Home » » DBKL: Hanya periksa bilis, jerung dibiarkan lepas?

DBKL: Hanya periksa bilis, jerung dibiarkan lepas?

Written By canang on Khamis, 3 Julai 2014 | 7/03/2014 10:35:00 PTG

Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memeriksa sebuah van yang menjual jajan berhampiran Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bintang Utara.
Baru-baru ini, sebuah kenderaan milik penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang terdiri daripada enam hingga lapan orang penguatkuasa berhenti dan menyerbu sebuah van yang menjual jajan di tepi Sekolah Rendah Kebangsaan Seri Bintang Utara.
Peniaga jajan itu kemudian dilihat mengeluarkan pelbagai dokumen untuk diteliti oleh beberapa penguatkuasa yang ada. Seorang penguatkuasa lagi sibuk membuat catatan. Yang lain-lain sekadar memerhati. Dua orang penguatkuasa lagi berada di dalam kenderaan mereka.
Peniaga wanita itu hanya menjual makanan ringan dan air. Pelanggannya pun kanak-kanak sekolah, ibu bapa, penjaga atau pemandu bas sekolah.
Harga barang-barang yang dijual tidak mahal - sesuai dengan status pelanggan utamanya - kanak-kanak sekolah.
Beberapa ibu bapa yang berada di luar perkarangan sekolah yang melihat gelagat beberapa penguatkuasa DBKL itu ada yang menggelengkan kepala dan ada yang bercakap-cakap sesama sendiri.
Seorang lelaki warga emas menarik perhatian penulis apabila beliau dengan nada kuat berkata: "Penjaja kecil sibuk dicari, diperiksa, tak berperikemanusiaan langsung. Macam sudah tidak ada peniaga besar yang membuat salah".
Seorang lelaki lain pula menyampuk:"Kalau penjaja Melayu beranilah datang, kalau bangsa lain berniaga sampai tutup jalan pun DBKL tutup mata".
Tidak tahulah apa perasaan Datuk Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib jika beliau berada di situ. Adakah malu, bangga, sedih atau mungkin tidak ada perasaan langsung.
Tindak tanduk para penguatkuasa DBKL atau mana-mana penguatkuasa pihak berkuasa tempatan yang melihat para penjaja kecil sebagai 'mangsa' sudah banyak kali diperkatakan oleh rakyat.
Namun, siapa pun yang ambil kisah, oleh sebab itu para penguatkuasa seringkali dilihat hanya berani berhadapan dengan penjaja-penjaja kecil sedangkan 'jerung-jerung' besar dibiarkan.
Jika tidak, mustahil Laporan Ketua Audit Negara merungkaikan kerugian yang dialami oleh DBKL kerana gagal mengutip caj lesen dan papan tanda daripada peniaga-peniaga yang mempunyai bangunan.
Penulis juga musykil kerana dua bulan lalu, di hadapan sekolah yang sama empat orang penguatkuasa beria-ia memeriksa dua orang peniaga aiskrim Melayu dan seorang lelaki yang menjual sate ikan.
Hasil pemeriksaan itu motosikal dan barangan lelaki yang menjual sate ikan ditarik. Mungkin tidak ada lesen.
Secara logik akal apalah sangat kesalahan penjaja-penjaja yang mencari rezeki dengan duit poket kanak-kanak sekolah kerana aiskrim yang paling mahal pun dijual pada harga RM2.50. Kebanyakan aiskrim yang dijual pada harga 60 sen.
Berbanding dengan penjaja aiskrim yang menjadi sasaran penguatkuasa DBKL, mengapa mereka tidak ke Jalan Dua di Jalan Chan Sow Lin. 
Di situ banyak gerai-gerai tetap dibina oleh peniaga, sedangkan kawasan itu bukan lokasi berniaga. Akibatnya kawasan itu menjadi kotor dan berbau busuk.
Mengapa DBKL tidak memeriksa penjaja di Jalan Peel yang berniaga di atas bahu-bahu jalan yang menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada waktu tengah hari dan waktu petang?
Tidak jauh dari sekolah itu, di Jalan Shamelin terdapat banyak gerai-gerai yang menganggu lalu lintas, mengapa kawasan itu tidak pernah dilawati oleh DBKL?
Banyak juga kenderaan kilang-kilang yang memakir di sepanjang jalan di sekitar Shamelin menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Sebab itu, seorang wanita yang melihat tindak tanduk beberapa penguatkuasa yang memeriksa van menjual jajan itu berkata, penguatkuasa DBKL hanya tunjuk berani kepada penjaja kecil Melayu sahaja.
"Kalau dengan peniaga bangsa lain, semua tidak apa. Nampak kesalahan pun tutup mata sahaja," tambahnya.
Betul atau tidak dakwaan itu - wajarlah DBKL menjawabnya. Ini kerana persepsi orang ramai terhadap penguatkuasa DBKL bukan bersandarkan kepada ilusi tetapi realiti di depan mata.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger