Home » » Berita Terbaru Pencarian Pesawat MH370

Berita Terbaru Pencarian Pesawat MH370

Written By canang on Isnin, 12 Mei 2014 | 5/12/2014 06:21:00 PTG

Pesawat terakhir Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 Hercules yang menyertai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Perth, Australia, selamat tiba di Pangkalan Udara TUDM Subang pada 11 pagi ini.
Ketibaan pesawat itu yang membawa 11 pegawai dan 13 anggota lain-lain pangkat (LLP) disambut Panglima 1 Divisyen Udara, Mejar Jeneral Datuk Azizool Arif Abdul Ghani, pegawai TUDM dan anggota keluarga kru.

Azizool Arif berkata pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Pearce, Perth, pada 11 malam waktu tempatan dan singgah di Jakarta, Indonesia sebelum meneruskan perjalanan ke Pangkalan Udara TUDM Subang.
"Bagi operasi ini (mencari MH370), TUDM telah menghantar tiga  pesawat C130H daripada No.20 Skuadron TUDM ke Perth, Australia untuk menyertai tujuh buah negara lain dalam mengembleng usaha mencari pesawat berkenaan.
"Dua buah pesawat telah berlepas ke sana pada 28 Mac lalu manakala sebuah lagi pada 5 April...dua pesawat yang pergi lebih awal sudah kembali ke tanah air pada 30 April dengan membawa 19 pegawai dan 35 anggota LLP," katanya kepada pemberita.
Azizool Arif berkata sepanjang hampir 42 hari terlibat dalam misi mencari MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas, kesemua kru telah menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi dan komitmen jitu.
"Saya percaya dengan pengalaman ini, mereka akan berupaya berdepan dengan pelbagai tugas lebih mencabar pada masa depan...sesungguhnya ini adalah saat paling bermakna buat mereka dan TUDM secara amnya," kata beliau.
Sementara itu, Zubaidah Zahri, 41, isteri kepada juruterbang Mejar Mohammad Jafri Subuh, berkata, beliau bersyukur suaminya telah pulang dengan selamat sebelum sambutan Hari Ibu esok.
"Selepas tahu dia (suami) perlu pergi ke Perth untuk misi ini sebelum ini, saya tidak putus-putus berdoa agar keselamatannya bersama-sama kru lain terjaga."Memang diakui bukan senang untuk menjadi isteri kepada seorang juruterbang.
Kadang-kadang banyak perkara yang membelenggu fikiran lebih-lebih lagi pasal soal anak namun kerana tugas yang digalas, kita perlu merelakan setiap pemergian mereka," katanya.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac lepas setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.
Pada 24 Mac lepas, setelah 17 hari pesawat Boeing 777-200ER itu hilang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". ~awani
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger