Home » » Jalaluddin Hassan Dikatakan Ada Isteri Kedua

Jalaluddin Hassan Dikatakan Ada Isteri Kedua

Written By canang on Rabu, 25 Ogos 2010 | 8/25/2010 12:30:00 PG

TIGA hari lalu, aktor tersohor Datuk Jalaluddin Hassan (gambar) tergamam apabila menerima ucapan tahniah di atas perkahwinan keduanya daripada seorang rakan artis menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pada mulanya, rakannya itu menghantar SMS ucapan ‘selamat berpuasa’ namun setelah dia membalas SMS itu, dia menerima SMS keduanya yang berbunyi: "Saya rasa belum terlambat ucap tahniah kerana baru mendirikan masjid".

Ucapan itu bukan sahaja membuatkan Jalaluddin terkejut malah tertanya-tanya siapa yang mendirikan masjid dan daripada siapa rakannya mendapat sumber berita itu.

“Saya beritahu dia, dalam bulan baik ini, saya mengaku yang saya mempunyai seorang isteri sahaja. Selepas itu dia meminta maaf kepada saya,” kata Jalaluddin yang sedang menjalani penggambaran drama 13 episod berjudul Makbul untuk RTM di Kedah.

Makbul diarah dan diterbitkan oleh Asri Alias manakala skripnya ditulis oleh Zabidi Mohamed terbitan Unit Drama TV Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bercerita tentang Makbul, ada perkara menarik yang mahu dikongsikan.

Bukan sahaja dari segi penceritaan, malah dia juga memuji lakonan seorang pendatang baru, pelakon teater terkenal di negeri Kedah, M Yushazizi Yusof, 30, yang melakonkan watak Bol.

Drama yang akan disiarkan pada awal tahun depan itu turut membariskan Kartina Aziz (Jamiah), Fathil Dani (Imam Rosdi), Khatijah Tan (Hajah Yam), Dr Samat Salleh (Penghulu), Zakaria Yusoff (Pak Aji), Badrul Munir Md Isa (Haji Salim) dan Bustamam Haron (Haji Badar).

Selain itu Mubarak Majid turut berlakon sebagai Ustaz Rahim, Wan Maimunah (Rosnah), Isa Mean (Burn), Kazaruddin Saisi (Jamil), Zulkifli Ismail (Datuk Burhan), Sheila Mambo (Datin Zurina), Pak Lah Cecupak (Agus) dan Abu Bakar Juah (Datuk Kahar).

“Drama ini bukan sahaja menghiburkan malah turut padat dengan mesej yang berguna. Banyak yang saya belajar dalam drama ini, yang pasti kita tidak boleh hidup tanpa berdoa kepada Allah. Apabila berdoa, hati kita kena bersih. Kita juga perlu ikhlas dengan orang lain,” ujarnya yang melakonkan watak Anuar.

Makbul mengisahkan kehidupan seorang kontraktor, Anuar yang kurang mempercayai keberkatan doa dalam kehidupan seorang Muslim. Anuar berpendapat setiap kejayaan yang dimilikinya adalah hasil daripada usaha gigih dan kebijaksanaannya.

Krisis ekonomi dunia telah menjejaskan syarikat miliknya. Pada masa yang sama syarikatnya mendapat tender kerajaan untuk membina sebuah kolej.

Syarikatnya berdepan dengan masalah untuk mendapatkan pembiayaan bank menyebabkan dia membuka pintu hati untuk menaja 12 orang kampungnya menunaikan umrah dengan tujuan untuk mendoakan beliau mendapat kelulusan pinjaman bank nanti.

Suatu hari, dia bertemu dengan salah seorang penduduk kampung bernama Bol yang teringin mengerjakan umrah. Dia merupakan pemuda kampung yang lurus bendul dan sering kali diperlekehkan oleh sesetengah masyarakat setempat di kampung berkenaan.

Akhirnya Bol diberi peluang menggantikan tempat Imam Rosdi (Fathil Dani) untuk menunaikan umrah walaupun pada mulanya Anuar menolak untuk menghantar pemuda itu kerana buta huruf.

Pelbagai peristiwa berlaku selepas jemaah pulang dari Tanah Suci yang membuatkan penduduk kampung beranggapan Anuar seorang 'wali'.

Anuar berasa tertekan dan pelik dengan gelaran itu dan akhirnya bersembunyi di rumah Bol untuk mengelakkan daripada orang kampung yang selalu mendesaknya mendoakan apa yang mereka hajati.

Mengenai aktiviti bulan Ramadan jadual waktu Jalaluddin sangat padat. Dia akan terlibat dengan penggambaran drama Pasukan Gerakan Marin untuk TV9 di Pulau Pinang pada 27 hingga 30 Ogos ini selepas selesai penggambaran Makbul.

Pada 28 Ogos, dia akan pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani raptai Hari Kemerdekaan.

Dia akan terlibat dengan sambutan Hari Kemerdekaan bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan melafazkan ikrar dalam perhimpunan seawal 6 pagi pada 31 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger