Home » » Hannah Yeoh berjaya buktikan Umno tidak jujur dalam isu hudud

Hannah Yeoh berjaya buktikan Umno tidak jujur dalam isu hudud

Written By canang on Rabu, 18 Jun 2014 | 6/18/2014 07:34:00 PTG


Ramai yang curiga dengan kemampuan wanita berbadan kecil, Hannah Yeoh ketika dilantik sebagai speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, namun ketelusannya dalam mengendalikan isu "Usul Hudud" yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menyerlahkan kehebatannya.
Yeoh berjaya membuktikan Umno hanya menggunakan isu hudud untuk kepentingan politik dan apabila merasakan akan rugi, mereka akan berundur balik.
Kewibawaan Yeoh meningkat dalam mengendalikan usul kontroversi oleh Adun Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malik yang meminta undang-undang hudud dikaji untuk dilaksanakan di Selangor.
Tindakan Yeoh menerima usul itu untuk dibahaskan dalam sidang DUN menerima kecaman ramai pada awalnya kerana dianggap membuka ruang kepada isu yang menjadi masalah itu dan akan menyusahkan banyak pihak.
Tetapi atas dasar ketelusan dan beliau adalah speaker untuk semua Adun tanpa mengira apa parti yang mereka wakili, Yeoh menerima usul itu dibahaskan.
Bagaimanapun, belum sempat dibahaskan, pada 13 Jun lalu, Kamarol Zaki menarik balik usul berkenaan, sehari selepas ia diluluskan untuk perbahasan dalam DUN.
Ia ditarik balik kerana usul Kamarol ini menyusahkan rakan Umno dalam Barisan Nasional (BN) sendiri khasnya MCA dan Gerakan.
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias mengakui hal ini apabila memberikan alasan usul itu menimbulkan banyak kekeliruan.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata keputusan Yeoh membenarkan isu itu dibahaskan menyebabkan Umno terjerumus ke dalam perangkap ciptaan sendiri dan terpaksa manarik balik notis yang dimohon sebelum itu.
“Mereka menjangka apabila membawakan usul itu, speaker akan menghalang ia dibahaskan dengan harapan mampu mencetuskan perbalahan PAS dengan DAP dan mungkin PKR serta membolehkan mereka menuduh PAS tunduk kepada DAP.
“Itulah perancangan mereka tetapi apabila speaker setuju hudud dibahaskan, ini menimbulkan masalah kepada Umno dan BN kerana usul untuk membahaskan hudud datang daripada Umno, sudah tentu menimbulkan kemarahan MCA, Gerakan dan MIC. Apa yang mereka harapkan tidak berlaku,” kata Khalid seperti dilaporkan portal Selangorkini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Umno hanya bermain politik dengan isu hudud dan ketika merasakan ia akan merugikan mereka, ia ditarik balik.
“Dengan usul itu, Umno membuktikan mereka yang sebenarnya memulakan isu pelaksanaan hudud di negara ini,” kata Lim dalam satu kenyataannya semalam.
“Sementara kami menghormati Islam dan kedudukan hudud dalam agama itu, pelaksanaannya berlawanan dengan Perlembagaan dan tidak sesuai dalam masyarakat majmuk di negara ini. Kami konsisten dengan prinsip ini,” katanya.
Roketkini merakamkan ucapan tahniah Lim kepada Yeoh yang membenarkan usul itu dibahaskan kerana ia membuktikan beliau seorang speaker yang adil, neutral dan demokratik, walaupun secara peribadi tidak bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang itu.
Laman web DAP itu juga meletakkan wanita pertama yang dipertanggungjawabkan sebagai speaker itu sebagai ikon ahli politik wanita tanah air, sebaris tokoh wanita negara yang berkhidmat demi kebaikan anak watan.
DAP pada awalnya tidak senang dengan tindakan Yeoh membenarkan usul itu kerana parti berkenaan menentang hudud dilaksanakan di negara ini.
Tindakan Yeoh berbeza sekali jika dibandingkan dengan Speaker DUN Terengganu daripada Umno yang menolak usul seumpama itu yang dikemukakan oleh Adun PAS.
Pada 15 April lalu, Speaker DUN Terengganu, Mohd Zubir Embong menolak usul yang dibawa oleh Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah di bawah peraturan mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap DUN untuk membahaskan usul pelaksanaan hudud di negeri itu.
Sebaliknya, Zubir mencadangkan semua ahli Parlimen beragama Islam menyokong usul yang akan dibawa Kelantan ke Dewan Rakyat yang entah bila akan berlaku itu.

Padahal, dalam media dan daripada cakap-cakapnya, Umno seolah-olah penyokong utama pelaksanaan hudud di negara ini. Ia dapat dilihat dalam isu pelaksanaan Hudud di Kelantan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom melalui Dewan Rakyat memberikan jaminan kepada semua negeri kerajaan persekutuan akan membantu mana-mana kerajaan negeri yang mahu melaksanakan hukum hudud.
Sehubungan itulah, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub memaklumkan kerajaan negeri Kelantan akan mengemukakan satu rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan undang-undang jenayah syariah itu dilaksanakan di Kelantan.
Ia kemudian menjadi isu yang meretakkan hubungan dalam Pakatan Rakyat apabila DAP membantah cadangan itu.
Akhirnya PAS menangguhkan cadangan mengemukakan usul persendirian itu untuk membolehkan Jawatankuasa Teknikal yang bakal dibentuk oleh kerajaan persekutuan membuat kajian mengenai pelaksanaan hudud.
Kini, Yeoh membuktikan beliau berjaya menguruskan isu ini secara terbuka dan telus apabila beliau membenarkan Umno mengemukakan usul ini.
Dan teori beliau benar. Umno hanya bermain politik dengan isu hudud dan cuba meraih undi dengannya. Namun selepas terbukti bakal gagal, Umno undur balik dan menarik balik usul tersebut.
Kita tunggu pula cadangan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin selepas ini yang mencadangkan Jawatankuasa Teknikal dibentuk untuk mengkaji pelaksanaan hudud kerana ramai yang beranggapan ini juga cadangan perangkap Umno kepada PAS.
Apakah ia umpama usul Kamarol yang akan ditarik balik kemudiannya atau isu hudud sekali lagi bakal disapu ke bawah permaidani. –TMI


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger