Khamis, 30 Disember 2010

Pemborosan RM12 juta Dan Keselamatan Bumi 1Malaysia

Bahawasanya negara yang kini di bawah pentadbiran Perdana Menteri yang dikaitkan dengan kes Altantuya oleh Wikileaks telah menyaksikan pertumbuhan pembandaran yang ketara semenjak 1990-an; bahawa penduduk di kawasan bandar telah bertambah pada kadar purata 4.6% setahun sepanjang tempoh 1990 hingga 2000 tetapi peningkatan tersebut menurun kepada 2.2% sepanjang tempoh 2000 hingga 2009, maka si Perdana Menteri terpaksa menunjukkan teladan dengan menerbangkan diri sebanyak 274 hari semenjak mengambil alih tampuk pentadbiran pada April 2009 dan membelanjakan hampir RM9 juta untuk menggalakkan penghijrahan besar-besaran penduduk desa ke bandar dan mempamerkan gaya perbelanjaan pemimpin 1Malaysia kepada penduduk bandar.

Aku percaya penduduk desa yang rata-rata melayari laman sesawang tercari-cari bahan bacaan atau bahan berita dalam bentuk penulisan Bahasa Melayu, apabila terbaca pendedahan yang dibuat oleh Senator Syed Husin Ali (gambar kiri) mengenai gaya perbelanjaan Perdana Menteri yang berperut buncit, tidak kurang terperanjatnya berbanding dengan otak durianaku semasa meneliti butiran berkaitan!

42 urusan rasmi menelan hampir RM9 juta

Butiran lanjut yang didedahkan oleh Senator di Dewan Negara menunjukkan dengan jelas sekali bahawa Perdana Menteri berperut buncit telah membelanjakan sebanyak RM8,724,894.91 wang rakyat untuk urusan rasmi 42 kali sebanyak 274 hari di luar negara. Maksudnya sehari sebanyak RM31,840.50 telah dibelanjakan!

Sebelum penduduk desa dan kampung Cina Tenang di dalam Daerah Segamat sempat mempelajari gaya perbelanjaan Perdana Menteri berperut buncit, si "Menteri Melancong" dari planet melancong telah membuktikan bahawa Perdana Menteri berperut buncit bukan satu-satunya pemimpin Barang Naik (BN) yang mempamerkan gaya perbelanjaan yang begitu memboroskan.

Apabila diteliti jawapan yang diperolehi Ahli Parlimen Batu Tian Chua (gambar kanan) pada 19 Oktober 2010 dan dibandingkan dengan jawapan yang diperolehi Senator dua bulan selepas itu, otak durianku mendapati pola perbelanjaan yang sama dipamerkan oleh kedua-dua Perdana Menteri dan Menteri Melancong.

Jika lawatan luar negara pertama Perdana Menteri 1Malaysia ke Thailand pada 10 April 2009 - seminggu selepas beliau mengambil-alih pentadbiran - menelan belanja sebanyak RM78,507, lawatan luar negara pertama Menteri Melancong ke China pada 23 April 2009 pula menelan belanja sebanyak RM84,810.

Jika Perdana Menteri berperut buncit telah membelanjakan sebanyak RM8,724,894 wang rakyat untuk urusan rasmi di luar negara, Menteri Melancong pula membelanjakan sebanyak RM3,262,363 wang rakyat untuk urusan rasmi di luar negara. Jumlahkan kedua-dua angka di atas maka kita dapat hampir RM12 juta.

Peluang 20 ribu orang terbang KL-Phuket

Tahukah berapa ramai penduduk desa yang dapat menerbangkan diri ke luar negara selama lima hari jika wang rakyat sebanyak RM12 juta digunakan oleh Perdana Menteri berperut buncit dan Menteri Melancong untuk membiayai harga tiket penerbangan penduduk desa melalui perkhidmatan AirAsia sekitar 28 Disember 2010 hingga 3 Januari 2011?

Jawapannya: Untuk penerbangan Kuala Lumpur-Phuket, Thailand, wang rakyat sebanyak RM12 juta dapat menampung penerbangan penduduk desa sekurang-kurangnya 20 ribu orang! Atau untuk penerbangan Kuala Lumpur-Hangzhou (Shanghai), China, wang rakyat sebanyak RM12 juta dapat menampung penerbangan penduduk desa sekurang-kurangnya 17 ribu orang!

Hal ini bermaksud, jika sekiranya Perdana Menteri berperut buncit tidak mempamerkan gaya perbelanjaan yang memboroskan semenjak memulakan lawatan pertama beliau ke Thailand, Menteri Melancong juga tidak mempamerkan gaya perbelanjaan yang memboroskan semenjak memulakan lawatan pertama beliau ke China, maka beribu-ribu penduduk desa dapatlah menikmati pengalaman menerbangkan diri ke Thailand atau China.

Penerbangan ke luar negara antara kriteria kualiti hidup

Dewasa ini, penerbangan ke luar negara merupakan antara kriteria kualiti hidup dunia 1Malaysia. Menurut jawapan Perdana Menteri kepada soalan Ahli Parlimen Pulai Nur Jazlan Mohamed bertarikh 19 Mac 2009, Indeks Kualiti Hidup Malaysia (MQLI) telah menetapkan sebelas komponen yang mencorakkan kualiti hidup penduduk Malaysia merangkumi komponen-komponen berikut:

1. pendapatan dan pengagihan
2. persekitaran kerja
3. pengangkutan dan komunikasi
4. kesihatan
5. pendidikan
6. perumahan
7. alam sekitar
8. kehidupan keluarga
9. penyertaan sosial
10. keselamatan awam
11. kebudayaan dan hiburan

Sementara bumi 1Malaysia kini diselubungi suasana kematian penduduk 1Malaysia dan penduduk bukan 1Malaysia akibat kemalangan bas satu per satu, kita tidak lagi mengharapkan keselamatan awam dari segi kemalangan jalan raya dapat dijamin oleh Kerajaan 1Malaysia secara berkesan selagi Puspakom dibenarkan memiliki status monopoli dan gaji minimum yang berpatutan untuk sektor pemandu bas tidak ditetapkan tanpa dilengah-lengahkan lagi.

Kini, dalam sanubari kita, yang lebih meyakinkan bukanlah keselamatan jalan raya dunia 1Malaysia yang penuh dengan babak-babak kematian yang dahsyat tetapi keselamatan udara "above bumi 1Malaysia" yang menjadi mod pengangkutan pilihan Perdana Menteri berperut Buncit dan Menteri Melancong. Penerbangan AirAsia yang tergolong dalam komponen ketiga "pengangkutan dan komunikasi" yang mencorakkan gaya hidup berkualiti tanpa mengira perbezaan warna kulit, darah bangsa atau fahaman agama. 1Malaysia tidak memainkan peranan dalam hal ini.

Berdasarkan gaya perbelanjaan boros Perdana Menteri berperut buncit dan Menteri melancong, aku pasti pemimpin 1Malaysia setuju dengan hujah otak durianku bahawa keselamatan jalan raya tidak terjamin dalam dunia 1Malaysia. Keselamatan jalan raya terjamin hanya "above bumi 1Malaysia".

Menurut Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK 10), "terdapat hubung kait yang rapat antara corak pembangunan dengan kemajuan ekonomi. Kemajuan ekonomi membolehkan rakyat menikmati kualiti hidup yang tinggi. Dari segi yang lain, rakyat dan aktiviti ekonomi akan tertumpu ke arah tempat yang berdaya maju, seterusnya membentuk pertumbuhan kluster yang menjana faedah melalui pengaglomeratan ekonomi, produktiviti dan inovasi. Menyedari hal ini, Kerajaan akan menyusun strategi untuk pertumbuhan tertumpu di konurbasi bandar."

"Above bumi 1Malaysia"

1Malaysia kini dicorakkan oleh gaya perbelanjaan Menteri Melancong yang boros lagi memboroskan. Ini merugikan Perdana Menteri berperut buncit yang beria-ia mahu mempromosi strategi APCO-1Malaysia melalui penerbangan beliau sebanyak 42 kali dan sebanyak 274 hari "above bumi 1Malaysia".

Sesungguhnya, Aku yang berperut buncit ingin menyarankan kepada Perdana Menteri berperut buncit: Jangan lupa dibuang Menteri Melancong ke planet melancong dalam rombakan kabinet akan datang dengan kadar segera dan memberikan peluang penerbangan kepada penduduk desa dan kampung Cina dari Tenang, Segamat.

Percayalah otak durianku, ini strategi jangka pendek terbaik untuk pertumbuhan tertumpu di konurbasi bandar. Penduduk desa yang berpeluang menerbangkan diri akan berhijrah ke bandar bagi menikmati kualiti hidup bandar yang above piawaian bumi 1Malaysia. Dengan berbuat begitu, aku percaya penduduk desa lambat laun akan berhijrah secara besar-besaran ke bandar dan membantu menjayakan salah satu daripada matlamat RMKe-10. Tak perlu perkhidmatan APCO-1Malaysia, semua penduduk bandar yang pernah mengalami penghijrahan tahu akan strategi ini.

Pesanan khusus otak durianku untuk penduduk desa dan kampung Cina Tenang, Segamat. Sekiranya Perdana Menteri Berperut buncit dan Menteri Melancong tidak meminta maaf atas pemborosan RM12 juta malahan terus-menerus mengamalkan gaya perbelanjaan boros menggunakan wang rakyat sebanyak RM12 juta, baik kita semua berhijrah ke bandar Singapura dan berjumpa dengan Perdana Menteri Singapura menanyakan kesahihan komen pegawai-pegawai diplomatik Singapura khususnya Bilahari Kausikan yang mengatakan bahawa: "Masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa. Najib Razak (gambar kiri) perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa".

Yang menghairankan, Bilahari Kausikan masih mengetuai rombongan perwakilan Singapura dalam Mesyuarat Pasukan Pelaksanaan Bersama Malaysia-Singapura pada 22 Disember 2010 berhubung isu tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tanpa menghadapi bantahan sekeras-kerasnya daripada pemimpin 1Malaysia!

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.