Home »
» Najib Altantuya,1Malaysia,1Tragedi,Nizar News:Kehadiran lima atau enam kubur lama 100 tahun 20 meter dari kem aktiviti
Najib Altantuya,1Malaysia,1Tragedi,Nizar News:Kehadiran lima atau enam kubur lama 100 tahun 20 meter dari kem aktiviti
Written By canang on Ahad, 1 November 2009 | 11/01/2009 09:08:00 PTG
Kehadiran lima atau enam kubur lama yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari kawasan kem aktiviti Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan bersebelahan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di sini, mencetus tanda tanya di kalangan penduduk tempatan.
Sebahagian besar mereka yang ditemui juga tidak mengetahui mengenai kewujudan kubur itu yang dipercayai berusia lebih 100 tahun berdasarkan persekitarannya yang dipenuhi belukar dan terletak jauh dari kawasan penempatan penduduk serta menggunakan batu kapur sebagai batu nesan.
Ketua Kampung Changkat Jering Mukim Kampar, Tajuddin Sulaiman, 59, berkata dia sendiri tidak mengetahui asal usul kubur berkenaan, apatah lagi generasi muda di kampung itu.
“Saya hanya mengetahui mengenai kewujudannya daripada arwah datuk saya yang pernah bercerita mengenainya. Namun saya tidak menolak kemungkinan kubur berkenaan milik penduduk asal Kuala Dipang,” katanya.Ditanya mengenai kewujudan kubur itu dan kaitannya dengan dakwaan Tok Batin Pos Dipang, Bah Sermu Bah Udin, 45, kawasan sekitar kem berkenaan ‘keras’ Tajudin berkata perkara itu sukar untuk dibuktikan
“Sebagai hamba-Nya, kita sedia maklum mengenai kewujudan makhluk halus. Bagaimanapun, saya tidak mahu mengaitkannya dengan kejadian jambatan gantung runtuh yang berlaku baru-baru ini kerana semua itu kuasa-Nya.
“Cuma satu saja saya boleh nasihatkan kepada pihak penganjur kem terbabit iaitu supaya lebih berwaspada dan mengutamakan keselamatan pesertanya pada masa depan. Saya juga meminta mereka memberitahu peserta kem pada masa depan supaya menjaga tingkah laku dan tidak bermulut cabul,” katanya ketika ditemui, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam Isnin lalu itu, 22 murid sekolah yang menyertai Kem 1Malaysia di Pusat Kokurikulum PPD Kinta Selatan berkenaan jatuh ke dalam sungai ketika menyeberangi jambatan gantung apabila salah satu tiang utamanya runtuh menyebabkan tiga lemas.
Seramai 19 mangsa berjaya diselamatkan manakala tiga lagi dihanyutkan arus deras Sungai Kampar. Tiga murid sekolah rendah yang lemas dalam kejadian menyayat hati itu dikenali sebagai N Dina Deve, 12, M Devatharshini, 11, dan V Divyashree, 12.
Sementara itu, Apa Bengal, 60, penduduk Orang Asli di Pos Dipang yang menemui kawasan perkuburan lama itu kira-kira 10 tahun lalu, turut mendakwa kawasan tapak kem berkenaan keras.
“Ketika kali pertama menemui tapak perkuburan ini, darah saya tiba-tiba berderau dan bulu saya meremang. Terdapat lima atau enam kubur lama termasuk satu kubur besar dipercayai milik golongan bangsawan.
“Saya bersama beberapa rakan terus melarikan diri kerana berasa tidak sedap hati. Saya sudah biasa masuk dalam hutan dan mengetahui di mana kawasan keras dan sebaliknya,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan