Home » » Banjir makin teruk, Anwar gesa Putrajaya lulus segera bantuan bencana banjir

Banjir makin teruk, Anwar gesa Putrajaya lulus segera bantuan bencana banjir

Written By canang on Rabu, 24 Disember 2014 | 12/24/2014 10:08:00 PTG


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan pusat meluluskan tabung bantuan mangsa banjir kepada Kelantan dan Terengganu, ekoran bencana alam yang melanda dua negeri itu sejak awal minggu. Anwar berkata, lebih 30,000 mangsa terlibat dan terpaksa meninggalkan rumah mereka dalam kejadian banjir terburuk yang dikatakan pernah dihadapi negeri itu.

 "Saya menggesa kerajaan pusat meluluskan peruntukan bantuan bencana kepada Kelantan dan Terengganu secepat mungkin bagi membantu kerajaan negeri mengawal banjir dan mengurangkan beban rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini. Anwar berkata, beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa sedih dengan insiden itu dan berdoa supaya penderitaan mangsa banjir dapat dikurangkan.

 "Tidak dapat dinafikan perubahan iklim global serta musim hujan antara faktor penyebab banjir luar biasa," katanya. Beribu-ribu penduduk di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang terpaksa berpindah keluar ke penempatan sementara ekoran banjir yang melanda di beberapa daerah, lapor Bernama. Di Kelantan, 20,709 mangsa daripada 6,795 di 8 daerah dipindahkan berbanding 20,468 penduduk pada pagi Selasa, sementara pusat bantuan banjir pula meningkat daripada 70 kepada 84. Paras air di lima sungai utama naik mendadak melebihi paras bahaya dengan Sungai Golok sedalam 10.34 meter (paras bahaya: 9 meter). Sungai lain yang melebihi paras bahaya adalah Sungai Galas (42.08 meter) di Dabong, Gua Musang, Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang (40.27 meter),

 Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krau (29.10 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillermard, Tanah Merah (17.95 meter). Paras bahaya di empat sungai terbabit masing-masing adalah 38 meter, 35 meter, 25 meter dan 16 meter. Di Terengganu, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan meningkat drastik kepada 11,731 mangsa semalam.

 Di Pahang, bilangan penduduk mangsa banjir meningkat daripada 2,555 daripada 598 keluarga, berbanding 2,386 daripada 560 keluarga pada pagi Selasa. Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan 4 sungai di Pahang termasuk 2 di Jerantut kini mencecah ke paras bahaya. Di Perlis, banir mula melimpahi kawasan utara negeri itu sejak Isnin disebabkan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu. Penduduk di kawasan yang terjejas dipindahkan keluar pada malam semalam dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis sentiasa memantau situasi semasa. – 24 Disember, 2014.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger