Home » » Selepas 70 tahun Umno kini ‘rosak’ kerana Najib, kata akar umbi

Selepas 70 tahun Umno kini ‘rosak’ kerana Najib, kata akar umbi

Written By canang on Sabtu, 14 Mei 2016 | 5/14/2016 04:19:00 PTG

Parti Umno kini ‘rosak’ dek akibat tindakan Presiden Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan ahli akar umbi sebagai barah yang membawa kepada kehancuran masyarakat Melayu hari ini.
Naib Presiden Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Rushdan Mohamed berkata Umno yang suatu ketika dahulu dihormati dan disanjungi rakyat Malaysia kini dipandang hina kerana skandal terpalit Najib.
“Selepas 8 tahun parti keramat ini dipimpin oleh Najib, Umno berada di paras paling teruk paling buruk paling hina terpalit oleh masalah peribadi yang dilakukan Najib dengan mengheret sekali parti ini ke lembah penghinaan dan lembah pendustaan.

“Jikalau ditanya sanggupkah lagi rakyat memberikan rantai emas, wang ringgit untuk parti keramat ini, jawapannya pasti tidak,” kata Rushdan kepada The Malaysian Mirror.
GKCM menjadi kumpulan pendesak paling lantang mengkritik Najib dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadinya.
Rushdan yang juga seorang ketua cawangan Umno berkata, lebih parah lagi apabila ahli-ahli Umno sendiri sudah menjauhi parti itu dan ini terbukti dalam mesyuarat peringkat cawangan yang seringkali tidak mencukupi korum.
“Bukan senang untuk membina parti keramat ini Presiden bersilih ganti, parti tetap utuh tapi kini nak buat mesyuarat Cawangan pun tak cukup korum.
“Sehingga ahli disajikan dengan Cabutan Bertuah untuk dapatkan korum yang dikehendaki,” katanya.
Sementara itu, seorang ahli Umno,Moohamad Faizal Abdul Raub menyifatkan parti kaum Melayu itu sudah menyimpang daripada perjuangan asal dan sudah menjadi parti milik seorang individu iaitu Najib.
“Asas penubuhan Umno dan tunjang perjuangan semakin dilupakan, yang ada dalam Umno sekarang adalah perjuangan untuk pertahankan individu.
“Individu yang gunakan parti untuk kepentingan diri dan perisai melindungi kemungkaran yang dibuat. Ini sungguh memalukan,” kata Faizal yang juga ahli Umno Cawangan Keliang, Hulu Selangor.
Menurut Faizal, Umno kini hanya menanti untuk dikuburkan sahaja dan boleh rebah bila-bila masa kerana dipimpin oleh individu tidak bertanggungjawab dan amanah.
“Umno semakin uzur dan tenat, hanya menunggu rebah sahaja.
“Itu analogi yang tepat bagi menggambarkan sambutan Umno ke-70,” katanya.
Dalam pada itu, ahli wanita Umno, Anina Saadudin yang dipecat kerana menyaman Najib pula menyifatkan kerajaan gagal dalam meningkatkan ekonomi kaum Bumiputera khususnya kaum Melayu.
“Najib mengumumkan dapatan kajian Unit Perancang Ekonomi bahawa purata pendapatan Bumiputera meningkat dari RM 170 pada 1970 kepada RM 5,548 pada 2014.
“Tahniah, ianya atas dasar yang dibawa oleh Umno dalam pembangunan ekonomi Bumiputera sejak ia ditubuhkan sehingga Umno dihancurkan oleh Najib kini.
“Sebagai pemimpin negara, Najib bukan sahaja perlu melihat kepada purata pendapatan tetapi juga kepada income disparity (jurang pendapatan) di kalangan Bumiputera dan antara rakyat berbilang bangsa di negara ini,” kata Anina mengulas mengenai status Najib baru-baru ini dalam akaun Facebooknya.
Anina mendakwa masih ramai Bumiputera yang miskini dalam bandar dan luar bandar, sambil menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai hanya indah khabar dari rupa.
“Ramai Bumiputera yang masih berada di bawah kadar miskin tegar di bandar dan di luar bandar.
“Sekiranya jurang pendapatan ini tidak dirapatkan maka ianya akan menghasilkan suasana himpitan hidup yang menekan golongan berpendapatan rendah dan tersisih dari arus kemajuan ekonomi,” katanya.
Bagi mengelak daripada Umno hancur, Rushdan menggesa supaya pemimpin atasan parti mengutamakan kepentingan parti dan bukan hanya setia kepada seorang pemimpin semata-mata.
“Politik hari ini lebih kepada kesetiaan kepada pemimpin bukan lagi amanah dan keutamaan pada parti lagi. Politik periuk nasi lebih penting. Ramai lebih suka menjadi rakan pendosaan.
“Sempena 70 tahun penubuhan Umno ini ayuhlah wahai pejuang-pejuang parti, ayuhlah, bangkitlah tolak kepimpinan bermasalah,” kata Rushdan. – 12 Mei, 2016.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger