Home » » Pergi mampus Obama, kata presiden Filipina

Pergi mampus Obama, kata presiden Filipina

Written By canang on Khamis, 6 Oktober 2016 | 10/06/2016 01:16:00 PTG


Duterte berkata, beliau sudah hilang rasa hormat kepada AS dan mengugut akan memutuskan hubungan dengan Washington, kerana Obama mengkritik kempen memerangi dadahnya.
MANILA: Presiden Filipina melabelkan Amerika Syarikat sebagai hipokrit dan mengugut akan menamatkan kerjasama sejak beberapa dekad lalu dengan Washington, kerana mengkritik tindakannya memerangi dadah melalui pembunuhan.
Rodrigo Duterte juga memberi amaran latihan ketenteraan tahunan antara kedua-dua negara yang baru bermula, mungkin menjadi latihan terakhir selagi beliau berkuasa.
“Saya sudah hilang rasa hormat kepada Amerika. Encik Obama, awak boleh pergi mampus,” katanya menerusi 2 ucapan berhubung gesaan AS, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah supaya menghormati hak asasi manusia.
“Akhirnya, saya mungkin dalam penggal saya, putus (hubungan) dengan Amerika. Saya lebih suka pergi kepada Rusia atau China. Walaupun kami tidak setuju dengan ideologi mereka, mereka menghormati orang lain. Hormat itu penting.”
Duterte yang dilantik sebagai presiden Filipina pada 30 Jun lalu berkata, keutamaannya sepanjang 6 tahun ini adalah membasmi dadah di negara itu dan beliau “gembira menyembelih” 3 juta penagih dadah untuk mencapai matlamatnya.
Statistik rasmi menunjukkan lebih 3,000 orang maut dalam perang jenayah, setakat ini, dan Duterte bertegas tidak melanggar undang-undang kerana polis hanya membunuh untuk mempertahankan diri, manakala banyak kematian lain disebabkan pergaduhan geng.
Seorang wakil hak asasi PBB pernah memberi amaran kepada Duterte yang beliau mungkin melanggar undang-undang antarabangsa dengan hasutan untuk membunuh.
Bulan lalu, Obama membatalkan pertemuan dengan Duterte kerana menyifatkan Obama sebagai “anak haram” pada 5 September lalu.
Hubungan ketenteraan Manila dan Washington bertambah kukuh sejak beberapa tahun ini, sebahagiannya disebabkan tindakan Beijing menuntut dan merampas beberapa kawasan di Laut China Selatan.
China menuntut hampir semua kawasan di Laut China Selatan, malah perairan berhampiran Filipina dan negara Asia Tenggara lain serta membina kepulauan buatan manusia di kawasan perebutan yang mampu menempatkan pangkalan tentera.
Sehubungan itu, bekas Presiden Filipina, Benigno Aquino bertindak merapatkan hubungan dengan AS, termasuk memeterai pakatan pertahanan baru dan mengambil tindakan undang-undang antarabangsa disokong PBB terhadap China yang menyaksikan tuntutan Beijing ke atas Laut China Selatan diisytiharkan haram.
Bagaimanapun, Duterte bertindak sebaliknya dengan memberi amaran beliau akan membatalkan pakatan baru itu dan tidak akan menyertai rondaan bersama AS di Laut China Selatan.
Semalam, Duterte meminta rakyatnya tidak bergantung dan mempercayai AS, kerana Washington tidak akan berjuang bermati-matian untuk Manila.sumber
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger