Home » » Anwar tetap mahu bekas bos CCID beri keterangan

Anwar tetap mahu bekas bos CCID beri keterangan

Written By canang on Rabu, 1 Jun 2016 | 6/01/2016 09:19:00 PTG

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan Isnin lalu untuk tidak memanggil bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusof bagi memberi keterangan menyokong dakwaan konspirasi politik dalam sabitan kes Liwat II.
Peguam cara yang mewakili pemimpin PKR itu, Sivarasa Rasiah mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.
"Ya, saya boleh mengesahkan bahawa Anwar telah mengarahkan kami memfailkan semakan terhadap keputusan Isnin lalu. Permohonan akan difailkan dalam tempoh satu atau dua minggu," kata Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang.
Sivarasa bertemu Anwar di penjara Sungai Buloh pada hari Jumaat.
Anwar didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas tuduhan Liwat II oleh Mahkamah Persekutuan pada Februari tahun lepas.
Dia didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.
Anwar mahu memanggil Ramli berikutan keterangannya dalam perbicaraan sivil bahawa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes Liwat I, memberitahunya bahawa bekas Peguam Negara Allahyarham Tan Sri Mokhtar Abdullah dan pendakwaraya ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail, mahu beliau membuat laporan polis palsu bahawa ahli politik itu mencederakan dirinya dalam insiden mata lebam.
Ramli bagaimanapun enggan berbuat demikian.
Mahkamah Persekutuan Isnin lalu memutuskan tidak ada keperluan memanggil Ramli kerana ia bukan dalam skop Peraturan 137, Akta Mahkamah Kehakiman 1964, di mana permohonan untuk mengemukakan keterangan lanjut dibuat semasa prosiding dan bukan ketika semakan semula.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin juga memutuskan bahawa ia tidak menepati Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CJA).
Hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Mahkamah tertinggi itu juga memutuskan bahawa bukti Ramli, yang diberi pada perbicaraan sivil yang berasingan, tidak relevan dengan kes itu.

Hakim baru untuk mendengar semakan?

Mahkamah yang diketuai Hakim Zulkefli menetapkan 21 Julai untuk mendengar semakan bagi sabitan dan hukuman Liwat II. Bagaimanapun, berikutan permohonan Anwar mengkaji semula keputusan itu, hakim baru mungkin perlu dibentuk.
Ini berikutan semua hakim di Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mendengar kes Liwat II.
Anwar didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Balia Yusof Wahi, Datuk Wira Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh. Balia dan Aziah baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.
Hakim lain di Mahkamah Persekutuan yang tidak pernah mendengar kes Liwat II adalah Hakim Azahar Mohamed. Bagaimanapun, beliau adalah salah seorang pendakwa dalam perbicaraan Liwat I.
Ini bermakna hakim baru mungkin perlu terdiri daripada hakim Mahkamah Rayuan bagi mendengar semakan permohonan ini di Mahkamah Persekutuan. Sivarasa berkata ini akan menjadi masalah bagi mahkamah untuk mencari penyelesaian.
Peguam utama dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Gopal Sri Ram juga memberitahu Malaysiakini bahawa mahkamah tidak boleh membuat keputusan untuk tidak memanggil Ramli tanpa mendengar keterangan pertama.
Beliau juga berpendapat hakim baru perlu dilantik jika semakan semula keputusan Isnin lalu mendapat lampu hijau.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger