Home » » Hampir tinggal keluarga kerana cinta WeCha

Hampir tinggal keluarga kerana cinta WeCha

Written By canang on Khamis, 23 Julai 2015 | 7/23/2015 02:19:00 PTG

PENGARUH alam maya boleh memberikan kesan dan akibat yang amat buruk lebih-lebih lagi kepada golongan muda masa kini.

Aplikasi media sosial seperti Facebook, WeChat, Whatsapp, Blackberry Messenger, Twitter dan sebagainya boleh mendedahkan golongan muda ke arah gejala sosial yang tidak sihat.

Terbaharu, penulis menyingkap cerita seorang remaja yang mengakui jatuh cinta terhadap seorang lelaki yang dikenali menerusi aplikasi WeChat.

Mengakui diperdaya oleh lelaki tersebut, Safina (bukan nama sebenar), 17, bukan sahaja rugi hampir mencecah ribuan ringgit, malah hampir melarikan diri meninggalkan keluarganya.

Segalanya bermula apabila Safina dan Akif (bukan nama sebenar), 18 berkenalan menerusi aplikasi tersebut. Di awal perkenalan, Safina mengakui Akif pandai bermain ayat dan memancing simpati.

“Pernah dulu, dia beritahu saya bahawa dia terlibat dengan kemalangan dan terpaksa membaiki motornya. Saya sanggup pecahkan tabung simpanan; tidak cukup dengan itu, duit beratus-ratus di dalam bank yang emak simpankan untuk saya sejak kecil, saya keluarkan dan diberikan kepadanya,” ujarnya.

Tabiat Akif yang gemar meminta wang darinya mula disedari sejak empat bulan menjalinkan hubungan.

Katanya, sekiranya wang tidak diberikan, Akif akan merajuk dan mula mengungkit segala kesalahan yang dilakukan Safina kepadanya.

“...kerana sayang dan masih sabar dengan perangainya, saya turutkan kemahuannya. Saya masukkan juga duit ke dalam akaunnya,” jelasnya lagi.

Pengaliran wang dihidu emak

Titik hitam dalam perhubungan mereka bermula apabila ibunya dapat memeriksa baki akaun bank ketika ingin memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank milik Safina.

“Emak mengadu kepada ayah. Ayah melenting marah kemudiannya. Saya dipaksa berkali-kali untuk memberitahu tujuan sebenar saya mengambil sejumlah wang yang banyak dalam satu masa. Bila saya diam tidak menjawab, pipi saya ditampar berkali-kali oleh ayah.

“Saya tidak ada pilihan lain selain berterus-terang tentang segala-galanya. Ayah kemudiannya berang. Dia keluar rumah selepas mengasah parang panjang, katanya ingin mencari dan menetak Akif. Saya terlalu bimbang dan sayangkan dia. Saya hubungi Akif dan memintanya untuk bersembunyi,” luahnya lagi.

Selama dua hari, Safina tidak dibenarkan keluar dari rumah manakala telefon bimbitnya dirampas oleh ayah.

Safina yang buntu, semakin tertekan. Pada malam kedua, Safina mengambil telefon bimbit adiknya untuk menghubungi Akif.

Kerana tertekan, hasrat untuk melarikan diri dan hidup bersama disuarakan kepada Akif, namun Akif menentang dengan alasan umur mereka masih muda.

“Saya nekad pada masa itu. Saya pujuk juga Akif untuk bersetuju. Dia akhirnya bersetuju. Kami berjanji akan berjumpa di stesen bas pada keesokan harinya.

 “Malam itu juga saya kemaskan pakaian saya dan curi telefon bimbit saya yang berada dalam simpanan ayah. Esok pagi, selepas emak dan ayah keluar kerja, saya terus ke bandar dan mencari stesen bas untuk menunggu Akif seperti yang dijanjikan.

Bayang tak nampak

Jam sudah pun menginjak ke angka 9 malam, bayang Akif masih tidak kelihatan. Safina semakin resah.

Talian nombor telefon milik Akif yang pada mulanya aktif kini ‘sepi’. Berkali-kali nombor Akif dihubungi namun hanya pesanan mel suara yang kedengaran.

“Kepala saya asyik pandang ke kiri dan kanan. Cuba cari dia. Dia masih tidak datang walaupun sudah hampir tujuh jam saya menunggu.

 “Saya tidak tahu apa yang perlu dibuat. Saya hubungi rakan sekelas yang akhirnya menasihati saya untuk pulang ke rumah terlebih dahulu kerana bimbangkan keselamatan saya. Walaupun berat hati, saya turutkan nasihat rakan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, dia hanya tiba di rumah kira-kira jam 11 malam. Kepulangannya disambut oleh kedua orang tua yang jelas gusar dek ketiadaannya.

“Ayah melenting marah. Emak hanya diam. Tetapi saya tahu mereka bimbang. Saya terlalu takut untuk berterus terang dengan ayah, saya beritahu bahawa saya belajar di rumah kawan dan pulang lewat kerana sakit perut dan tertidur di rumah kawan.

“Mujur pada waktu itu, ayah dan emak percaya. Beg pakaian yang saya sorokkan di tepi rumah, saya ambil semula pada keesokan harinya,” katanya lagi.

Selepas itu, Safina mengaku pernah cuba menjejak Akif beberapa kali namun cubaannya gagal. Sehingga berita ini ditulis, Akif masih gagal dikesan.SH
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger