Home » » Berilah peluang pada Najib, kata Haron Din

Berilah peluang pada Najib, kata Haron Din

Written By canang on Ahad, 5 Julai 2015 | 7/05/2015 10:08:00 PTG

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan PAS Kelantan senada dengan presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikekalkan berdasarkan mandat yang rakyat dalam pilihan raya.

Kata Haron, Najib berjiwa besar dan perlu diberikan peluang untuk membetulkan keadaan seperti yang sudah diikrarnya kerana tiada yang manusia sempurna di dunia ini, lapor Berita Harian.

“Berilah peluang kepada Najib perbetulkan apa yang perlu,” Haron dilaporkan sebagai berkata.

Katanya lagi, semua terpulang kepada Umno dan BN sama ada mahu memandang serius pandangan luar mengenai kedudukan Najib atau sekadar menutup telinga sahaja.

Kelmarin, Hadi menyatakan Najib tidak perlu berundur, sebaliknya terus mengekalkan jawatannya sebagai perdana menteri walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan.

Mengenai kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Haron berkata, beliau masih menunggu hasil siasatan sama ada kes itu benar-benar berlaku, atau sekadar spekulasi dan persepsi semata-mata.

“Jika betul Najib melakukan kesilapan dan kecuaian dalam membuat keputusan… beliau kena bertanggungjawab.

“Selagi belum ada bukti, saya mahu bersikap tunggu dan lihat. Namun jika terbukti apa yang dilakukan dalam 1MDB kerana kesilapan sendiri maka wajarlah perdana menteri membayar harga yang tinggi untuk itu,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Rais: Pandangan ala Islam ala Melayu

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan penasihat sosiobudaya kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim sebagai mengucapkan terima kasih kepada Hadi ekoran mengeluarkan “pandangan yang ala Islam ala Melayu” yang mahu Najib dikekalkan.

Najib diasak banyak pihak dalam isu 1MDB, terutamanya oleh bekas perdana menteri 22 tahun Tun Mahathir Mohamed.

“Jadi, di situ (kritikan Mahathir) barangkali sahabat lama yang baharu terasa. Haji Hadi punya komen (pertahankan Najib) itu pun relevan.

“Kita harus berterima kasih kepada Haji Hadi kerana mengeluarkan pandangan yang ala Islam ala Melayu,” Rais (atas) dilaporkan sebagai berkata
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger