Home » » 13 Tahun Peluru Tertanam Di Pinggang

13 Tahun Peluru Tertanam Di Pinggang

Written By canang on Khamis, 8 Oktober 2015 | 10/08/2015 08:15:00 PG

LAHAT – Seorang wanita terkejut apabila menemui sebutir peluru tertanam di pinggangnya sejak 13 tahun lalu.
Roshalinda Abdul Hamid, 27, berkata, dia menjumpai peluru itu secara kebetulan selepas berasakan terdapat benjolan seperti bisul di pinggangnya.

Menurutnya, kelainan pada badannya itu dirasakannya pada pertengahan bulan lalu .
“Apabila picit, saya memang terkejut dan tak sangka peluru yang keluar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Desa Pelancongan, di sini.
Roshalinda berkata, meskipun peluru itu sudah lama tertanam di badannya, dia tidak sakit namun kerap berasa lenguh di pinggang sebelum melahirkan anak kedua.
peluru sesat
Terkena peluru sesat
Mengimbau peristiwa 13 tahun lalu, Roshalinda berkata, dia yakin peluru itu adalah objek yang tertusuk di peha kanannya ketika dia menyambut Aidilfitri di kampung halamannya.
Menurutnya, kejadian tersebut berlaku pada pagi raya kedua, ketika itu dia ingin menjamah makanan di ruang tamu rumah ibu saudaranya yang terletak di Selinsing.
“Masa nak duduk di sebelah mak, tiba-tiba terdengar bunyi letupan sebelah kanan saya, mak jerit dan beritahu yang kain batik saya dibasahi darah.
“Meskipun terkejut melihat darah membasahi kain batik yang dipakai, saya hanya mendiamkan diri manakala ayah waktu itu terus bergegas bawa saya ke sebuah hospital di Taiping untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Dia berkata, doktor di hospital itu mengatakan peha kanannya tidak ditembusi peluru sebaliknya hanya terkena serpihan mercun.
Roshalinda berkata, penjelasan doktor itu agak sukar diterima oleh ahli keluarga terutama abang sulungnya yang ada bersama ketika ujian X-ray dilakukan pada luka berkenaan.
“Polis yang ambil laporan saya di Balai Polis Gunung Semanggol sebelum ini turut sependapat mengatakan objek itu adalah peluru berdasarkan kesan terbakar berbentuk bulat pada kain batik,” katanya.
Roshalinda berkata, selepas kejadian itu luka di paha kanannya beransur sembuh seperti sediakala dan dia menjalani kehidupan seperti biasa.
“Saya juga tak jalani pemeriksaan lanjut di mana-mana pusat perubatan selepas kejadian itu disebabkan luka tersebut beransur sembuh seperti sediakala,” katanya.
Tak tahu angkara siapa
Sementara itu, bapanya, Abdul Hamid Chin, 61, pula berkata, sehingga kini, dia masih bingung memikirkan kejadian yang menimpa anaknya sekitar 13 tahun lalu.
Menurutnya, kediaman kakak iparnya jauh dari rumah penduduk lain dan dikelilingi sawah.
“Yang menjadi persoalan, siapa dan bagaimana peluru itu boleh tersasar sehingga memasuki rumah kakak ipar saya yang terletak jauh dari penempatan penduduk lain,” katanya.
Abdul Hamid berkata, peristiwa yang terjadi itu menyebabkan kakak iparnya mengambil keputusan menjual rumah berkenaan dan berpindah ke tempat lain.
Jelasnya, kakak iparnya takut kejadian yang sama berulang dan membuat keputusan demikian.
“Kami sekeluarga bagaimanapun bersyukur kerana kejadian yang menimpa anak saya itu tidak mengakibatkan kecederaan teruk atau kesan sampingan.
“Alhamdulillah, cuma sedikit terkilan kerana doktor yang pernah merawat anak saya dulu bertegas mengatakan paha kanan anak saya itu tidak ditembusi peluru,” katanya. – Sinar Harian Online
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger