Home » » Bapa dakwa guru arah anak buka baju

Bapa dakwa guru arah anak buka baju

Written By canang on Selasa, 31 Mac 2015 | 3/31/2015 08:34:00 PTG


GOMBAK - Seorang bapa mempersoalkan tindakan guru sebuah maahad tahfiz di sini yang didakwa menghukum lebih 40 pelajar perempuan termasuk anaknya berusia 13 tahun dengan merotan sehingga meninggalkan kesan di belakang badan.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, kesemua pelajar tersebut turut diarah menanggalkan pakaian selepas tiada di antara mereka yang mengaku mengambil wang RM100 milik seorang pelajar yang dilaporkan hilang.

Dakwanya lagi, semua pelajar yang tinggal di asrama dalam sebuah dorm itu dirotan sebanyak tiga kali, iaitu dua kali di belakang badan dan sekali di tapak tangan dalam kejadian malam Rabu lalu.

Bapa pelajar berkenaan juga berkata, kesan kejadian tersebut, anaknya kini trauma untuk ke sekolah dan emosinya juga sering terganggu.

“Anak saya terpaksa mengaku walaupun tak ambil wang itu sebab kesian dengan kawan-kawan yang didenda buat 'kerusi angin' dari jam 1 hingga 4 pagi. Kalau tak ada yang mengaku, hukuman akan diteruskan sehingga ke perhimpunan pagi.

“Siapa yang tahan kena berdiri sebelah kaki? Malah denda yang dikenakan ke atas anak saya lebih teruk berbanding rakannya selepas dia mengaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sekolah enggan bekerjasama

Dia menambah, pihaknya juga ada meminta penjelasan daripada pihak pengurusan sekolah Jumaat lalu, tetapi jawapan diberi tidak dapat diterima sehingga dia terpaksa mengambil keputusan membuat laporan polis.

“Hari ini (semalam) sewaktu saya ke sekolah berkenaan untuk mendapat penjelasan sekali lagi, pengurusan sekolah enggan beri kerjasama dan minta saya tarik balik laporan polis kalau nak selesaikan perkara ini.

“Pada saya hukuman yang dikenakan ke atas anak saya tidak mengikut didikan agama, malah mencederakan serta meninggalkan trauma kepadanya.

“Banyak lagi hukuman yang dirasakan sesuai daripada mengarahkan mereka membuka pakaian. Ia amat mengaibkan walaupun sesama perempuan,” katanya.

Justeru katanya, pihaknya meminta supaya pihak berkaitan menyiasat kelayakan guru sekolah berkenaan sama ada bertauliah atau sebaliknya memandangkan usia mereka masih muda.

“Saya tetap hantar anak saya ke sekolah berkenaan kerana mahu kes ini diselesaikan,” katanya.

Polis sahkan terima laporan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan menerima laporan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

“Pengurusan maahad tahfiz akan dipanggil untuk soal siasat sebaik sahaja mendapat arahan menyiasat dari timbalan pendakwa raya.

“Pihak polis juga telah mengambil keterangan dari mangsa sewaktu laporan polis dibuat,” katanya.SH
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger