TAWAU: Seorang suspek warga Indonesia yang ditahan dalam operasi
khas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Tanjung Batu malam
kelmarin mendakwa mendapatkan kad pengenalan (MyKad) palsu daripada
seorang individu bergelar ‘Datuk’.
Asnahwati, 22, berkata perkara itu bermula selepas seorang wanita
dikenali sebagai Hajah Jamilah yang baru berpindah di kampung itu pada
Mac lalu menawarkan boleh mendapatkan MyKad dengan hanya membuat
pembayaran sebanyak RM5, 000.
”Ketika itu ada kenduri di kampung, wanita itu mungkin mengetahui kami
ingin pulang ke negara asal untuk membuat pasport, lalu dia memanggil
saya dan menawarkan boleh mendapatkan MyKad palsu dengan bayaran
RM5,000,” katanya ketika ditemui sewaktu operasi khas itu sedang
berjalan.
Menurutnya, tawaran yang dilakukan oleh Hajah Jamilah itu dianggap
sebagai rezeki yang datang bergolek dan tidak terfikir itu sebagai satu
sindiket penipuan.
”Wanita itu dan anaknya telah membawa saya
dan keluarga berjumpa seorang lelaki dikenalkan sebagai ‘Datuk’
yang menurutnya dipercayai sebagai bekas pengarah sebuah agensi
kerajaan.
”Kami ada berjumpa ‘Datuk’ itu dan dia menunjukkan satu sistem untuk
memproses MyKad dan memberitahu supaya ‘jangan kamu risau, ini selamat’,
saya yang melihat sistem itu percaya bulat-bulat dan memberitahu ahli
keluarga yang lain,” katanya yang juga janda anak satu.
Asnahwati berkata dia bersama ibu dan kakaknya kemudian mengambil
keputusan untuk membelanjakan wang simpanan yang sepatutnya digunakan
untuk pulang ke negara asal bagi membuat pasport telah melaburkan duit
itu demi MyKad tersebut.
”Kami dijanjikan menerima MyKad itu dalam tempoh dua minggu selepas
pembayaran dan selepas itu, tiga abang saya termasuk abang kembar dan
ayah saya juga ikut membuat MyKad tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya, dia dan keluarga telah membelanjakan RM16,000 secara
keseluruhan bagi mendapat MyKad palsu itu.
”Saya dan ibu membayar RM5,000 untuk setiap satu MyKad manakala yang
lain hanya dikenakan bayaran RM3,000 tetapi ada yang belum membayar
(hutang) lagi dan, malam ini baru saya tahu kami sekeluarga telah
ditipu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, seorang wanita warga Filipina, Ziana Jalil, 30, yang
turut ditahan dalam operasi berasingan di sebuah hotel di bandar Tawau
kelmarin berkata dia membeli MyKad yang digunanya sejak dua minggu lalu
itu dengan nilai RM1,000.
Katanya, selepas menerima MyKad itu, dia turut ditawarkan menjadi
‘Runner’ oleh dua dalang utama sindiket yang membuat kad pengenalan
palsu miliknya itu sebagai bayaran kepada MyKad yang dibelinya itu.
”Saya diminta oleh dua lelaki tempatan ini untuk mengambil gambar dan
cap jari daripada pembeli MyKad lain,” katanya yang mendakwa bekerja di
sebuah restoran dan berasal dari Kg Bakau di Semporna.
Menurutnya, dia mengenali kedua-dua lelaki itu selepas dikenalkan oleh
rakannya yang lain.
Terdahulu, dalam operasi itu seramai 10 individu termasuk dua lelaki
tempatan iaitu dalang utama sindiket kad pengenalan palsu ditahan dalam
operasi khas JPN yang dijalankan di sebuah hotel dan rumah di Kg Tanjung
Batu.
Operasi selama enam jam bermula pukul 9 malam dan berakhir jam 1.30 pagi
itu berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan MyKad terbesar di
Tawau dan daerah sekitar.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN,
Mohamad Yusri Hashim ketika ditanya mengenai dakwaan Asnahwati itu
berkata, pihaknya sedang meningkatkan jaringan mengesan sindiket itu.
”Kami tidak menolak sebarang kemungkinan terhadap perkara itu,” katanya
ketika dihubungi. – NewSabahTimes
1 ulasan:
Rasuah...rasuah...rasuah...itulah Malaysia
.
Catat Ulasan