Home » » Macam mana roti High-5 boleh ‘bungkus’, tanya pekerja

Macam mana roti High-5 boleh ‘bungkus’, tanya pekerja

Written By canang on Khamis, 30 Jun 2016 | 6/30/2016 08:30:00 PTG

 Pembuat High-5 merupakan sebahagian daripada Silverbird Group, yang pernah dikaitkan dengan Lembaga Tabung Haji.

SUBANG JAYA: Bekas pekerja syarikat yang mengeluarkan roti berjenama High-5 mempersoalkan bagaimana pembuat roti yang merupakan antara terbesar di negara ini boleh muflis.
H. Thanaselan, 37, yang pernah bekerja sebagai penyelia kewangannya, berkata pihak pengurusan pernah memaklumkan syarikat roti itu mengalami kerugian sebanyak RM26 juta.
“Tunjukkan bukti kenapa rugi. Kita mahu bukti macam mana boleh muflis.
“Takkanlah syarikat ini tidak ada untung, kalau syarikat kilang roti lain pun boleh jual roti, apatah lagi High Five,” katanya kepada pemberita di luar lobi Jabatan Tenaga Kerja hari ini.
Beliau dan kira-kira 59 bekas pekerja hadir membuat aduan menuntut pampasan berhubung pemberhentian mengejut 24 jam oleh High-5 Consolidated Bhd, dan pemberian setengah bulan gaji olehnya.
High-5 Consolidated Bhd pernah menjadi sebahagian Silverbird Group Berhad.
Februari lalu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mendedahkan Lembaga Tabung Haji pernah membeli saham Silverbird, tetapi kemudian rugi RM98 juta.
Thaneselan memohon kerajaan campur tangan dan berkata kehilangan kerja menyukarkan mereka yang bakal menyambut Aidilfitri.
Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) A Sivarajan dalam pada itu mendakwa pemegang saham dan pihak pengurusan syarikat tersebut mengetahui kedudukan High-5 sejak tiga bulan yang lalu menerusi maklumat yang diperolehinya dari Suruhanjaya Syraikat Malaysia (SSM), tetapi tidak menjelaskan kepada pekerja.
“Liquidator (pelikuidasi) pihak yang berkelayakan membuat cairan aset sudah masuk pada Mac 2016. Kalau syarikat itu akan bankrup dan aset akan dicairkan, liquidator akan masuk ke syarikat itu,” katanya.
Sivarajan berkata, pihaknya dan bekas pekerja syarikat itu akan memanjangkan isu ini kepada Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya esok.
Sebelum ini, High-5 menyatakan tidak mempunyai pilihan lain selain menghentikan operasi kerana arahan mahkamah untuk menutup premis pada 3 Julai.
Bagaimanapun, High-5 tidak menjelaskan arahan mahkamah itu.
High-5 turut menafikan memberi notis pemberhentian 24 jam kepada pekerjanya sebaliknya notis yang diberikan berkuat kuasa dalam tempoh sebulan sehingga 22 Julai akan datang
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger