Home »
» | PRN Sarawak | PRN Sarawak: Sudah Ada Ura-ura Untuk Melompat?
| PRN Sarawak | PRN Sarawak: Sudah Ada Ura-ura Untuk Melompat?
Written By canang on Jumaat, 15 April 2011 | 4/15/2011 10:48:00 PG
Apabila Semenanjung digegarkan oleh isu wakil rakyat melompat parti pasca PRU12, orang ramai bagai terlupa fenomena yang sudah lama berakar di Sabah dan Sarawak. Isu ini mengocaki politik pasca PRU12 di Semenanjung apabila Anwar Ibrahim menguar-uarkan bahawa 30 orang ahli Parlimen BN akan melompat kepada Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan baru. Kemudian apa yang terjadi ialah tumbangnya kerajaan Perak sebagai ganti projek 16 September. Dengan dua peristiwa ini, peminat politik pun bagaikan lupa bahawa isu melompat ini adalah gejala yang telah lama mengotori politik negeri-negeri di Kepulauan Borneo itu.
Kini, fenomena ini bagaikan tidak boleh dielakkan lagi daripada menggoncangkan politik Sarawak pasca PRN. Siapakah yang berani menyanggah kemungkinan ini? Ada beberapa faktor mengapa situasi ini dijangka berlaku. Faktor-faktor ini akan semakin jelas apabila keputusan PRN diketahui sepenuhnya lewat malam 16 April nanti.
Di pihak BN, mereka tidak rela terlucut kuasa. Kehilangan kuasa menjurus ke arah kehilangan segala-galanya - harta, jawatan dan maruah. Mereka juga memerlukan majority 2/3 demi sebuah kerajaan yang selesa. Hajat mereka mampu disokong oleh kuasa tawar-menawar dan perang saraf yang lebih mengancam.
Di pihak PR pula, pakatan ini mempunyai daya tarikan sebagai sebuah model politik baru yang mampu memikat lebih-lebih lagi jika parti ini mampu membentuk kerajaan baru. Wakil rakyat mungkin tidak bertindah bodoh untuk melompat kepada parti yang tewas. Tetapi sekiranya situasi Perak berlaku, mereka tidak menolak kemungkinan untuk berada bersama parti masa depan.
Di pihak SNAP dan calon bebas pula, lagi sukar untuk meyakini bahawa wakil rakyat mereka akan kekal bersama SNAP atau menjadi wakil rakyat bebas. Sama ada SNAP dan wakil rakyat bebas akan bersama BN atau PR, akan dapat dilihat apabila keputusan PRN diketahui nanti. Tidak perlu menunggu lama untuk melihat aksi-aksi yang menarik ini.
Adakah kerajaan negeri yang terbentuk nanti menjadi sebuah kerajaan tanpa integriti? Inikah kerajaan yang kita mahu? Sudah pasti rakyat tidak mengingininya. Pihak yang amat haloba dengan kerajaan tidak bermoral ini ialah BN. Lompat-melompat sentiasa menyebelahi BN kerana mereka berada di pihak yang berkuasa dan berkemampuan. Sebab itulah mereka tidak pernah ingin membicarakan keburukan lompat-melompat parti ini. Kalau mereka sebuah kerajaan yang berintegriti dan bermoral, sudah lama mereka akan menggubalkan akta anti-lompat.
Justeru itu apakah mesej tulisan ini? Jawapannya ialah ‘AWAS Pakatan Rakyat’. Jangan dalam kita sibuk menjangkakan kemenangan yang lebih baik berbanding 2006, kita terlupa untuk ‘bersama’ dengan setiap wakil rakyat kita selepas malam 16 April nanti. Ingat, pelanduk selalu melupakan jerat sedangkan jerat tidak pernah melupakan pelanduk."
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan