Home » » Ketuk ketampi bogel 2005: K'jaan bayar pampasan

Ketuk ketampi bogel 2005: K'jaan bayar pampasan

Written By canang on Rabu, 27 Julai 2011 | 7/27/2011 07:04:00 PTG


Penderitaan wanita berusia 28 tahun yang dipaksa membuat ketuk ketampi dalam keadaan berbogel sambil dirakamkan oleh pihak polis di balai Petaling Jaya berakhir hari ini apabila mereka yang bertanggungjawab dan kerajaan bersetuju membayar pampasan.
Penyelesaian kes itu dicatatkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Lau Bee Lan. Bagaimanapun jumlah pampasan yang dibayar itu tidak didedahkan.

Hemy Hamisa Abu Hasan Saari, yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai tiga orang anak juga tidak hadir di mahkamah hari ini.

Beliau diwakili oleh peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Hazizah Kasim manakala kerajaan diwakili oleh Nor Mastura Ayob.

Mimpi ngerinya bermula enam tahun lalu apabila video yang dirakamkan diedarkan sehingga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja terpaksa ditubuhkan dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Dzaiddin Abdullah.

Ketika memfailkan saman ke atas kerajaan pada 29 Ogos 2006, Hemy berkata apa yang berlaku “adalah tidak adil” kepada dirinya kerana dimalukan sedemikian di khalayak umum oleh tindakan polis berkenaan.

Hemy memfailkan saman itu dengan menamakan Mohd Dzulfatah Saari (ketika itu berpangkat konstabel), yang didakwa membuat rakaman berkenaan ketika dia sedang melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan berbogel, dan kerajaan selaku responden.

Ganti rugi

Dia menuntut ganti rugi am berjumlah lebih RM250,000, ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Peguam Baljit Singh (kiri), yang mewakili surirumah berkenaan, memberitahu pemberita bahawa anak guamnya bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah berikutan cadangan oleh responden.

Ditanya mengenai kuantum ganti rugi, beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengumumkan jumlahnya.

Pada Januari 2006, kerajaan meluluskan peraturan melarang tahanan yang bogelkan membuat ketuk ketampi dan mencangkung selepas panel inkuiri mendapati tindakan itu bukan sahaja menghina tetapi mencabuli hak asasi manusia serta tidak dapat diterima mengikut Islam.

Bagaimanapun sehingga hari, pihak berkuasa masih meneruskan amalan ketuk ketampi sambil berbogel bagi mencari dadah atau barangan lain yang disembunyikan di bahagian tertentu tubuh seseorang.

Memiliki dadah

Dalam pernyataan tuntutannya, Hemy 28, berkata polis menahannya antara 1 dan 2 pagi pada 29 Jun, 2005 kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Katanya rakaman video itu tersebar luar sama ada melalui telefon bimbit, media cetak atau Internet.

Susulan insiden itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan pada 2005, untuk mengenal pasti identiti wanita terbabit. Suruhanjaya berkenaan mendapati wanita yang dipaparkan dalam rakaman video itu semasa sedang melakukan ketuk-ketampi dalam keadaan bogel adalah Hemy.

Hemy berkata suruhanjaya itu turut membuat keputusan bahawa mengarahkan seseorang tahanan untuk melakukan ketuk-ketampi tanpa berpakaian adalah salah dan tidak sah mengikut undang-undang.

Dalam pembelaannya, defendan berkata ketuk-ketampi adalah amalan biasa yang dilakukan ke atas suspek kes dadah sebelum mereka dihantar ke lokap polis.

Baljit juga berkata Mahkamah Majistret Petaling Jaya menetapkan 8 Ogos untuk membuat keputusan terhadap Hemy Hamisa yang didakwa memiliki dadah bersama lima orang yang lain.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger