Home » » Mobil Musollah surau bergerak pertama di Malaysia

Mobil Musollah surau bergerak pertama di Malaysia

Written By canang on Selasa, 10 Mac 2015 | 3/10/2015 10:59:00 PTG

KUANTAN: Badan Nadwah Islamiyah Pahang sedar akan kekurangan tempat untuk mengerjakan solat, terutama di kawasan tumpuan umum seperti pasar malam dan stadium.
Oleh itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu tampil dengan idea membuat perkhidmatan surau bergerak atau dinamakan Mobil Mussollah.
Perkhidmatan yang pertama seumpamanya di Malaysia itu adalah cetusan ilham bersama badan berkenaan dengan badan korporat Telaga Biru Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd.
Timbalan Presiden Badan Nadwah Islamiyah Pahang Datuk Halidan Md Daud berkata, ilham bagi mewujudkan mobil itu timbul sejak tahun lepas, bagi menyediakan kemudahan untuk umat Islam bersolat terutama apabila ada perlawanan bola sepak.
"Selepas kami bercambah fikiran, kami membeli dan mengubah suai sebuah lori tiga tan selain peralatan lain dengan keseluruhan kos RM200,000.
"Setiap kali apabila ingin digunakan, kanvas khas dari lori itu akan dibuka berfungsi menjadi bumbung dan permaidani, akan dihampar untuk pelapik orang Islam mengerjakan solat, " kata Datuk Halidan.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan Datuk Zulkifli Yaacob. Turut hadir Pengarah Urusan Telaga Biru Dr Zahazan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Pahang Abdul Latiff Abu Bakar.
Untuk wanita pula, satu ruang solat khas disediakan dengan penghadang khas untuk keselesaan bersolat.
Buat permulaan, khidmat Mobil Musollah itu akan ditempatkan di beberapa pasar malam yang terpilih selain pekarangan Stadium Darul Makmur.
Selepas itu, tambahan Mobil Musollah itu akan dikaji semula selepas mendapat maklum balas serta permintaan dalam tempoh sebulan dua ini.
Sementara itu, Datuk Zulkifli berkata perkhidmatan percuma menggunakan sebuah lori tiga tan itu adalah sebagai alternatif memudahkan umat Islam menunaikan solat pada waktu keramaian, seperti semasa pertandingan bola sepak dan aktiviti pasar malam.
"Bagaimanapun, beberapa tempat masih dalam perbincangan, terutama di kawasan tumpuan ramai seperti Teluk Chempedak.
"Saya berharap perkhidmatan ini mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat dan semoga lebih banyak syarikat korporat membantu, terutama dari segi kewangan dalam usaha menambah bilangan Mobil Musollah," katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger