Home » » Bandar Malaysia atau bandar China, soal bekas duta ke Canada

Bandar Malaysia atau bandar China, soal bekas duta ke Canada

Written By canang on Isnin, 31 Oktober 2016 | 10/31/2016 07:24:00 PTG

 Diplomat veteran itu memberi amaran China kini semakin rakus di Malaysia meluaskan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara.
KUALA LUMPUR: Bandar Malaysia bakal menyaksikan peluasan kuasa ekonomi China ke atas Malaysia, malah projek terbesar di bawah syarikat kontroversi 1MDB itu dilihat lebih menguntungkan Beijing di sebalik kemaraannya yang sudah tidak dapat dibendung lagi di rantau ini, kata seorang bekas duta Malaysia.
Bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Canada, Datuk Dennis Ignatius, menyuarakan kebimbangan itu dalam penulisannya yang diterbitkan FMT semalam.
Dennis menganggap penglibatan besar China dalam ekonomi di Malaysia dan negara serantau sebagai rentetan sejarah lama kemaraan China dalam menghadapi pesaing politik dan ekonomi, termasuk projek besar Laluan Sutera Baharu yang diilhamkan 3 tahun lalu bagi mewujudkan rangkaian antarabangsa menghubungkan China dengan 60 ekonomi Asia dan Eropah.
Beliau berkata China dilihat mesra dengan kerajaan korup dan kuku besi, dan ini dilihat menerusi penglibatan luas dalam ekonomi Myanmar di kemuncak pemerintahan junta tentera.
“Dilihat secara menyeluruh, projek pelaburan yang tersebar luas di rantau itu memberikan gambaran sebuah negara yang tekad menggunakan pengaruh kekayaan dan ekonomi bagi menguasai rantau itu,” kata Dennis, ahli diplomat veteran dengan lebih 3 dekad pengalaman berkhidmat di beberapa negara termasuk China, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Bandar Malaysia ‘ibu negara’ serantau China
Dennis menganggap di antara pelaburan China yang paling memberikan kesan ialah Bandar Malaysia, yang menurutnya boleh dianggap “ibu negeri serantau” bagi China.
Menurutnya, projek kelolaan 1MDB yang memakan belanja 4 kali ganda membina Putrajaya, bukan sahaja akan mengganggu pasaran hartanah, tetapi juga meningkatkan masalah kesesakan di Kuala Lumpur di samping menyaksikan kebanjiran beribu-ribu rakyat tanah besar China.
“Sudah tentu kebanyakan ruang rumah dan pejabat di Bandar Malaysia akan dimiliki warga China, yang kewujudan mereka sudah pun bertambah di pasaran hartanah,” katanya.
Beliau turut meragui hasil keuntungan daripada projek itu kepada ekonomi Malaysia, sebaliknya berkata ia lebih menguntungkan China.
Bandar Malaysia bakal meliputi kawasan seluas 196 hektar di Sungai Besi, yang ketika ini pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan bakal dihubungkan dengan projek kembarnya, Tun Razak Exchange. Ia termasuk ruang pejabat dan perniagaan, serta hampir 30,000 unit kediaman.
Dennis berkata China sejak kebelakangan ini lebih berminat dalam pelbagai projek mega di Malaysia dalam agenda peluasan kuasanya di rantau Asia Tenggara.
Ia dapat dilihat menerusi pemberian pelbagai kontrak besar dan tukar milik aset negara kepada China, susulan suntikan dana daripada syarikat China kepada beberapa entiti bermasalah 1MDB.
China Railway dianugerahkan projek landasan kembar elektrik Gemas-Johor Bahru bernilai RM7.13 bilion, projek landasan kereta api Timur Laut bernilai RM55 bilion, dan hampir pasti menerima projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura bernilai RM60 bilion,” kata Dennis.
Ini ditambah dengan projek sedia ada yang sudah pun diserahkan kepada China seperti Melaka Gateway bernilai RM43 bilion di samping projek utama jambatan kedua Pulau Pinang.
“Adakah terdapat perjanjian sulit bagi memastikan China menerima semua projek infrastruktur mega di Malaysia?” soal beliau.
Share this article :

1 ulasan:

mazmad berkata...

UMNO beri pada Cina..
Tak lama lagi Malaysia akan menjadi sebahagian Dari wilayah Cina.
Gara-gara UNNO..
DAP pun tak buat begitu.
.

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger