Home » » PAS PENENTU MASA DEPAN PAKATAN RAKYAT?

PAS PENENTU MASA DEPAN PAKATAN RAKYAT?

Written By canang on Ahad, 4 Mei 2014 | 5/04/2014 09:52:00 PTG

PAS PENENTU MASA DEPAN PAKATAN RAKYAT?
Sejak penubuhannya pada 1951, PAS tidak pernah putus asa dalam perjuangan politiknya. Ramai pemimpinnya menjadi mangsa kezaliman pemerintah Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.
Namun, selepas setiap ketika kezaliman dan kekejaman dirasai, seolah-olah ada pemimpin PAS yang lupa dengan apa yang pimpinan Umno lakukan terhadap parti mereka.
Tetapi ramai lagi ahli-ahli PAS yang tidak lupa dengan kelicikan politik Umno.
1960: Menyokong ISA, menjadi mangsa ISA
Selepas darurat anti-komunis ditamatkan pada 1960, kerajaan Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman merasakan masih perlu ada undang-undang untuk membasmi kegiatan komunis yang dianggap masih berserpihan.
Tunku berjaya memujuk parti pembangkang yang terbesar pada masa itu, PAS, dengan menjanjikan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya akan digunakan terhadap komunis sahaja dan tidak akan disalahgunakan terhadap pembangkang atau mana-mana suara sah yang membantah kerajaan. PAS yang memang anti-komunis dengan mudah mempercayai janji Umno. Namun, dalam masa yang singkat sahaja, ISA digunakan terhadap pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy.
1973: Menyertai BN, habis madu sepah dibuang
Selepas pergaduhan kaum 13 Mei 1969, pemimpin Umno ketika itu Tun Razak Hussein memujuk PAS menyertai gabungan pemerintah yang baru iaitu Barisan Nasional atas asalan mahu mewujudkan era baru perpaduan melalui proses pembangunan negara. Walaupun ramai ahli PAS sedar sikap dan pendirian Umno, pimpinan PAS masih mahu duduk bersama dengan Umno dalam saf yang baru. Maka muktamar PAS pada awal 1973 meluluskan usul menyertai BN.
BN menang besar dalam PRU 1974. Pemimpin PAS, Asri Haji Muda mendapat habuan menjadi menteri di peringkat pusat manakala pimpinan lain dilantik menjadi timbalan menteri dan jawatan-jawatan lain.
Sewaktu zaman kegemilangan BN itu, tiada siapa di dalam kerajaan yang mahu menubuhkan negara Islam atau melaksanakan hudud. Pada masa itu juga hanya tinggal DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) sebagai pembangkang yang serius.
Selepas Hussein Onn menjadi perdana menteri, masalah dalaman PAS di kubu kuatnya di Kelantan dijadikan isu untuk merampas kuasa. PAS dipecat daripada BN dan ia hilang kuasa di Kelantan dalam pilihan raya negeri dan kalah teruk dalam PRU 1978.
1982: Kepimpinan ulama, tanpa kemenangan pilihan raya
Selepas kembali menjadi pembangkang, PAS hanya menang 5 kerusi Parlimen dalam PRU 1982 dan kalah teruk dengan satu kerusi sahaja pada PRU 1986. Walaupun sudah berubah menjadi parti kepimpinan ulama, kemenangan di medan pilihan raya masih kabur untuk PAS. Sebaliknya ia berlumba dengan Umno untuk menonjolkan siapa lebih Islam. Timbul aktiviti dan program untuk menunjuk-nunjuk amalan dan simbol Islam sehingga berlaku isu kafir-mengkafir di antara Umno dan PAS.
1988: Pengharaman Umno, untung PAS kerana Semangat 46
Perebutan kuasa dalaman Umno di antara Dr Mahtahir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 antara lain menyebabkan Umno diharamkan oleh mahkamah. Ia kemudian dihidupkan semula oleh puak Dr Mahathir sebagai Umno Baru manakala Ku Li terpaksa menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 selepas usahanya mendaftarkan semula Umno ditolak oleh kerajaan.
Semangat 46 mewujudkan dua gabungan, iaitu bersama parti-parti Melayu Islam seperti PAS dan Berjasa (Angkatan Perpaduan Ummah - APU) dan bersama parti-parti pelbagai kaum seperti DAP dan Parti Rakyat Malaysia serta Parti Bersatu Sabah (Gagasan Rakyat).
Melalui kerjasama ini, Semangat 46 bertanding di kebanyakan kerusi Parlimen manakala PAS di peringkat negeri, khususnya di Kelantan. PAS bernasib baik apabila berjaya menawan semula Kelantan dalam PRU 1990 walaupun kedua-dua gabungan pembangkang itu gagal menegejutkan arena politik Malaysia.
Setelah menang kembali di Kelantan, PAS mahu melaksanakan hukum hudud walaupun tidak ada dinyatakan dalam sebarang pendirian bersama sebelum PRU 1990. Oleh kerana perbalahan itu berpanjangan, DAP pada 1995 menarik diri dari Gagasan Rakyat yang merupakan gabungan kembar dengan APU.
1995: Kembalinya kuasa BN, pembangkang berpecah-belah
Dr Mahathir mengukuhkan kedudukan Umno-BN dengan kuasa yang ada serta undang-undang yang lebih zalim. Keadaan itu yang turut diberatkan dengan masalah dalaman pembangkang memudahkan BN menang besar dalam PRU 1995.
Kekuatan Dr Mahathir termasuk menonjolkan keadaan ekonomi yang lebih baik (walaupun kemudiannya didedahkan sebagai ekonomi buih). Kebanyakan rakyat Malaysia juga membuat pilihan atas keputusan ekonomi, dan bukannya emosi atau sentimen kaum dan agama.
1998: Pemecatan Anwar, untung PAS kerana reformasi
Selepas Dr Mahathir memecat timbalannya Anwar Ibrahim daripada Umno, BN dan kerajaan, dan kemudiannya memenjarakan pula, ia membangkitkan kemarahan rakyat, terutamanya orang Melayu dan golongan muda.
Kemarahan rakyat diterjemahkan pula dalam satu kerjasama baru pembangkang atas nama Barisan Alternatif. Dengan menumpang semangat reformasi dan imej Anwar, PAS dalam PRU 1999 menang besar apabila mendapat 27 kerusi Parlimen dan merampas Terengganu serta mengekalkan Kelantan.
2001: Pengisytiharan negara Islam, perpecahan pembangkang (sekali lagi)
Dalam pada pemimpin PAS akhir alaf ke-20, Fadzil Noor mahu merapatkan hubungan antara parti dalam dasar yang mejurus kepada semangat moderat, media milik Umno seperti biasa mencari jalan untuk memecahbelahkan perpaduan parti itu. Selepas Fadzil meninggal dunia, usaha allahyarham hanya tinggal kenangan. Kumpulan yang menguasai PAS selepas itu membawa cita-cita negara Islam yang "keras" berbanding semangat kerjasama dan hak saksama yang dibawakan oleh Fadzil.
DAP sekali lagi keluar daripada gabungan pembangkang. Dalam PRU 2004, PAS hilang 20 kerusi Parlimen yang dimenanginya dahulu, hanya tinggal 7 sahaja. Terengganu pula kembali ke pangkuan Umno selepas PAS kalah teruk di negeri itu.
2008: Kemarahan rakyat, era baru pembangkang
Selepas PRU 2004, pergolakan politik lebih berkisar kepada Umno. Dr Mahathir bersara pada 2003 dan rakyat memberi mandat besar kepada Abdullah Ahmad Badawi kerana janji-janji reformasi. Tetapi apabila semua janji itu dimungkiri dan Abdullah pula dilihat sebagai takut kepada desakan kumpulan pelampau kaum (dan serangan Dr Mahathir), maka rakyat menunjukkan kemarahan mereka terhadap Umno-BN.
Dalam PRU 2008, BN kalah di DUN Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor serta mengekalkan Kelantan. Kuasa majoriti dua pertiga BN di Parlimen juga dinafikan oleh pembangkang yang kemudiannya bersetuju membentuk Pakatan Rakyat selepas keputusan PRU ke-12 itu diumumkan.
PAS bagaimanapun duduk di tangga ketiga pembangkang Parlimen selepas PKR yang mendapat 31 kerusi Parlimen dan DAP 28 kerusi Parlimen.
PAS tetap bernasib baik mendapat kerusi menteri besar Perak walaupun ia sebagai parti minoriti kerana perlembagaan negeri hanya membenarkan orang Melayu memegang jawatan itu. DAP mendapat 18 daripada 59 kerusi manakala PKR 7 dan PAS 6. PKR pula tidak mempunyai calon MB yang "layak".
Namun, difahamkan ada kalangan pemimpin PAS tidak puas hati kerana tidak mendapat banyak jawatan. Tambahan pula media milik Umno mula meniupkan api perkauman, selain pemimpin Umno menawarkan kerjasama "kerajaan perpaduan" Umno-PAS di pelbagai peringkat sejak selesai PRU12.
2013: Kecemerlangan Pakatan Rakyat, tsunami politik baru
Walaupun media kawalan Umno memainkan isu perkauman dan sering mencabar PAS agar melawan Pakatan, ia tidak dipedulikan oleh ahli dan penyokong parti. Usaha perkauman Umno ternyata gagal. Malah, semangat mahukan perubahan semakin ketara, khususnya di kalangan kaum-kaum bukan Melayu.
Hasilnya dalam PRU13 pada 2013, Pakatan mencatatkan kemenangan besar dari segi peratus pengundian di mana ia mendapat 51% undi! Oleh kerana sistem persempadanan semula adalah tidak adil, maka BN terus menguasai kerusi Parlimen dan DUN.
Bagi PAS pula, ia adalah prestasi yang tidak memuaskan. PAS gagal mengekalkan kuasa di Kedah kerana kelemahan pentadbiran dan hilang kerusi Parlimen dengan mengekalkan 21 sahaja.
2014: Hasutan Umno, mencabar PAS melaksanakan hudud walau Umno sendiri tak berminat
Selepas itu semakin kuat hasutan Umno melalui pelbagai cara. Sehinggakan Umno berani mencabar PAS agar melaksanakan hudud sedangkan Umno sendiri tidak berminat untuk melaksanakannya.
Buat masa ini, itulah yang sedang berlaku. Umno melalui pelbagai media yang dikuasainya terus mengejek, menguji, mengusik, menyindir dan mencabar PAS. Sejak 1960, Umno mempermainkan PAS, dan agak berjaya juga permainan politik Umno kerana Umno yang sering "menang" dengan taktik kotornya itu.
Seperti yang pernah dijelaskan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, isu hudud dilihat dalam konteks isu politik dan bukannya hukum agama - tidak akan memberi kemenangan kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang mahu menjadikan Malaysia bersih dari rasuah, bebas dari kezaliman dan tidak lagi mengamalkan diskriminasi. Sebaliknya, isu hudud bakal memberi kemenangan kepada Umno kerana isu tersebut sudah pun membawa perbalahan sesama Pakatan dan mungkin membawa kepada perpecahan gabungan itu.
Di kalangan rakyat pula, sudah timbul perbalahan atas garisan Islam-bukan Islam dan Melayu-bukan Melayu sedangkan matlamat asal Pakatan ialah menggantikan BN untuk menjadi kerajaan yang lebih adil, saksama dan telus di mana rakyat menjadi tonggak, dan bukannya pemimpin dan kroni.
Malah, jika diteliti, apabila isu-isu agama dibangkitkan dalam pilihanraya, ia memberi kesan buruk kepada parti-parti pembangkang. Hanya apabila isu-isu bersama dibangkitkan - ekonomi, reformasi pentadbiran, hak rakyat di peringkat tempatan serta pendedahan kelamahan dan kezaliman Umno-BN - ia menjamin kemenangan pembangkang.
Ini terbukti dalam PRU 1990, 1999, 2008 dan 2013. Malah keputusan 1990, 1999 dan 2008 banyak menguntungkan PAS secara relatif. Terpulang kepada PAS untuk menilai sendiri apa yang Umno lakukan kepadanya sejak lebih 50 tahun lalu yang kesemuanya memberi untung kepada Umno semata-mata, walaupun ada sedikit cebis habuan kepada segelintir pemimpin PAS.
Jika Pakatan hancur, maka Umno yang semakin angkuh sekarang akan kembali berkuasa sepenuhnya. Segala harapan untuk perubahan yang diharapkan sejak alaf baru akan lenyap sama sekali.
Dan pada masa yang sama, hudud tetap tidak akan dilaksanakan oleh Umno. Nik Amar yang di lihat lantang dan beria-ria mendahului MB Kelantan serta PAS Pusat di dalam memberikan kenyataan Akhbar perlu bertanggung jawab kerana sering berada sejengkal di hadapan. Sejengkal akan menjadi jengkel.sumber
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger