Home » » Peguam Anwar pertikai analisa pakar DNA kerajaan

Peguam Anwar pertikai analisa pakar DNA kerajaan

Written By canang on Khamis, 30 Oktober 2014 | 10/30/2014 02:00:00 PTG


Bukti DNA tidak boleh diterima sebagai satu-satunya bukti terhadap jenayah yang didakwa dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata pihak pembelaan dalam rayuan kes liwat Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Persekutuan hari ini. Peguam Ramkarpal Singh, menyambung keterangan pada hari kedua sebentar tadi, memberitahu mahkamah yang sampel DNA hanya sebahagian daripada keterangan yang menyokong. "Salah anggapan yang sering terjadi ialah terlalu banyak kebergantungan kepada bukti DNA. Kita sering terlupa yang bukti DNA harus menjadi sebahagian daripada keterangan yang menyokong," katanya. Beliau berkata, terdapat kekurangan pada analisis DNA oleh ahli kimia kerajaan, Dr Seah Lay Hong. Ketika memberi keterangan, Seah tidak membawa sebarang catatan, garis panduan atau dokumen membuktikan kerjanya memenuhi piawaian antarabangsa. Ramkarpal berkata beliau juga "mengelak" apabila menjawab soalan dan percanggahan dalam analisisnya membuatkan ia dianggap "tidak selamat". Pasukan pembelaan juga dalam keadaan yang "sangat rugi" semasa perbicaraan kerana ia tidak dapat menjawab balik keterangan pakar DNA itu kerana dokumen yang dirujuk beliau tidak dibawa. Ramkarpal menambah, terdapat juga satu senarai maklumat yang tidak didedahkan kepada pihak pembelaan. Beliau berkata dalam semua kes mahkamah di mana DNA dijadikan bahan bukti, dokumen yang biasanya didedahkan adalah laporan sebenar ahli kimia, kesimpulan penemuan dan laporan teknikal. "Kami tidak diberikan semua ini," katanya. "Kami perlukan maklumat ini. Bukan untuk kami baca di rumah tapi untuk kami tunjuk kepada pakar kami." Beliau berkata, Mahkamah Rayuan tersilap apabila menolak saksi pakar yang dibawa pasukan pembelaan – dua pakar DNA dari Australia, Dr Brian McDonald dan Dr David D Wells. Dalam penghakiman bertulis Mahkamah Rayuan, kedua-dua mereka ditolak sebagai "pakar tidak bertauliah" atas alasan mereka tidak bersama ahli kimia kerajaan semasa menjalankan ujian sampel tersebut. Mahkamah Rayuan juga menganggap mereka sebagai orang asing yang hanya memberikan pendapat bertentangan daripada analisis fakta yang sudah tersedia. Ramkarpal berkata menjadi kebiasaan bagi seorang pakar memberi komen terhadap kerja orang lain, serta menambah ia suatu yang "luar biasa apabila kerja seseorang pakar perlu dikawalselia orang lain". "(Mahkamah Rayuan membuat kesimpulan) tanpa sedikit pun mempertimbangkan bukti mereka. Kecuali pada satu rujukan yang tidak penting, tiada langsung mereka sebut tentang bukti mereka (dalam penghakiman)," katanya. Pasukan pembelaan Anwar setakat ini membina kes bagi menunjukkan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bukan seorang saksi yang boleh dipercayai. Hujah ini disokong dengan wujudnya jurang dan percanggahan dalam keterangan beliau, dan juga dalam item yang digunakan penyiasat polis bagi mendapatkan DNA Anwar. "(Ini semua) ialah keterangan yang menyokong yang perlu diambil kira oleh mahkamah walaupun bukti DNA itu dianggap memuaskan," kata Ramkarpal. Terdahulu, seorang lagi peguam Anwar, Sangeet Kaur Deo, yang juga saudara perempuan Ramkarpal, berhujah mengatakan tiga item yang menjadi bahan bukti dari sel penjara Anwar diambil secara tidak sah. Bahan tersebut ialah berus gigi, botol air dan tuala yang didakwa digunakan oleh Anwar semasa ditahan di lokap. Tiada bukti, kata Sangeet, yang menunjukkan Anwar menggunakan ketiga-tiga item tersebut. Ramkarpal berhujah, sampel DNA yang ditemui pada rektum Saiful, walaupun sepadan dengan DNA dari tiga item diperolehi dari lokap itu, tidak boleh diterima di mahkamah. Ini kerana DNA dari item itu dilabelkan sebagai kepunyaan 'Lelaki-Y' dan tiada konklusi dapat dibuat mengatakan Lelaki-Y ialah Anwar. Rayuan Anwar didengari panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria. Ramkarpal dan Sangeet ialah antara yang mewakili Anwar di dalam pasukan pembelaan yang terdiri daripada 14 peguam, diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan Mac lalu, tetapi diberi penangguhan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai. Beliau dituduh meliwat Saiful di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun 2008. Mahkamah Tinggi membebaskan beliau pada Januari 2012 sebelum keputusan diubah Mahkamah Rayuan pada Mac lalu. Kes liwat ini merupakan kali kedua dihadapi Anwar, pertama pada 1998, apabila dituduh meliwat bekas pemandunya Azizan Abu Bakar. Namun, beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004. Kali ini, karier politik Anwar mungkin berakhir jika mahkamah tertinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. – 29 Oktober, 2014. - See more at:
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger