Home » » Sistem pendidikan negara gagal – Ku Li

Sistem pendidikan negara gagal – Ku Li

Written By canang on Sabtu, 10 Mei 2014 | 5/10/2014 10:43:00 PTG

 SHAH ALAM: Sistem pendidikan negara dilihat tidak berkesan dan memerlukan  perubahan drastik dan radikal jika negara mahu melonjakkan daya saing di peringkat serantau dan global.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kegagalan sistem pendidikan ini dilihat dalam pelbagai aspek antaranya penilaian antarabangsa, integrasi kaum, modal insan serta penguasaan komunikasi.
Berucap pada majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat (Kewangan), UiTM sempena istiadat konvokesyen UiTM ke-80, dekat sini, pagi tadi, Tengku Razaleigh menyatakan kebimbangannya dengan tahap pendidikan negara yang dinilai rendah oleh Bank Dunia pada akhir Mac 2014.
Malah, jelas beliau penilaian menggunakan International Standard (PISA, TIMSS) turut meletakkan pendidikan negara  di tahap yang rendah.
“Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di mana ibu bapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan,” ujarnya.
Menurut beliau,  sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang tidak melahirkan insan berilmu yang mampu berfikir dengan berkesan dan cemerlang dalam keadaan yang berbagai, tidak menentu, mencabar dan cepat berubah.
“Saya masih ingat satu waktu dahulu bilamana kita dihormati dan disanjungi oleh masyarakat dunia. Di forum antarabangsa, kita sering diberi penghormatan untuk menyediakan ‘laporan perbincangan’, ‘kenyataan kesepakatan (communiqué)’, menjadi pemudahcara (moderator) dan sebagainya.
“Hal ini terjadi kerana secara relatif, kemampuan berfikir dan penguasaan bahasa kita adalah lebih baik. Malangnya keadaan berbeza sekali sekarang,” kesal beliau.
Tengku Razaleigh turut melahirkan kebimbangan terhadap keutuhan integrasi kaum di negara ini apabila polarisasi antara kaum dilihat pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.
“Sebagai orang lama yang telah menyaksikan pahit getir perjalanan panjang Malaysia, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku,” ujarnya.
Paling menyedihkan, tambah beliau,  polarisasi kaum  juga wujud di institusi pengajian tinggi di mana masyarakatnya terpelajar.
Di bidang ekonomi, beliau memberikan contoh bagaimana negara yang pada awalnya menjadi contoh rujukan kepada Korea Selatan kini jauh ditinggalkan negara itu dalam segenap aspek termasuk sukan.
Menurutnya, jika dahulu Malaysia dianggap lebih kehadapan berbanding Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan di bidang pembangunan ekonomi namun kini keadaan berlaku sebaliknya.
Tengku Razaleigh yakin  keberkesanan sistem pendidikan Korea Selatan meletakkan negara itu di posisi sekarang.
“Pada tahun 1980, pendapatan per kapita mereka (Korea Selatan) adalah USD 2,322 dan lebih rendah daripada kita pada kadar USD 2,351. Tetapi hari ini, pendapatan per kapita mereka adalah USD 24,328 dan dua kali lebih besar daripada kita pada kadar USD 10,547.
“Kini ekonomi Korea Selatan lebih handal daripada kita,” jelasnya.
Beliau mahu semua pihak menerima hakikat tidak berkesannya sistem pendidikan negara sehingga ia memerlukan perubahan drastik dan radikal.
“Kita gagal dalam penilaian antarabangsa, kita gagal dalam memupuk integrasi kaum, kita gagal dalam menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.
“Kita juga gagal menguasai komunikasi sehingga kedudukan kita yang dihormati satu waktu dahulu terhakis,” ujarnya.
Sehubungan itu Tengku Razaleigh mahu  Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 – 2025 mengambil kira pandangan yang diutarakan beliau untuk dilaksanakan. - HARAKAHDAILY, 10/5/2014
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger