Home » » DJ Radio akui gementar diislamkan Najib

DJ Radio akui gementar diislamkan Najib

Written By canang on Sabtu, 26 Disember 2015 | 12/26/2015 08:55:00 PTG

SEORANG juruhebah radio tidak pernah menyangka kehadirannya untuk bertemu dengan Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) lebih setahun lalu untuk bertanyakan tentang Islam menjadi detik bersejarah dalam hidupnya.
Kehadiran Muhammad Aaron Samuel Mariyaras, seorang berketurunan Cina dan India pada mulanya mahu menemui Fathul Bari namun ia membawa kepada pengislamannya yang dilakukan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Selepas mengucap dua kalimah syahadah pada 28 November tahun lepas, beliau mengakui agak gementar apabila dibantu sendiri oleh Perdana Menteri sendiri selepas menjadi mangsa birokrasi institusi agama Islam di negara ini.
“Hari itu, ketika dia (Fathul Bari) suruh saya datang, saya pergi sana, jumpa dia, saya mengadu dengan dia, saya sudah pergi ke sana, ke sini, kena tendang macam bola, kiri kanan, akhirnya tiada penghujungnya.
“Saya beritahu cabaran itu, Ustaz Fathul kata, dia akan cuba tolong, tiba-tiba dia cakap, Perdana Menteri ada di sini (PWTC) dan dia (PM) akan buat untuk saya. Detik itu tak boleh lupa, sebab saya pergi ke sana untuk berjumpa dengan Ustaz Fathul sebagai kawan,” katanya yang disiarkan dalam video di akaun YouTube Dr Fathul Bari, pada Khamis.
Sebelum ini, kisah seorang juruhebah radio yang diislamkan oleh Perdana Menteri menjadi heboh apabila pengislamannya didedahkan Fathul Bari dan menjadi perhatian netizen serta mengundang pelbagai reaksi.
Fathul Bari dilaporkan proses pengislaman seorang DJ Radio itu menjadi mudah kerana kebetulan ia diislamkan oleh Najib sendiri dan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau juga berkata, sebelum proses pengislamannya, Perdana Menteri sempat berborak-borak dengannya bertanyakan tentang latar belakang dan niatnya untuk memeluk Islam.
“Kita borak-borak kejap, Perdana Menteri tanya sama ada saya betul (memeluk Islam) dengan kerelaan dan keikhlasan sendiri dan bukan dipaksa, kemudian kita berjaya lakukan (pengislaman).
“Saya mengucap dua kalimah syahadah, dipandu oleh Perdana Menteri sendiri, sejak hari itu, saya secara rasmi adalah seorang Islam, Alhamdulillah,” ujarnya.
Sementara itu, di sebalik kepayahannya memeluk Islam, Muhammad Aaron Samuel sempat menegur institusi agama Islam di negara ini yang didakwa tidak memberi layanan yang sewajarnya kepada bukan Islam yang mahu mendekatkan diri dengan ajaran Islam.
“Jabatan-jabatan Agama, Majlis Agama, kamu buat kerja yang terbaik, tapi untuk saudara baru atau mualaf, mungkin perlu diwujudkan cara yang lebih efektif untuk membantu saudara baru memeluk Islam, mempelajari Islam dan memahami Islam itu sendiri.
“Kalau kita menyusahkan mereka, apa bezanya kita dengan yang lain, jadi kita permudahkan mereka, baru mereka berminat untuk mempelajari Islam itu sendiri dan Insya-ALLAH memeluk Islam,” katanya lagi.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger