Home » » Pelancaran buku terbaru Zunar ‘Ros in Kangkong Land’ gagal lagi -

Pelancaran buku terbaru Zunar ‘Ros in Kangkong Land’ gagal lagi -

Written By canang on Sabtu, 28 Februari 2015 | 2/28/2015 08:59:00 PTG


Polis hari ini sekali lagi mengganggu pelancaran buku terbaru kartunis satira Zunar, atau nama penuhnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, sebelum majlis itu bermula pagi ini selepas satu kejadian sama 14 Februari lepas. Pihak berkuasa itu juga berkata mereka akan menangkap Zunar sekiranya beliau meneruskan majlis yang dijadualkan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang di Brickfields,
Kuala Lumpur itu. Ia sepatutnya menyaksikan pelancaran buku 'Ros in Kangkong land', menampilkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. "Sekumpulan 20 polis diketuai ASP Ramasamy dari balai Brickfields mengugut untuk menangkap saya dan merampas buku di pelancaran 'Ros in Kangkong Land' di Brickfields pagi ini," menurut satu posting di laman Facebook Zunar Kartunis Fan Club sebentar tadi.

 Terdahulu, Zunar mengeluarkan tweet berhubung perkara sama. Majlis pelancaran buku itu pertama kali dirancang diadakan pada 14 Februari di Petaling Jaya tetapi tidak berjaya apabila polis merampas kira-kira 200 naskhah buku itu ketika dalam perjalanan ke lokasi majlis.

Ketika bercakap kepada media, beliau berkata, polis memberitahunya beliau memerlukan permit untuk meneruskan majlis pelancaran itu. "Saya tak perlu permit untuk ini, ini tempat persendirian, saya akan teruskan menjual buku saya sebab ini hak saya, kenapa nak permit untuk terbitkan buku? "Mengarut hantar sampai 20 anggota polis mengganggu majlis ini, buku ini bukannya diharamkan, saya tak tahu apa salah yang saya dah buat," katanya pada majlis itu. Beliau menyifatkan tindakan polis itu bertujuan menakut-nakutkannya dan merupakan satu gangguan terhadapnya.

 Polis pada majlis hari ini ada yang berpakaian seragam dan ada juga memakai pakaian biasa. Ketika ditemui, pegawai yang dikenal pasti sebagai Ramasamy itu memberitahu media, mereka hadir sebagai menjalankan tugas pencegahan jenayah, dan berkata polis tidak jelas jika Zunar melanggar mana-mana undang-undang.
 Katanya, polis "tidak mempunyai kuasa memberi apa-apa kenyataan mengenai isu itu" dan enggan mengulas lanjut mahupun memberi nama penuhnya. Zunar dilihat membuat beberapa panggilan telefon dan salah seorang penganjur majlis Ridzaldy Rafie berkata, kartunis itu sedang cuba menghubungi peguam bagi mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, pada 10.45 pagi, Ridzaldy dan mereka yang daripada pihak penganjur mula menurunkan sepanduk dan menyimpan buku yang ada, menunjukkan majlis itu berakhir buat sementara waktu.
 "Kami menerima panggilan daripada Zunar mengatakan peguam menasihatkannya agar tidak meneruskan acara itu," kata Rizaldy. Beliau kemudian memberitahu orang ramai yang mereka masih boleh membeli buku itu secara dalam talian dan terus mengambil pesanan. ‘Ros in Kangkong land’ merupakan koleksi kartun tentang Rosmah. Sebelum ini karya Zunar pernah diharamkan dan kini sedang disiasat polis kerana dituduh menghasut. Beliau ditahan reman selama tiga hari awal bulan ini selepas mengkritik badan kehakiman menerusi akaun Twitter susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan liwat atas Datuk Seri Anwar Ibrahim. – 28 Februari, 2015.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger