Home » » Guru pukul pelajar ditamatkan perkhidmatan serta-merta

Guru pukul pelajar ditamatkan perkhidmatan serta-merta

Written By canang on Isnin, 9 Mei 2016 | 5/09/2016 08:32:00 PTG


ALOR SETAR: Guru sambilan yang didakwa mencederakan tiga pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Baling pada Isnin lalu sehingga seorang daripadanya retak tulang tangan, ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Pengarah Pendidikan Kedah (JPN), Datuk Azuyah Hassan, berkata tindakan terhadap guru itu dibuat hasil perbincangan antara waris pelajar, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Pada 6 April lalu, sekolah sudah mengadakan mesyuarat permuafakatan bersama waris pelajar terbabit dan guru itu dan setelah persefahaman dipersetujui, semua waris menerima permohonan maaf daripada guru itu dan bersetuju menyerahkan kes kepada sekolah untuk diselesaikan.

"Selepas mendapat persetujuan waris, sekolah dan PIBG telah berbincang dan memutus menamatkan tugas guru sambilan itu sebagai guru al-Quran berkuat kuasa serta-merta," katanya pada sidang media di sini, hari ini. Katanya, waris, sekolah dan JPN setuju menyelesaikan perkara itu di antara mereka dan akan menyerahkan kes berkenaan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Azuyah berkata, ketiga-tiga pelajar yang cedera dalam kejadian itu sudah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah serta diberikan cuti oleh doktor. "Dua pelajar yang hanya cedera ringan di pinggang dan kepala diberi cuti satu dan dua hari manakala pelajar yang retak tulang tangan kanan diberi cuti sebulan.

"JPN telah mengarahkan sekolah untuk memastikan keperluan dan kebajikan pelajar terbabit selain turut menyediakan sesi kaunseling secara berkala kepada mereka bagi mengembalikan semangat untuk terus bersekolah," katanya.

Dalam kejadian 4 April lalu, ketiga-tiga pelajar telah dipanggil guru itu ke dewan makan sekolah untuk mengaji al-Quran dan semasa mereka mengambil tempat di kerusi berdekatan dengannya, guru berkenaan secara tiba-tiba membaling kerusi plastik ke arah pelajar terbabit sehingga menyebabkan kecederaan. - BERNAMA
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger