui amalan integriti dan etika profesional yang tinggi," titah baginda.
  
Terdahulu, Raja Nazrin turut mengucapkan tahniah kepada lulusan Peperiksaan Sijil Amalan Guaman 2013 yang telah memenuhi kriteria dan layak dianugerahkan Sijil Amalan Guaman.
  
Baginda berharap pemegang sijil tersebut akan memenuhi peranan serta tanggungjawab kepada anak guam dengan komitmen dan dedikasi tinggi.
  
"Wakililah anak guam sebaik mungkin, berhujahlah dengan berhemah dan bijaksana. Hindarkan daripada melakukan sesuatu hingga memungkinkan tercicirnya keadilan serta menghalalkan berlakunya kezaliman," titah baginda. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger