Home » » Tentera Turki lancar rampasan kuasa

Tentera Turki lancar rampasan kuasa

Written By canang on Sabtu, 16 Julai 2016 | 7/16/2016 10:30:00 PG


ANKARA: Elemen tentera Turki mengumumkan pihaknya telah merampas kuasa di negara ini pada Sabtu, mencetuskan pertempuran berdarah di Istanbul dan Ankara.

Seorang jurugambar AFP melihat tentera menembak ke arah orang ramai yang berkumpul berhampiran salah sebuah jambatan Bosphorus di Istanbul dan agensi berita Anadolu yang dikendalikan negeri melaporkan bahawa Parlimen di Ankara telah dibom.

Tidak dapat dipastikan siapa yang menguasai negara NATO strategik dengan penduduk seramai 80 juta orang itu ketika kereta kebal dilihat di sekitar jalanan dan letupan demi letupan bergema di dua bandar terbesar di negara ini.

Pada awal malam, Presiden Recep Tayyip Erdogan yang kelihatan menggigil, muncul di kaca televisyen dari lokasi yang tidak diketahui, menegaskan beliau masih berkuasa dan berikrar tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melakukan tindakan rampasan itu.

"Saya amat percaya pihak yang merancang rampasan kuasa ini tidak akan berjaya," katanya, bercakap dari telefon bimbit melalui FaceTime.

Kepanikan global timbul dengan perkembangan itu, ketika sumber presiden mengatakan, jet pejuang F-16 telah menembak jatuh sebuah helikopter yang dirampas oleh komplot rampasan kuasa itu.

Stesen televisyen negeri TRT berkata, tentera telah mengisytiharkan undang-undang tentera dan perintah berkurung, dalam satu kenyataan yang ditandatangani kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Council for Peace in the Homeland (Majlis Keamanan di Tanah Air).

"Kuasa dalam negara ini telah dirampas secara keseluruhannya," kata kenyataan itu.

Katanya, rampasan kuasa itu telah dilancarkan "untuk memastikan dan mengembalikan pemerintahan berperlembagaan, demokrasi, hak asasi manusia dan kebebasan dan membenarkan keluhuran undang-undang di negara ini diguna pakai, bagi memulihkan keadaan yang terganggu".

Masih belum jelas sama ada cubaan pengambilalihan itu disokong dengan meluas oleh pihak tentera, atau hanya beberapa unsur di dalam pasukan itu.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger