Home » » Filem Kabali gambarkan polis Malaysia jahat – CAP

Filem Kabali gambarkan polis Malaysia jahat – CAP

Written By canang on Ahad, 7 Ogos 2016 | 8/07/2016 10:35:00 PTG

Malaysia nampaknya melakukan sesuatu yang tidak wajar apabila membenarkan filem Tamil Kabali melakukan penggambaran dan ditayangkan di sini walaupun menerima sambutan hebat daripada penggemar aktor Ranjinikanth.
Filem ini menonjolkan terlalu banyak aksi ganas dan kehidupan golongan samseng di sekitar watak utamanya, Kabaleeswaran ataupun Kabali, di sepanjang tayangan filem tersebut.
Ironinya, pada ketika Malaysia sedang berusaha keras untuk membanteras kegiatan samseng dan keganasan, kerajaan telah membenarkan filem itu melakukan penggambaran di sini pada penghujung 2015 sementara tayangan perdananya pada 21 Julai tahun ini.
Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata cuma beberapa saat dari beberapa adegan dalam filem Kabali yang ditapis iaitu cuma sekadar 5 minit daripada keseluruhan waktu tayangannya.
Tidak ada apa yang perlu dibanggakan kerana filem itu memaparkan adegan ganas dalam setiap 3-5 minit tayangan filem itu dan ini termasuklah:
  • Kabali dengan sengaja merempuh keretanya ke arah penyeludup dadah dan membunuhnya dengan serta merta.
  • Salah seorang teman Kabali, Jeeva, dipotong tangannya oleh ketua kumpulan samseng, Tony Lee, yang kemudian menghantar kotak berisi tangan Jeeva kepada Kabali.
  • Kabali menembak tangan Tony dengan menggunakan pump gun.
  • Kabali menusuk pisau ke kerongkong konco Tony.
Datuk Abdul Halim menambah, LPF cuma memendekkan tempoh tayangan adegan ganas tersebut.
Sendiri leka
Tujuan memendekkan adegan keganasan ialah bagi membolehkan lebih ramai penonton di Malaysia menyaksikan filem tersebut.
Dengan berbuat demikian, Kabali diberikan rating P13 yang bermaksud kanak-kanak di bawah usia 13 tahun boleh menontonnya di bawah pengawasan ibu bapa atau orang dewasa.
Bagaimanakah ibu bapa hendak memantau anak mereka sedangkan orang dewasa sendiri leka dengan filem tersebut?

Dalam ertikata lain, kanak-kanak boleh menontonnya sendiri tanpa pengawasan sekalipun dengan rating yang ada.
Kesan keganasan dalam media kepada penonton sudah dilakukan kajian yang mendalam.
Pada Julai 2016, Akademi Pediatrik Amerika menyebut bahawa “cara kanak-kanak dan remaja terdedah kepada unsur-unsur ganas dalam ‘diet media’ mereka apabila mereka melayari aplikasi media sosial, bermain permainan video dan menonton filem boleh menjadikan mereka bertambah agresif dan menakutkan.”
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tergamam apabila mendapati filem itu mempromosi Kabali sebagai samseng yang dermawan serta tidak ada kaitannya dengan dadah dan pelacuran.
Samseng dermawan
Namun apa yang membimbangkan ialah Kabali asyik membunuh di dalam filem itu dan mesej yang ingin disampaikan seolah-olah kegiatan jenayah tidak ada salahnya asalkan seseorang itu bersifat dermawan.
CAP berasa bimbang pengajaran dari filem tersebut ke atas remaja kita adalah:
  • Tidak ada salahnya menjadi samseng asalkan anda menjalankan projek-projek yang bersifat dermawan atau disamari sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (Kabali menyokong Free Life Foundation).
  • Di sebalik tidak diterima oleh masyarakat, anda masih dihormati dan menjalani gaya hidup mewah. Bayangkan apabila Kabali dibebaskan dari penjara, kira-kira 3.5 minit tayangannya dihabiskan untuk menunjukkan ahli-ahli kumpulan meraikan kepulangannya dengan meriah.
  • Polis Malaysia adalah penjahat, sepertimana yang disarankan oleh filem berkenaan.
  • Keganasan dan kegiatan samseng disokong oleh pemimpin politik kita dan penyokong mereka yang menghadiri tayangan perdana filem berkenaan pada 21 Julai lalu.
Mungkin disebabkan sebahagian besar penggambaran filem Kabali dilakukan di Malaysia, maka ia menjadi filem Tamil pertama yang dialih suara ke Bahasa Malaysia dan ditayangkan di beberapa buah pawagam.
Ini akan menyebar-luaskan tanggapan yang salah mengenai nilai-nilai penduduk Malaysia kepada lebih ramai penonton.
Bagaimanapun CAP berpendapat Malaysia dipromosikan secara negatif dengan mendedahkan lebih ramai remaja kita kepada kehidupan yang dipenuhi jenayah, balas dendam dan keganasan yang glamor.
Tambahan pula, CAP berasa bimbang mengenai adegan dalam filem itu yang menyampaikan mesej bahawa polis Malaysia mendapatkan bantuan penjenayah sebagai pembunuh upahan.
Fikirlah sendiri apa tanggapan anda selepas melihat adegan ini.
Seks dan keganasan
Di penghujung filem Kabali, seorang pegawai polis kelihatan menyerahkan sepucuk senjata kepada Tiger di dalam bilik soal siasat sementara seorang pegawai kanan polis melihatnya melalui cermin sehala.
Tiger kemudian kelihatan mamakai baju “hoodie” sambil berjalan ke arah Kabali dalam satu majlis anjuran Free Life Foundation. Skrin kemudian menjadi gelap dan kedengaran bunyi tembakan.
Sungguhpun pihak LPF telah meminta dibuat ubahsuai kepada filem berkenaan dengan memasukkan “pengajaran bahawa jenayah tidak ada faedahnya, adegan ganas yang banyak dalam filem Kabali seolah-olah menenggelamkan pengajaran yang sedikit itu.
Terdapat satu kenyataan pada penghujung tayangan filem itu yang menyebut: “Akhirnya Kabali menyerah diri kepada pihak polis” tetapi ia tidak meyakinkan langsung.
Kenyataan itu hanya dipaparkan untuk tontonan penonton di Malaysia tetapi bukan di seluruh dunia. Adakah ini menyarankan bahawa polis Malaysia menyokong hukuman extra-judicial?
Sehubungan itu CAP menuntut pengharaman sepenuhnya semua filem yang memaparkan seks dan keganasan kerana ia tidak memberi sebarang manfaat dan sebaliknya membawa masyarakat ke arah kemerosotan akhlak.
Sejak sekian lama CAP telah berkali-kali menggesa agar pihak berkuasa menyingkirkan media yang hanya mencetuskan masalah sosial.
*SM Mohamed Idris adalah Presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger