Home » » Hedy Lamarr perintis teknologi tanpa wayar

Hedy Lamarr perintis teknologi tanpa wayar

Written By canang on Ahad, 18 Oktober 2015 | 10/18/2015 07:06:00 PTG

SIAPA sangka aktres jelita berasal dari Austria, Hedy Lamarr ini adalah antara pereka yang memberi sumbangan besar kepada bidang sains dan teknologi.

Beliau pernah mencipta kemahsyuran ketika zaman keemasan Hollywood sebelum membantu untuk mencipta teknik komunikasi spektrum tersebar, sekali gus menjadi perintis teknologi komunikasi tanpa wayar.

Hasil ciptaannya kini dimasukkan ke dalam teknologi, Wi-Fi, perkhidmatan telefon tanpa wayar (CDMA) dan Bluetooth. Ciptaan Lamarr yang masih digunakan hingga ke hari ini melayakkan beliau disenaraikan dalam National Inventors Hall of Fame pada 2014.

Kehidupan Awal

Pemilik nama sebenar Hedwig Eva Maria Kiesler ini dilahirkan pada 9 November 1914 di Vienna, Austria-Hungary.

Beliau adalah puteri tunggal kepada pengarah bank, Gertrud Kiesler dan Emil Kiesler yang merupakan seorang pemain piano.

Pada akhir 1920-an, Lamarr dibawa ke Berlin untuk mengikuti latihan teater oleh pengarah, Maz Reinhardt.

Beliau kemudiannya kembali semula ke Vienna dan mula bekecimpung dalam industri filem sebagai orang belakang tabir sebelum bergelar aktres ternama.

Lamarr berusia 17 tahun ketika pertama kali muncul dalam projek filem Jerman, Geld Auf Der Strase.

Filem berjudul Extase pada 1932 akhirnya berjaya mencuri tumpuan penerbit Hollywood.

Beberapa tahun kemudian, beliau menjadi bintang kontrak MGM.

Bergelar bintang Hollywood


Selepas memasuki industri Hollywood, wanita tersebut membuat keputusan untuk menggunakan nama pentas, Hedy Lamar selepas filem pertamanya, Algiers ditayangkan pada 1938.
Ketika itu, beliau mendapat gelaran wanita tercantik di layar perak.

Selain itu, Lamarr turut menghasilkan autobiografi berjudul Ecstasy and Me yang mendedahkan kisah peribadinya dan filem Extase yang pernah mencetuskan kontroversi kerana memaparkan aksi berahinya.

Suami pertamanya, Friedrich Mandl yang merupakan lelaki ketiga terkaya di Austria menentang keras penerbitan Extase kerana beliau mendakwa filem tersebut mengeksploitasi isterinya.

Di dalam autobiografi tersebut, Lamarr menggambarkan suaminya terlalu kuat mengongkong dan turut menghalang perkembangan kariernya.

Beliau akhirnya nekad meninggalkan suaminya dan melarikan diri ke Paris pada akhir 1930-an.

Pada 1940 hingga 1949, Lamarr beraksi di dalam 18 filem walaupun ketika itu beliau sudah mempunyai dua cahaya mata.

Selepas tamat kontrak dengan MGM pada 1945, beliau mencipta kejayaan dengan filem Samson and Delilah (1949).

Beliau hanya membuat beberapa kemunculan di layar perak selepas popularitinya semakin menurun pada 1950-an.

Pada April 1953, Lamarr akhirnya memperoleh kerakyatan Amerika pada usia 38 tahun.

Cipta teknik  lompatan frekuensi

Ketika Perang Dunia Kedua, Lamarr dan jirannya ketika di California, George Anthiel berbincang bagaimana torpedo kawalan radio yang digunakan dalam perang tentera laut boleh dipintas oleh gangguan penyiaran tertentu pada kawalan isyarat frekuensi.

Kedua-dua mereka membangunkan Sistem Komunikasi Rahsia yang direka untuk ‘melawan’ Nazi.

Mereka memanipulasi frekuensi radio pada jangka masa tidak teratur ketika penerimaan atau penghantaran.

Ciptaan Lamarr dan Anthiel membentuk sejenis kod yang tidak mudah dipecah yang menghalang maklumat dan mesej rahsia dipintas oleh pihak lain.

Mereka menggunakan kekunci piano untuk menukar isyarat secara rawak dalam julat 88 frekuensi.
Pada 1942, ciptaan mereka memperoleh paten, namun versi awal teknik lompatan frekuensi itu mendapat bantahan tentera laut Amerika Syarikat hingga menyebabkan ia tidak lagi digunakan.

Idea tersebut tidak digunakan sehingga 1962 apabila tentera menggunakan ia sekatan Cuba selepas paten itu tamat tempoh.

Pada 1997, ciptaan tersebut telah mendapat penghargaan selepas Electronic Frontier Foundation memberi kredit kepada Lamar walaupun agak terlambat atas sumbangan beliau terhadap bidang teknologi.

Kini, hasil ciptaan Lamarr dan Anthiel telah menjadi asas kepada teknologi komunikasi spektrum tersebar moden.

Ia adalah idea di sebalik penggunaan Bluetooth, sambungan Wi-Fi dan CDMA.

Meninggal dunia pada usia 85 tahun

Walaupun sudah mencecah usia emas, beliau masih menerima tawaran skrip, iklan televisyen dan projek pentas pada 1970-an.

Namun, Lamarr enggan menerima sebarang tawaran dan beliau lebih gemar mengasingkan diri dari dunia luar.

Pada 1981, beliau yang mula mengalami masalah penglihatan memutuskan untuk berpindah ke Miami Beach di Florida.

Wanita tersebut menghembuskan nafas terakhir ketika berumur 85 tahun pada Januari 2000 akibat masalah jantung
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger