Persoalan tentang bilakah berlakunya kiamat adalah antara perkara samiyat. Umat Islam wajib percaya kiamat akan berlaku cuma tarikhnya yang menjadi rahsia Allah SWT. Bagaimanapun, kebelakangan ini, masyarakat disogokkan dengan berita kononnya akan berlaku perlanggaran besar antara bumi dan planet Nibiru. Mitos perlanggaran planet Nibiru bukan perkara baru.
Sejak beberapa tahun lalu sudah terbit beberapa buah buku berkaitan ramalan tentang 2012 ini. Buku-buku ini dikarang oleh penulis kontemporari, menjelaskan pendapat daripada banyak pakar dan bidang.
Apa yang menarik, buku-buku ini mendapat perhatian umum dan laris seperti pisang goreng panas.
Buktinya, ada judul yang berjaya menduduki tangga teratas buku paling laris di rumah-rumah penerbitan dan rangkaian kedai buku utama.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Biro Multimedia & Penerbitan Sekretariat Ulama Muda UMNO, Mohd. Riduan Khairi bagi mengupas isu ini.
MEGA: Siapakah yang bertanggungjawab mengutarakan kisah ini?
RIDUAN: Individu yang bertanggungjawab pertama kali mengutarakan kisah ini ialah Notramadus, seorang ahli falsafah Perancis pada tahun 1535.
Beliau terkenal kerana membuat ramalan mengenai masa depan. Asal perkataan Nibiru diambil daripada nama tuhan dalam bahasa Babylon.
Menurut ramalan asal Notramadus, perlanggaran itu sepatutnya berlaku pada tahun 2003. Kemudian ia ditukar kepada tahun 2012 berdasarkan kalendar kaum Mayan di Amerika Tengah.
Ini kerana ramalan Notramadus dibuat berdasarkan kalendar ini, dan tarikh kalendar ini berakhir ialah pada 21 Disember 2012. Setakat ini sahaja pun sudah menunjukkan betapa fatalnya dakwaan perlanggaran Planet Nibiru.
Oleh kerana tidak ada apa-apa berlaku pada tahun 2003, maka ia ditunda hingga tahun 2012. Alasannya mudah, kerana 2012 merupakan tarikh terakhir dalam kalendar.
Sebenarnya, ramalan-ramalan tidak berasas begini mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat umum dan umat Islam secara khasnya.
Apakah kesan ramalan begini kepada umat manusia?
RIDUAN: Mengadakan ramalan begini sudah semestinya menimbulkan keresahan di kalangan manusia. Persis seperti mana yang berlaku pada tahun 1999 menjelang tahun 2000. Ketika itu heboh dikatakan tentang virus Y2K.
Kononnya semua peralatan elektronik akan mengalami gangguan. Ini bukan perkara kecil, kerana ia akan melibatkan sistem kerajaan, perjalanan pesawat penerbangan, sistem lalu lintas dan banyak perkara lain lagi.
Kemudian alaf baru pun menjelma, sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku melainkan beberapa perkara kecil sahaja yang bersifat teknikal.
Ternyata propaganda ini disebar-luaskan oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti syarikat pengeluar anti virus dan syarikat yang menjalankan penyelenggaraan sistem.
Namun kita masih belum dapat mengesan apakah agenda di sebalik tersebarnya berita perlanggaran Planet Nibiru ini.
Apakah produk yang akan dikeluarkan untuk menangani atau menghadapi peristiwa besar ini? Ataukah ada pihak yang akan menyediakan kem perlindungan berbayar atau pesawat untuk menyelamatkan diri seperti yang dilukiskan dalam filem-filem animasi?
Apa pula hujah ahli astronomi dalam hal ini?
RIDUAN: Dakwaan dan ramalan tentang ruang angkasa dan apa yang berlaku di luar ruangan atmosfera, mungkin dapat dipercayai ribuan tahun dahulu. Namun pada hari ini, sudah ada satelit dan alat pencerap untuk menyemak kebenaran dakwaan ini.
Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Mohd. Fairos Asilan menjelaskan: “Jika benar Planet Nibiru ini akan melanggar bumi pada tahun 2012, sudah tentu ia sangat hampir dengan bumi dan kita sudah lama mengesannya.”
Tambah beliau: “Dunia mempunyai banyak program pemantauan angkasa dan sistem teleskop kita boleh mengesan benda yang jauh sehingga beribu-ribu tahun cahaya.”
Kenyataan beliau disokong oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili ketika berucap di Dewan Negara. Beliau memberitahu bahawa dakwaan Planet Biru akan melanggar bumi dan menyebabkan kerosakan teruk pada tahun 2012 adalah tidak benar. Kewujudan Planet Biru pun masih diragui.
Home »
» Mitos Nibiru, kiamat 2012
Mitos Nibiru, kiamat 2012
Written By canang on Rabu, 29 Disember 2010 | 12/29/2010 11:33:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan