Home » » Kulit carik akibat pembedahan plastik

Kulit carik akibat pembedahan plastik

Written By canang on Khamis, 22 Januari 2015 | 1/22/2015 01:17:00 PTG


Tidak pernah berasa puas terhadap kecantikan yang ada, membuatkan seorang ratu cantik dari Brazil terpaksa bertarung nyawa akibat terlalu obses melakukan rawatan mencantikkan pehanya. Buat pertama kalinya, Andressa Urach, 27, mengakui apa yang berlaku kepadanya adalah hukuman Tuhan kerana kerja-kerja bodoh yang dilakukannya.

 Katanya, dia ibarat sudah ‘mati’ selepas organ-organ dalam badannya gagal berfungsi tetapi tuhan telah memberinya peluang kedua bagi membetulkan kesalahan yang dilakukan. Ketika temu bual eksklusif bersama Brazilian TV, Urach telah melakukan bermacam-macam cara untuk mengubah bentuk tubuhnya dan tiada siapa yang tahu apa telah dilaluinya. “Saya malu dengan lubang-lubang dan parut di kaki saya.

Bekas luka ini akan ada di kaki saya sepanjang hayat dan melihatnya mengingatkan saya agar terus bersyukur kerana masih boleh bernafas.

 Terima kasih kepada tuhan kerana memberi peluang kepada saya untuk memberitahu wanita-wanita di luar sana agar tidak melakukan perkara bodoh seperti saya. “Jika semua yang berlaku ini adalah untuk memberi amaran kepada orang lain untuk menyelamatkan mereka daripada kematian, maka itu adalah alasan mengapa saya perlu menempuhinya,” katanya.
 Bekas naib juara pertandingan realiti ratu cantik popular, Miss Bumbum versi Brazil itu, menjadi tajuk berita utama di media tempatan pada bulan lalu selepas rawatan kecantikan dengan kaedah mengisi (filler) bahan kimia, hidrogel dan polymethylmetacrylate (PMMA), yang disuntik ke dalam paha mula mereputkan tisu kulitnya. Untuk itu dia terpaksa menjalani prosedur mengeluarkan hidrogel dan PMMA, yang hampir meragut nyawanya kerana komplikasi kejutan septik dalam tempoh beberapa jam selepas dikejarkan ke hospital. Kini dia masih dalam kesakitan dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Kesakitan yang dialami sukar untuk digambarkan, ibarat kulit dan ototnya dicarik hidup-hidup.

 Lukanya yang masih berdarah membuatkan Urach perlu menukar pembalut luka sebanyak dua kali sehari. Dia juga perlu mengambil tiga jenis antibiotik dan ubat tahan sakit, selain menggunakan pam tangan untuk mengeluarkan cecair dari tubuhnya melalui tiub yang dimasukkan pada lubang di kedua belah kakinya. “Ketika mahu menyuntik hidrogel tersebut saya langsung tidak berfikir dua kali, malah apabila rakan-rakan menasihati tentang risiko yang bakal berlaku, saya hanya berkata, itu urusan kemudian jika perkara itu benar-benar berlaku. “Dahulu, saya berjumpa dengan doktor pembedahan plastik seperti saya pergi ke pusat beli-belah. Ada sahaja yang ingin saya ubah.

 “Saya bagaikan ketagihan pembedahan plastik. Ketika itu, saya hanya mahu orang memandang saya dengan penuh rasa cemburu,” ujarnya. Ketagihan terhadap pembedahan plastik hingga ke peringkat dia pernah merancang untuk membuang salah satu daripada tulang rusuk untuk kelihatan lebih ramping dan membuang jari kaki agar kakinya nampak cantik dan halus.

 Bunyinya memang agak keterlaluan, tetapi itulah yang difikirkan wanita ini. Urach mula obses terhadap penampilannya ketika masih kanak-kanak lagi, apabila dia bermimpi menjadi salah seorang pembantu kepada pelakon televisyen kanak-kanak terkenal ketika itu. Impiannya terhenti sekejap apabila dia berkahwin pada usia 17 tahun dan memperoleh seorang anak lelaki yang kini berumur sembilan tahun. Dia kemudian menyambung pengajian dan bekerja di firma pemasaran. Apabila bercerai pada usia 21 tahun, dia memutuskan untuk menjadi model dan berpindah ke bandar terbesar Brazil, Sao Paulo

. “Saya sentiasa menganggap diri saya hodoh. Ketika remaja saya sangat kurus dan sering menjadi mangsa buli. Saya juga tidak cukup tinggi untuk menjadi model peragaan atau model katalog, tetapi pada masa sama saya mahu menjadi terkenal. Stesen televisyen pula hanya memberi peluang kepada wanita yang mempunyai bentuk tubuh menggiurkan dengan dada, punggung dan paha besar,” katanya. Sementara itu, Presiden

Pertubuhan Pembentukan Semula, Estetik, dan Bedah Plastik British (BAPRAS), Nigel Mercer, berpendapat, tidak mungkin gabungan hidrogel dan PMMA menjadi punca kerosakan pada badan Urach sebagaimana didakwa. Sebaliknya kecederaan yang dialaminya adalah disebabkan jangkitan kerana menggunakan peralatan yang tidak dinyah kuman (stril). Bagaimanapun katanya, risiko penyakit memang boleh berlaku setiap kali menyuntik kulit terutamnya jika sudah ada kuman yang membiak di dalam kulit. Hidrogel pula adalah tempat membiak paling baik untuk kuman.
R
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger