Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini
hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam bagi menuntut penjelasan
berhubung status tanah yang diragui di sekitar daerah tersebut.
Beliau yang juga pemimpin Baju Merah tiba kira-kira pukul 10.30 pagi tadi bersama beberapa penyokongnya.
Ketua Umno Sungai Besar mendakwa, terdapat tapak tanah yang diduduki dan
dibangunkan tanpa kebenaran dan lesen sah, memetik laporan Utusan Online.
Beberapa hari yang lalu, Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) merobohkan
resort milik Jamal di Sekinchan selepas menghantar notis perintah tutup
pada sebelah pagi.
Notis bertarikh 22 Disember itu antara lainnya menyebut pemilik Sekin
Fisherman Village Hotel & Resort menjalankan aktiviti perhotelan
tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.
Notis juga menyebut pemeriksaan MDSB mendapati Jamal telah melakukan
kesalahan tersebut di atas Lot 13081,13082 dan 13083 Jalan Pantai
Redang, Sekinchan.
Jamal pula dalam catatan di Facebook mendakwa arahan perobohan itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.
“Kerja-kerja meroboh permis perniagaan saya oleh Majlis Daerah Sabak Bernam sedang dilakukan atas arahan MB.
“Pagi tampal notis petang ini roboh. Ini adalah tindakan balas dendam
oleh kerajaan negeri terhadap kelantangan saya mengkritik kerajaan di
bawah pimpinan Azmin Ali.
“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepentingan rakyat Selangor yang derita dengan masalah air yang tidak ada,” katanya.
Terdahulu, Jamal tampil dengan hanya bertuala ke bangunan Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk tumpang mandi di pejabat
menteri besar Selangor.
Beliau turut membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes
terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di
negeri itu. - Malaysiakini
1 ulasan:
Jangan berselindung di sebalik nama NGO...kau patut guna nama UMNO..
Bullshit punya Jamal.
Catat Ulasan