Home » » Pecah 'tabung samah' untuk pengundi luar

Pecah 'tabung samah' untuk pengundi luar

Written By canang on Rabu, 11 Jun 2014 | 6/11/2014 09:52:00 PTG

Hampir selesai pusing ke cawangan-cawangan PAS Dun Jabi bagi perasmian mesyuarat agung tahunan.

Antara yang saya catatkan, rata-rata cawangan menjadikan program ‘tabung samah’ sebagai sumber wang masuk PAS Cawangan masing-masing.

Maksud ‘tabung samah’ ini ialah, cawangan menyediakan buluh sebagai tabung atau celeng yang diagihkan kepada ahli-ahli di peringkat cawangan dan disimpan di rumah mereka. Setiap hari mereka perlu masukkan paling kurang samah atau 50 sen ke dalam tabung ini untuk Islam.

Setiap 2 atau 3 bulan sekali, tabung ini akan dikumpulkan dan satu majlis rasmi pecah tabung dibuat secara beramai-ramai. Alhamdulillah, walaupun sekadar samah sehari, tapi bila pakat ramai-ramai, hasilnya agak lumayan. Boleh dapat sekitar 2k sekali pecah tabung.

Saya masih ingat, sekitar tahun 2012, ketika majlis pecah tabung PAS Cawangan Kerandang. Arwah Pok Ngoh Pa, ketua cawangan PAS yang paling lama berkhidmat dalam Dun Jabi masih ada. Lebih 30 tahun dia jadi ketua cawangan. Bila dipecahkan buluh tabung, bukan hanya duit syiling yang keluar, turut keluar sama adalah habuk batang buluh.

Arwah Pok Ngoh Pa bersihkan satu persatu duit syiling dari kotoran habuk lalu disusun rapi. Saya yang tengok mengalir air mata. Begitu sekali orang tua seperti beliau sayangkan perjuangan ini walaupun dengan hanya mengumpulkan duit syiling.

Duit yang dikumpulkan ini antara kegunaan utamanya ialah untuk membiayai pengundi luar yang balik mengundi nanti.

Saudara-saudara kita yang kerja di kota-kota besar bila balik mengundi mereka perlukan duit minyak. Walaupun mengundi hanya 4 atau 5 tahun sekali.

Kita yang perlukan undi dari saudara-saudara kita, kena raikan semua. Kita pula tak ada duit yang diisi dalam beg James Bond macam Umno.

Tak apalah. Orang-orang kampung yang menorah getah kumpulkan sedikit demi sedikit asalkan nanti saudara-saudara kita yang nak balik mengundi tak terasa terbeban.

4 atau 5 tahun sekali baliklah saudara-saudara kita untuk mengundi. Sebahagian besarnya berkereta.

Antara yang paling sibuk tak cukup tangan ketika itu ialah ketua unit pengundi luar. Berduyun-duyun orang datang mintak pitih minyak. Orang Umno yang ambik kesempatan pun ada.

Ada juga yang tak puas hati dengan jumlah yang diberi, akhirnya bermasam muka. Kita sabar saja. Nak buat macam mana, tersangat ramai lagi yang tak merasakan mengundi itu tanggungjawab mereka kepada Islam.

Lantas mereka perlu melakukan sedikit pengorbanan. Bukannya setiap hari pun. Mereka masih merasakan mengundi ini adalah kerja calon pilihan raya, mereka yang balik mesti dibayar paling kurang dapat duit minyak.

Kalaulah mereka tahu itu adalah duit hasil penat lelah orang-orang tua di kampung, agak-agak mereka tergamak tak ambik? Berbaloikah mereka nak bermasam muka bila tak puas hati?

Kalau orang kampung boleh kumpul samah sehari untuk persiapan pilihan raya akan datang, tak kan orang bandar tak boleh kumpul 20 sen sehari untuk persiapan 4 tahun akan datang. 20 sen sehari, sebulan dapat RM6, setahun RM72. Dalam masa 4 tahun, dah dapat RM288. Cukup untuk belanja balik mengundi.

Tapi sayangnya... amat sedikit dari kita yang cuba peruntukkan walau sekadar 5 minit sehari untuk fikir tentang tanggungjawab perjuangan Islam. Maafkan saya atas muhasabah ini...

Saya selalu sebut, sepatutnya orang kota balik bawak sedikit rezeki untuk kerja-kerja perjuangan Islam di kampung, bukannya balik nak duit orang kampung! - HARAKAHDAILY 11/6/2014
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger