Home » » Penjawat awam tak suka Bajet 2017? Berhentilah, kata JASA

Penjawat awam tak suka Bajet 2017? Berhentilah, kata JASA

Written By canang on Isnin, 24 Oktober 2016 | 10/24/2016 07:58:00 PTG

Penasihat Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz meminta para penjawat awam yang 'menentang' Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini meletakkan jawatan.
Bekas exco Pemuda Umno itu berkata, jika penjawat awam yang tidak menyokong kerajaan meletakkan jawatan, masih ramai rakyat negara ini yang akan mengisi kekosongan jawatan tersebut.
"Apa khabar penjawat awam? Kalau rasa tak boleh jadi penjawat awam yang baik dan menyokong kerajaan, sila letak jawatan.
"Ramai yang nak ganti..," kata beliau dalam laman tweetnya.
'Permintaan' Tun Faisal itu agak menghairankan kerana Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) belum mengeluarkan apa-apa kenyataan apatah lagi yang berbaur negatif berkenaan pembentangan Bajet 2017.
Semasa pembentangan belanjawan tersebut, kakitangan awam yang mengharapkan bonus pada Bajet 2017 kecewa kerana apabila Najib hanya mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 yang akan dibayar kepada 1.6 juta penjawat awam.
"Kepada kakitangan awam, saya tahu kamu tak tidur lena jika saya tidak mengumumkan perkara ini. Saya ada berita baik.
"Sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan yang terpuji oleh penjawat awam, saya dengan sukacitanya mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam dan bayaran khas sebanyak RM250 untuk pesara kerajaan.
“Bayaran ini akan dibuat pada awal Januari 2017," kata Najib.
Ini adalah tahun kedua kakitangan awam diberikan 'bantuan khas' dan bukannya bonus.
Namun begitu, Najib turut mengumumkan kelayakan pinjaman perumahan untuk penjawat awam dinaikkan daripada serendah RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi pula daripada RM600,000 kepada RM750,000.
“Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal untuk penjawat awam akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000,” ujar Najib.
Beliau turut mengumumkan kemudahan pembiayaan untuk pembelian komputer diperluaskan meliputi pembelian telefon pintar dengan had pinjaman sehingga RM5,000 untuk setiap tiga tahun.
“Kontrak pegawai penjawat awam yang terlibat dengan contract of service dan contract for service yang akan tamat penghujung tahun ini, akan dilanjutkan sekurang-kurangnya setahun lagi.
“Selain itu, sebanyak 30,000 unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia akan disiapkan dengan harga jualan antara RM90,000 hingga ke RM300,000,” katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger