Home » » Jumlah penganut Kristian tukar agama di Sabah lebih ramai daripada dilaporkan

Jumlah penganut Kristian tukar agama di Sabah lebih ramai daripada dilaporkan

Written By canang on Jumaat, 24 Januari 2014 | 1/24/2014 12:00:00 PTG


Lebih ramai penganut Kristian di pedalaman menukar agama kepada Islam daripada apa yang dilaporkan, menurut satu mesyuarat paderi Kristian diKota Kinabalu.
Mesyuarat tergempar itu diadakan pada Rabu selepas The Malaysian Insider melaporkan penganut Kristian di kawasan pedalaman Pitas diperdayakan untuk meninggalkan agama tersebut selepas diberikan ganjaran RM100.
Laporan berita sebelum ini berkata, 64 penduduk termasuk kanak-kanak daripada tiga kampung di pedalaman Sabah di daerah Pitas iaitu Kampung Layung Maliau, Dowokon dan Sosop ditipu sebelum diislamkan semasa hari tahun baru.
“Ya, ia berlaku seperti apa yang diberitahu orang kita,” kata Presiden Gereja Protestan Sabah (PCS), Rev Jensey Mojuin kepada The Malaysian Insider.
Mojuin sebelum ini berkata, mereka bimbang dengan “laporan tidak rasmi” tentang apa yang berlaku terhadap penganut agama tersebut di Kudat, Kota Marudu, Kanibongan, Paitan dan Pitas.
Terdapat juga laporan tidak rasmi mengatakan terdapat penukaran agama berlaku secara paksa di utara dan timur Sabah.
Kumpulan Kristian di negeri tersebut, termasuk parti politik daripada kedua-dua kerajaan dan pembangkang bersatu untuk menghalang usaha menukar agama penduduk pedalaman ini.
Mojuin berkata, mesyuarat tersebut sudah bersetuju gereja perlu mengadakan kempen kesedaran di kalangan ahli mereka dengan menganjurkan seminar dan bengkel.
“Kami masih merangka program seminar. Satu mesyuarat akan diadakan bagi memutuskan tarikh seminar itu,” katanya.
Bimbang untuk mengulas panjang isu sensitif itu, Mojuin berkata, badan bukan kerajaan (NGO) Islam sudah mengurangkan “aktiviti” mereka selepas insiden pertukaran agama di Pitas tempoh hari mendapat perhatian media.
Katanya, gereja lain yang terdiri daripada kumpulan orang asli di kawasan pedalaman juga diselubungi isu sama dan beliau menggesa Majlis Kristian Sabah (SCC) mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu ini.
Esok, NGO Kristian daripada suku kaum orang Asli iaitu Perpaduan Anak Negeri Sabah (PAN) akan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kebebasan beragama dengan mengadakan acara "mamangkis" di bandar pelancongan Ranau kira-kira 108 kilometer dari Kota Kinabalu.
"Mamangkis" merupakan satu upacara Kadazan Dusun Murut yang digunakan oleh nenek moyang mereka bagi menyeru pahlawan ke medan perang tetapi sekarang acara itu diadaptasi bagi menyeru semangat kebangkitan.
PAN berkata, mamangkis di Penampang pada hujung tahun lalu diadakan setelah percubaan melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah seperti mana dalam Perjanjian Malaysia.
“50 tahun satu masa yang panjang tetapi terma yang kami persetujui untuk menjadi sebuah negara besar dan baru masih segar dalam ingatan.
“Kami dikhianati. Tiada pengkhianatan yang lebih besar melainkan dikhianati oleh keluarga sendiri,” kata PAN.
Sebahagian daripada mereka dari Kampung Layung Maliau yang ditukarkan agamanya kepada Islam berkata kepada The Malaysian Insider awal minggu ini, jiran mereka yang diperkenalkan dengan NGO Islam pada hari tahun baru menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM800.
Pada hari tahun baru, mereka pergi ke Pitas untuk mendapatkan wang tetapi diarahkan pergi ke masjid.
Setibanya di masjid, mereka dikehendaki menandatangani borang yang tidak diketahui kandungannya kerana buta huruf yang kemudiannya diminta mengucap “kalimah asing”.
Sebahagian daripada mereka yang menyimpan borang itu menunjukkan kepada pemimpin gereja yang kemudiannya memberitahu borang kebenaran itu menyatakan mereka menukar agama dengan kerelaan hati. – 24 Januari, 2014.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger