Home » » Setelah setahun, apa hasil siasatan bunuh Tim Pengarah Kastam?

Setelah setahun, apa hasil siasatan bunuh Tim Pengarah Kastam?

Written By canang on Isnin, 19 Mei 2014 | 5/19/2014 06:13:00 PTG


Setelah setahun, apa hasil siasatan bunuh Tim Pengarah Kastam?
KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa diminta mendedahkan status siasatan kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah II, Kastam Diraja Malaysia, Datuk Shaharuddin Ibrahim setahun selepas Allahyarham mati ditembak.
Kejadian yang berlaku pada 26 April 2013 tatkala kempen pilihan raya umum ke-13 rancak berjalan berlaku ketika Allahyarham Shaharuddin dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya.
Ketika membangkitkan hal ini, Ahli Parlimen Serdang Dr Kian Ming Ong berkata, pada waktu kejadian itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dilaporkan tidak boleh menerima hakikat pegawai penguatkuasa menjadi mangsa dan penjenayah terbabit “seolah-olah mencabar pihak berkuasa".
Namun katanya, setelah lebih setahun kemudian, tiada sebarang perkembangan berhubung siasatan kes bunuh itu dilaporkan.
Menurut beliau, tahun lalu anak Allahyarham Shaharuddin mendakwa suspek bunuh ayahnya mempunyai kaitan dengan penyiasatan terhadap sindiket penyeludupan kereta di Langkawi.
“Pada Ogos 2013, Mohd Akhtar Shaharuddin melahirkan kekecewaan bahawa selepas empat bulan ayahnya dibunuh, penyiasatan polis tidak menemukan sebarang perkembangan.
“Mohd Akhtar menegaskan daripada akhir bulan April 2013, beliau tidak menerima sebarang panggilan telefon daripada polis memaklumkan status terkini penyiasatan mereka,” kata Ong.
Ong menambah, pejabat beliau dan pejabat Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, telah menerima banyak aduan dan laporan daripada penjual kereta terpakai yang telah membeli kereta dari Langkawi dengan rekod kastam dan JPJ tetapi akhirnya mendapati dokumen tersebut sebagai palsu.
"Mereka hanya menyedari perkara tersebut apabila menerima surat daripada Kastam yang mengarahkan mereka membayar cukai eksais dan import berjumlah puluhan ribu ringgit bagi setiap kereta.
"Sebahagian peniaga ini mempunyai banyak kereta (yang dibeli dari Langkawi) menyebabkan jumlah tunggakan bayaran kepada pihak Kastam berjumlah ratusan ribu ringgit. Para peniaga ini telah membuat report polis dan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun sehingga kini tiada sebarang jawapan diberikan pihak polis mahupun SPRM,” ujarnya.
Menurut Ong, ini bukanlah kes terpencil kerana pada 21 Mac 2013, Jabatan Kastam telah mengeluarkan kenyataan berjaya mengesan 368 kenderaan yang didaftarkan di Pejabat Kastam Langkawi menggunakan borang perisytiharan palsu tanpa bayaran cukai dan eksais.
Beberapa minggu lalu, tambahnya sebilangan peniaga kereta terbabit telah ditawarkan diskaun 50 peratus oleh pihak Kastam bagi menjelaskan cukai dan duti yang belum berbayar atau kenderaan mereka akan disita.
"Ini secara jelas suatu ketidakadilan kerana ia hanya menghukum mereka yang menjadi mangsa dan bukannya pihak yang melakukan penipuan," tegas Ong.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kastam agar tidak menyita kenderaan para peniaga terbabit sehingga penyiasatan menyeluruh oleh polis dan SPRM dilakukan berhubung borang perisytiharan kastam palsu tersebut.
Beliau turut menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, untuk bertanggungjawab terhadap keluarga Allahyarham Shaharuddin dengan melakukan siasatan ke atas pembunuhan beliau dan memberikan maklumat berhubung perkembangan siasatan kepada keluarga Allahyarham.
"Jangan mematahkan harapan keluarga 'Mr Clean' terhadap keadilan yang tertangguh. Sehingga kini kita melihat mereka yang menjadi mangsa dihukum namun penjenayah lepas bebas,” katanya.- HARAKAHDAILY
Artikel Penuh: http://bm.malaysia-chronicle.com.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger