Home » » Menteri: Tak perlu benar Anwar mengundi- Banduan sememangnya perlu berada di penjara, kata Shafie Apdal

Menteri: Tak perlu benar Anwar mengundi- Banduan sememangnya perlu berada di penjara, kata Shafie Apdal

Written By canang on Isnin, 27 April 2015 | 4/27/2015 08:27:00 PTG

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan tidak perlu beri kelonggaran kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara, untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata mahkamah telah memutuskan Anwar menjalani hukuman penjara dan beliau perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

"Kalau semua di dalam penjara diberi kelonggaran untuk mengundi susahlah. Undang-undang telah menyatakan kalau dah masuk penjara, duduk dalam penjaralah...takkanlah dalam penjara ada kenduri dia nak minta keluar, nak mengundi dia minta keluar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan rehat dan rawat Kedaik untuk masyarakat Orang Asli suku kaum Jakun kira-kira 50 km dari Rompin.

Shafie diminta mengulas permintaan pihak pembangkang supaya kerajaan membenarkan Anwar yang kini menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh keluar mengundi pada PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Shafie berkata undang-undang yang ditetapkan adalah adil, tidak kira pihak yang meminta diberi kelonggaran itu ketua pembangkang atau orang biasa.

"Tidak ada kelonggaran walaupun dia ketua pembangkang, tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi dari undang-undang...itu perundangan negara kita, perlu ada pematuhan...saya tidak fikir kita perlu berikan pengecualian, kita mesti ikut undang-undang," katanya.

PRK Permatang Pauh diadakan setelah kerusi itu kosong selepas Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon oleh keluarga beliau.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN, Suhaimi Sabudin, ditentang calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia, serta calon Bebas, Salleh Isahak.

- Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger