Home » » Lebih RM125 Juta Akaun Bank, Aset Majikan Gaji Pati Akan Dibeku - Imigresen

Lebih RM125 Juta Akaun Bank, Aset Majikan Gaji Pati Akan Dibeku - Imigresen

Written By canang on Ahad, 8 Januari 2017 | 1/08/2017 08:26:00 PTG

PUTRAJAYA - Lebih RM125 juta wang tunai di dalam akaun bank dan aset milik 15 majikan yang kini dalam siasatan Jabatan Imigresen akan dibekukan kerana melindungi dan menggaji pekerja asing tanpa izin (Pati).

Ia merupakan hasil siasatan Jabatan Imigresen dalam tempoh tiga bulan lalu selepas penguatkuasaan tindakan untuk membekukan aset majikan yang didapati melakukan kesalahan di bawah pelbagai akta sejak 1 Oktober lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali mendedahkan pihaknya kini dalam proses untuk mengambil tindakan ke atas tiga daripada 15 majikan tersebut dengan membekukan akaun bank dengan nilai terkumpul wang tunai sebanyak RM25 juta.

"Tiga kes ini dalam proses tindakan pembekuan akaun bank dan jumlah wang yang dikenalpasti itu belum termasuk pembekuan ke atas aset mereka yang lain.

"Baki 12 kes lagi melibatkan akaun bernilai lebih RM100 juta sedang dalam proses siasatan terakhir sebelum tindakan pembekuan dilakukan oleh Jabatan Imigresen," katanya.

Menurut beliau, kebanyakan majikan yang dikenal pasti itu merupakan syarikat dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di sekitar Lembah Klang.

"Kesemua kes ini disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang mana tindakan boleh diambil seperti membekukan aset dan akaun bank.

"Kes turut disiasat melibatkan Akta Imigresen 1959/63, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 dan Akta Pasport 1966," kata Mustafar.



Sepanjang proses siasatan, Mustafar berkata, tindakan tegas akan diambil dengan membeku dan menyita sebelum melucutkan hak harta menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada 27 September lalu, Jabatan Imigresen menubuhkan unit Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001, bagi melakukan siasatan terhadap majikan yang melindungi dan menggaji Pati.

Unit yang dianggotai sejumlah pegawai jabatan dari ibu pejabat dan semua cawangan negeri-negeri itu turut mendapat kerjasama Jabatan Peguam Negara.

Mustafar berkata, lebih banyak lagi majikan akan diburu Jabatan Imigresen di atas kesalahan melindungi dan menggaji Pati.

"Setakat ini, 15 kes baharu telah kita perolehi dalam tempoh tiga bulan pertama selepas tindakan membeku aset dikuatkuasakan, maka lebih banyak majikan yang melakukan kesalahan akan dikesan," katanya yang merujuk kepada analisis pengkaji jenayah bahawa "jika satu kes dilaporkan, ada 10 lagi kes belum dilaporkan".

Mustafar menegaskan bahawa tindakan membekukan aset majikan adalah bertujuan untuk menangani masalah lambakan Pati di negara ini.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa pekerja asing sememangnya menjadi keperluan industri di negara ini tetapi majikan seharusnya bertanggungjawab mematuhi undang-undang dengan menggaji mereka secara sah.

"Apa yang kita kuatkuasakan ini adalah demi kedaulatan, kesejahteraan dan keselamatan negara," ujar Mustafar.

Menurut Mustafar, terdapat majikan yang menggaji Pati tetapi mereka tampil dengan mendaftar pekerja menerusi Program Penggajian dan Penempatan Semula Pendatang Asing Tanpa Izin (Program Rehiring).

Selain itu, katanya, Jabatan Imigresen turut memperkenalkan program 3+1 iaitu program penyerahan diri secara sukarela untuk Pati pulang ke negara asal.

Mengikut rekod Jabatan Imigresen, seramai 50,243 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditangkap sepanjang 2016.

Bagi tempoh sama, 1,174 majikan dan 24 ejen atau sindiket yang ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti melindungi atau menggaji Pati.

Sumber: mStar
Share this article :

1 ulasan:

mazmad berkata...

Malaysia memang terkenal diseluruh dunia dengan rasuah...
Malu...malu..!

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger