Home » » Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad membela penduduk Kampung Mutiara

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad membela penduduk Kampung Mutiara

Written By canang on Khamis, 27 Ogos 2015 | 8/27/2015 11:05:00 PG


Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertekad membela penduduk Kampung Mutiara
Semalam, penduduk Kampung Mutiara berjaya menangguhkan tindakan pengusiran tanpa sebarang pampasan yang dikenakan ke atas mereka ekoran perintah mahkamah yang dikeluarkan pada bulan Julai 2015 bagi mendapatkan milikan kosong (vacant possession) untuk tuan tanah Lot 39 dan 40, Seksyen 1, Daerah Timur Laut, Bandar Batu Ferringhi, Pulau Pinang yang berukuran lebih kurang 3.5 ekar.
Perintah mahkamah ini telah dikeluarkan berikutan kes mahkamah yang sudah berlarutan sejak tahun 2007 lagi. Walaupun kes ini merupakan kes antara tuan tanah dan penduduk yang tidak membabitkan tanah kerajaan negeri, namun Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil prihatin akan kes ini dan bertekad untuk membantu penduduk yang teraniaya.
Kerajaan Negeri bertekad membela penduduk
Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sendiri mengambil maklum akan kemelut yang dihadapi penduduk Kampung Mutiara dan telah mengarahkan agar saya membantu dalam usaha mencari penyelesaian. Tambahan lagi, beliau juga menekankan bahawa Kerajaan Negeri tidak akan meluluskan sebarang pembangunan di tanah tersebut selagi penduduk tidak diberi pampasan adil.
Walaupun tindakan yang diambil oleh tuan tanah untuk mengusir penduduk tanpa pampasan ini tidak bercanggah dengan kanun tanah negara, namun ia bertentangan dengan garis panduan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mensyarakatkan bahawa penduduk harus diberi pampasan sebelum pelan pembangunan diluluskan. Ini merupakan kelumrahan di Pulau Pinang sejak tahun 2008, dan contoh terdekat adalah kampung bersebelahan Kampung Mutiara, iaitu Kampung Chetty, yang diberi pampasan satu unit rumah kos sederhana rendah sebagai ganti rugi bagi setiap rumah yang dikosongkan. Pampasan ini adalah hasil rundingan antara penduduk dan pihak pemaju dengan Kerajaan Negeri sebagai pemudahcara.
Justeru, pada 10 Ogos yang lalu, saya bersama Adun Tanjong Bunga Teh Yee Cheu telah membuat sidang akhbar bersama penduduk kampung, di mana kami telah membantah keras pengusiran tanpa pampasan ini. Pada masa yang sama, kami juga mengumumkan akan menolak sebarang pelan perancangan di atas tanah tersebut sekiranya penduduk tidak diberi pampasan yang adil.
Pada masa yang sama, saya juga telah berhubung dengan Jagdeep Singh Deo selaku Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dan beliau dengan segera telah menyediakan rumah PPR sebagai penginapan sementara, dalam senario berlakunya perobohan rumah. Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Dato’ Rashid Hasnor juga menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Mutiara untuk membeli rumah kos rendah atau kos sederhana rendah, sekiranya mereka diusir.
Bantahan kami telah berjaya apabila kurang seminggu selepas sidang akhbar saya dan Teh Yee Cheu, tuan tanah sendiri telah menghubungi saya melalui telefon, di mana beliau menyatakan keterbukaan untuk berjumpa bagi membincangkan masalah kampung tersebut. Selepas itu, tuan tanah juga menghubungi Dato’ Rashid Hasnor dan mengulangi ketersediaannya untuk berjumpa dalam masa terdekat.
Kerajaan Negeri difitnah Pas, walaupun usaha diiktiraf Umno
Walaupun pendirian dan usaha Kerajaan Negeri jelas dalam perkara ini, namun masih terdapat pihak-pihak tertentu, khususnya sesetengah pemimpin Pas negeri Pulau Pinang, yang masih menabur fitnah bahawa kononnya Kerajaan Negeri tidak membantu penduduk. Saya menyelar tuduhan-tuduhan tidak berasas ini, dan menyeru agar tenaga dikerah bagi membantu penduduk dan bukannya untuk menyebarkan tohmahan.
Malah, sumbangan Kerajaan Negeri dalam kes Kampung Mutiara telah diiktiraf oleh Umno sendiri, apabila Dato’ Ahmad Ismail, pemimpin Umno Bukit Bendera, dalam ucapannya semalam kepada penduduk Kampung Mutiara telah menyampaikan penghargaannya kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, khususnya Dato’ Rashid Hasnor serta saya sendiri selaku Ahli Parlimen kawasan Bukit Bendera atas usaha kami untuk membantu penduduk kampung.
Sepertimana yang dinyatakan oleh Dato’ Ahmad Ismail, isu Kampung Mutiara bukannya isu politik dan tidak seharusnya diputar belitkan oleh sesiapa pun. Jelas, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang gigih berusaha bersama dengan pihak-pihak lain untuk mencari penyelesaian bagi kemelut yang dihadapi penduduk kampung.
Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera
Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger