Home » » Kumpulan culik tumpas, 18 individu ditahan

Kumpulan culik tumpas, 18 individu ditahan

Written By canang on Rabu, 13 Mei 2015 | 5/13/2015 05:45:00 PTG

SHAH ALAM - Polis Selangor menumpaskan satu sindiket penculikan yang menyasarkan warga Bangladesh selepas memberkas 18 individu dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, anggota kumpulan yang berumur lingkungan 20 dan 40 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian culik yang membabitkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 32 tahun.

"Dalam kejadian culik itu, seorang warga Bangladesh yang bekerja sebagai jurukimpal dilaporkan dipaksa masuk ke dalam sebuah kereta di hadapan rumahnya di Taman Cahaya Ampang, kira-kira 11.30 malam, Khamis lepas oleh sekumpulan lelaki serta seorang wanita yang menyamar sebagai anggota polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan ke atas kejadian itu, polis menahan tiga lelaki warga Bangladesh di Pusat Perindustrian Sungai Chua, Kajang, kira-kira 11 malam, Isnin lepas.

Katanya, hasil soal siasat ke atas tiga suspek berkenaan, polis kemudian menahan dua lagi suspek warga Bangladesh di sebuah pangsapuri di Sungai Chua, Kajang, kira-kira empat jam selepas tangkapan pertama dibuat.

"Susulan daripada tangkapan di Sungai Chua, Kajang, polis turut menahan seorang wanita tempatan yang menyamar sebagai pegawai polis pangsapuri City Heights, Sungai Chua, Kajang, kira-kira pukul 5 pagi hari yang sama.

Mohd Adnan berkata, dengan penahanan suspek wanita berkenaan, polis turut menahan empat lelaki tempatan, tiga lelaki warga Sri Lanka dan lima warga India di Petaling Jaya, Kajang dan Klang.

Hasil penahanan kesemua suspek itu, polis turut merampas beberapa buah telefon bimbit pelbagai jenis, pistol mainan dan gari yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan polis tidak menolak beberapa kes culik yang membabitkan warga Bangladesh di sekitar ibu negara sebelum ini didalangi oleh kumpulan sama," katanya. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger