Home » » Pihak berkepentingan perjanjian di Selangor akan didedah, kata Anwar

Pihak berkepentingan perjanjian di Selangor akan didedah, kata Anwar

Written By canang on Ahad, 28 September 2014 | 9/28/2014 08:55:00 PTG


Pihak yang mendapat manafaat daripada pelbagai perjanjian yang dibuat bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sebelum tempoh perkhidmatan beliau berakhir minggu lepas akan didedahkan. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pentadbiran Selangor di bawah menteri besar yang baharu Mohamed Azmin Ali dijangka mengkaji semula dan mendedahkan "kelulusan besar dan kontrak" yang dilakukan di bawah pentadbiran sebelumnya. Ini termasuk perjanjian air ditandatangani Khalid dengan kerajaan persekutuan yang melibatkan operasi rawatan dan pengedaran dalam industri bernilai RM30 bilion, pembinaan loji rawatan air Langat 2 RM3.6 juta dan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex). Anwar berkata, terdapat pertanyaan tentang mengapa beliau dan pemimpin partinya berusaha menyingkirkan Khalid yang dikatakan melakukan perkhidmatan baik kepada rakyat.

 "Tetapi dalam realitinya, beratus-ratus juta faedah akan diperolehi orang tertentu yang berada di tempat-tempat yang tinggi," katanya. Beliau menyifatkan mereka sebagai "kroni" yang diminta untuk menyokong sebagai orang Melayu. Beliau berkata rakyat diberitahu sebagai orang Melayu, mereka sepatutnya "mengikut undang-undang". Anwar berkata, perjanjian air akan memberi kesan kepada kadar air yang dikenakan kepada orang ramai. "Daripada segi politik, apabila ia datang kepada isu kepentingan awam, kebimbangan saya adalah ia akan ada hubungan secara langsung dengan kadar air," katanya selepas merasmikan pelancaran kempen untuk memansuhkan Akta Hasutan anjuran PKR di Seberang Jaya malam tadi. Beliau berkata, “keuntungan atau faedah yang melampau” daripada rundingan itu akhirnya akan membebankan rakyat. Katanya, beliau tahu senarai penerima faedah yang terbabit, bukan sebab ia diberikan kepadanya oleh Khalid tetapi beliau sendiri membuat semakan dan “kerja rumah”.

 “Dan saya sedar mengapa ada orang sangat mempertahankan (rundingan) dan enggan bertolak ansur. Ia adalah kerana ia membabitkan faedah besar,” katanya. Anwar berkata, penyelesaian hutang Khalid dengan Bank Rakyat yang dilaporkan menerusi bekas peguam Umno Tan Sri Rashid Manaf juga isu yang membimbangkan. Katanya, beliau tidak peduli parti parti mana yang menerima faedah rundingan itu, walaupun jika mereka daripada PKR atau parti komponen lain. “Itu kita tidak peduli. Kita berjanji untuk telus,” katanya. Anwar berkata, Azmin yang juga timbalan presiden PKR, bersama pasukannya dalam kerajaan negeri akan melihat rundingan itu dulu. Katanya, penting bagi menteri besar baharu melakukan yang terbaik terhadap janji untuk pemerintahan baik dan ketelusan, melaksanakan “perubahan daripada gaya korporat kepada prihatin dan kebajikan rakyat”.

 “Saya yakin Azmin akan mampu melakukannya,” katanya. Beliau berkata, pentadbiran Azmin juga diminta melihat perkara membabitkan kenaikan gaji menteri besar dan exco pada zaman pemerintahan Khalid. Ia juga akan melihat kepada mengurangkan kadar cukai taksiran di negeri itu susulan kenaikan kadar yang dibuat sejak 2008 di bawah Khalid. Anwar berkata, beliau akan terus memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu yang menyebabkan Khalid perlu disingkir. “Apa yang saya buat ialah akan terus memberi penjelasan tentang isu itu. Rakyat perlu memahaminya,” katanya. Beliau enggan mengulas titah Sultan Selangor yang jelas menyentuh mengenai perkelahian PKR dalam ucapannya pada Jumaat, dan berkata:“Saya tidak mengulas kenyataan atau ucapan Tuanku.”

 “Tetapi tanggungjawab rakyat ialah memahami semangat merdeka, peruntukan perlembagaan dan apa asas kritikan kita terhadap pentadbiran negara,” katanya. Ketika ditanya mengenai penutupan pejabat penasihat ekonomi negeri yang dipegang Anwar oleh majlis eksekutif negeri pada hari terakhir perkhidmatan Khalid, Anwar berkata beliau atau kakitangannya belum menerima surat pemberhentian itu. “Jadi setahu saya belum ada notis rasmi mengenai perkara itu,” katanya. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pihak-berkepentingan-perjanjian-di-selangor-akan-didedah-kata-anwar#sthash.l5XqWVVd.dpuf
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger