Home » » Pemuzik terkenal mati selepas pergaduhan tempat letak kereta

Pemuzik terkenal mati selepas pergaduhan tempat letak kereta

Written By canang on Selasa, 6 Januari 2015 | 1/06/2015 10:43:00 PTG


PETALING JAYA: Seorang pemuzik terkenal mati selepas bergaduh rebut tempat letak kereta Ahad lalu, lapor The Malay Mail.
Joseph, 54, bekas ejen kumpulan Alleycats ditumbuk tiga kali dalam pertengkaran di kawasan meletak kereta di Medan Selera Malam di SS2/63 di sini pada jam 7.30 malam.
Dia ditumbuk di dada dan mengalami kecederaan di bahagian atas badan sebelum meninggal dunia lapan jam kemudian.
Joseph meninggalkan isteri Mary Ooi, 43; anak perempuan Joanne, 14 dan dua anak angkat lelaki, Ivan D’cruz, 31, serta Brandon, 28.
Ketua Polis Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata, polis sedang mengenal pasti identiti penyerang yang melarikan diri dalam kereta Proton Saga.
Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai membunuh tanpa niat dan kamera video di sekitar kawasan berkenaan sedang diteliti.
Joseph, Mary dan Joanne pergi ke Medan Selera Malam itu pada kira-kira jam 7 malam untuk makan.
Menurut Joanne, apabila mereka mendapat satu tempat letak kereta kosong 50 meter dari medan selera berkenaan, ibunya keluar dari kereta dan berdiri di tempat letak kereta itu sementara menunggu bapanya melakukan pusingan balik singkat.
Ketika itu, seorang lelaki dalam kereta Proton Saga memaki Mary kerana berdiri di tempat letak kereta itu.
“Saya cuba menerangkan kepada lelaki itu suami saya hanya membuat pusingan balik singkat untuk meletakkan kereta dengan betul,” kata Mary.
“Malah saya memberitahunya, suami saya tempang sedikit.”
Mary yang juga pengurus Jabatan Iklaneka Malay Mail pada 2008 dan 2009 berkata, dia terperanjat lelaki itu memaki hamunnya dan bertindak biadap.
Joanne berkata, apabila bapanya tiba ke tempat letak kereta itu, dia ternampak lelaki berkenaan memaki ibunya.
“Apabila ayah saya keluar dari kereta untuk meleraikan keadaan, lelaki itu menyerangnya,” katanya.
Kata Joanne, ibu cuba menghalang lelaki itu daripada memukul Joseph.
Bagaimanapun, lelaki itu hanya berhenti menyerang selepas seorang wanita datang dan menariknya.
Mary kemudian menolong Joseph masuk ke dalam kereta.
“Pada mulanya ayah berkata dia sihat dan memandu kereta ke rumah. Tetapi beberapa minit kemudian dia mengadu sakit dada dan ibu saya memandu kereta ke hospital,” tambah Joanne.
Joseph tidak sedarkan diri ketika Mary berkejar ke Hospital Universiti dan meninggal dunia selepas itu.sumber
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger