Home » » TABUNG HAJI - TABUNG PELUH DAN DARAH MARHAEN

TABUNG HAJI - TABUNG PELUH DAN DARAH MARHAEN

Written By canang on Sabtu, 9 Mei 2015 | 5/09/2015 08:15:00 PG



TABUNG HAJI - TABUNG PELUH DAN DARAH MARHAEN

Ini foto semasa saya di Madinatul Hujjaj iaitu sebuah kompleks besar yang menjadi transit jemaah haji Malaysia Muassasah di Jeddah. Bangunannya sangat besar dan kemudahannya kelihatan agak uzur dan jemaahnya selalunya orang-orang berumur. Jarang-jarang nampak ada kelibat seperti orang berada di dalam kompleks ini. Orang yang berada biasa tidak ikut muassasah tetapi mengikut pakej-pakej swasta yang harganya sekurang-kurangnya sekali ganda harga biasa.

Saya bernasib baik kerana menjadi petugas yang boleh melihat kemewahan pakej-pakej swasta bernilai ratusan ribu RM seorang sehingga ke pakej haji asas muassasah untuk orang susah. Banyak cerita saya dengar dari mereka yang memberi saya seribu satu pelajaran. Antaranya seorang pakcik dari Parit Perpat batu Pahat yang merupakan seorang pekebun pisang membuat tabungan di Tabung Haji dari semasa umurnya muda lagi. Namun dalam membesarkan anak-anaknya 8 orang, simpanan itu sering dikorek semula untuk pengajian anak-anaknya.

Selepas 8 orang itu selesai menghabiskan pengajian, barulah simpanan beliau di TH itu dapat meningkat sedikit demi sedikit. Hasil kebun yang diusahakan dengan keuzuran beliau cuma mampu untuk beliau tabungkan RM200 sebulan. Akhirnya cukup juga simpanannya untuk mengerjakan haji pada umur 75 tahun.

Ada kisah lain seperti menjual tanah pusaka, jual lembu, kerbau, kereta, jual apa yang boleh dijual untuk mencukupkan simpanan di dalam Tabung Haji. Banyak kisah-kisah yang boleh dibaca dari jaluran kedutan wajah-wajah dyufurahman ini. Pengorbanan yang akhirnya dilengkapkan dengan perjalanan mereka di tanah suci.

Saya boleh rasa, bagaimana pelaburan pembelian slot tanah di Tun Razak Exchange yang dimiliki oleh 1MDB satu pelaburan yang sangat kejam dengan jumlah keuntungan yang sangat tinggi. Itulah pengambilan keuntungan berlebih-lebihan sedangkan beberapa tahun lalu tanah itu hanya dibeli dengan harga puluhan RM sahaja untuk sekaki persegi tetapi dijual semula kepada Tabung Haji dengan harga ribuan RM untuk sekaki persegi. Hasil jualan pula hanya sekadar mencukupi untuk membayar kadar faedah pinjaman yang dibuat oleh 1MDB.

Dan nampak jelaslah mengapa riba' itu Nabi secara khusus sebutkan di dalam khutbah terakhir baginda di Arafah?

Saya lihat itu bukan sebagai satu pelaburan tetapi satu penyamunan di siang hari oleh entiti kawalan kerajaan yang boleh diarahkan untuk membuat itu dan ini oleh pemimpin utama dalam kerajaan. TH seperti seorang abang yang kaya dengan susah payah yang diarahkan oleh Si Bapa untuk selamatkan perniagaan adiknya yang sangat boros. Si Abang dengan rasa sempit dadanya terpaksa juga redha dengan ketentuan Si Bapa yang mahu anak kesayangannya itu diselamatkan.

Boleh bayangkan bagaimana wajah-wajah pencarum Tabung Haji yang menabung RM30 atau RM50 sebulan selama berpuluh tahun untuk memampukan mereka mengerjakan haji? Ya, duit itulah...duit itulah yang digunakan untuk membayar satu jual beli yang sangat merugikan.

Sekarang, cuba bayangkan pula ke mana wang itu pergi? Bayangkan seorang lelaki Cina gemuk yang flamboyan sedang berparti dan mabuk di atas sebuah bot persiaran mewah bersama selebriti Hollywood dan mungkin juga seorang anak muda yang sangat kelihatan berjaya sehingga mampu memiliki sebuah apartment bernilai RM110 Juta di New York sambil menerbitkan filem-filem Hollywood dengan kos ratusan juta RM.

Sekarang kita lihat, ke mana kita akan pergi? Ini tanah kita, ini negara kita. Kebanyakan kita tiada aset dan rumah di luar negara untuk kita lari jika Malaysia ini karam. Bila aku gusar penerbitan sukuk untuk membayar sukuk lama, ada sebahagian orang "kononnya pakar" dalam ekonomi mengejek aku kononnya macam pandai nak ulas ekonomi. Tetapi fikirkanlah, bencana ekonomi yang bakal atau dah mula kita rasai ini melanda semua manusia termasuk yang tidak pakar dalam ekonomi. Maka hak bersuara kita sama dan tidak bermakna bila kita bukan pakar ekonomi, kita hilang hak untuk berkata-kata.

Hari ini kita hilang kepercayaan kepada kerajaan pemerintah, dalam masa yang sama kita juga hilang percaya kepada pemangkang yang dah nampak ura-ura sama sahaja tamaknya. Bila perjuang hal rakyat dialah hero, bila MP naik gaji sebulat suara bergelak ketawa tatkala rakyat menderita baru beberapa hari GST dilaksana. Saya menulis ini bukan teringin langsung nak jadi ahli politik, tapi saya sangat suka menulis sebagai warganegara. Jika ada penjelasan, jelaskanlah dengan jelas sejelas-jelasnya. Kami rakyat bukan nak cari pasal, tapi nak cari aman untuk hidup di bumi Malaysia.

Ini negara kita, ini tanah air kita. Negara bagaimanakah mahu kita wariskan kepada anak-anak dan cucu kita nanti sedangkan penyamun-penyamun semua sudah siap kapal-kapal dan rumah-rumah di luar negara untuk mereka lari.

Kita?
Anak kita?
Keturunan kita?
Agama kita?
Bangsa kita?
Malaysia kita?

Siapa nak fikir?

SAIFUL NANG
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger