Home » » Liwat II ialah konspirasi politik, peguam Anwar beritahu mahkamah -

Liwat II ialah konspirasi politik, peguam Anwar beritahu mahkamah -

Written By canang on Rabu, 29 Oktober 2014 | 10/29/2014 12:23:00 PTG

Hujah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tuduhan liwat dan sabitan ke atasnya merupakan satu konspirasi politik dibentangkan pada pusingan kedua perbicaraan di Mahkamah Persekutuan petang ini yang sedang mendengar rayuan ketua pembangkang itu bagi mengetepikan keputusan bersalahnya. Peguamnya N Surendran, mengambil alih daripada peguam utama Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam meneruskan hujah pembelaan di hadapan panel hakim lima anggota. Surendran berkata, pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan bertemu pegawai polis kanan SAC Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof pada 24 Jun 2008, sebelum didakwa diliwat pada 26 Jun. Beliau juga bertemu timbalan perdana menteri pada waktu itu, Datuk Seri Najib Razak pada 24 Jun dan berhubung dengan ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Musa Hassan pada 25 Jun 2008, kata Surendran.

Saiful sendiri mengaku mengadakan pertemuan tersebut, Surendran memberitahu Mahkamah Persekutuan. "Ini bukan semata-mata tuduhan konspirasi yang dipetik dari langit. Ada tarikh-tarikh perjumpaan ini," kata beliau. Surendran berkata Anwar menjelaskan kepada mahkamah kenapa beliau memberi kenyataan dari kandang tertuduh semasa perbicaraan "bukan sekali, tetapi lima kali". "Malangnya, Mahkamah Rayuan (dalam penghakimannya) menganggap pernyataan beliau seolah-olah tiada penjelasan," katanya. Tarikh mesyuarat dan pengakuan Saiful merupakan bukti wujud "rancangan yang diatur terlebih dahulu" yang menyokong kenyataan Anwar dari kandang tertuduh, kata Surendran.

Beliau berkata, kenyataan daripada tertuduh seperti itu sepatutnya dipertimbangkan tetapi Mahkamah Rayuan tidak mengendahkannya. Di mahkamah tengah hari ini, Surendran membacakan petikan soal balas Saiful semasa perbicaraan yang dijalankan mendiang Karpal Singh. Petikan itu menunjukkan bukti berlakunya satu konspirasi, kata Surendran. Tetapi, Mahkamah Tinggi tidak mengkaji kenyataan Anwar dari kandang tertuduh dan Mahkamah Rayuan kemudiannya menganggap ia "semata-mata penafian" terhadap tuduhan yang dikenakan.
 Hari pertama perbicaraan hari ini berakhir dengan mahkamah meminta Surendran menyambung hujahnya esok berkenaan relevansi sesuatu pernyataan yang dibuat dari kandang tertuduh. Mahkamah menangguhkan perbicaraan sehingga jam 9.30 pagi esok. Anwar, 67, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah rayuan tetapi diberi penangguhan sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan didengar sehingga Khamis ini. Ketua pembangkang itu dituduh meliwat Saiful di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun 2008. Beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi pada Januari 2012 tetapi didapati bersalah oleh Mahkamah Rayuan pada Mac lalu. Surendran ialah salah seorang yang mewakili Anwar di dalam pasukan pembelaan yang terdiri daripada 14 orang peguam diketuai hakim bersara Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram. Panel hakim yang mendengar rayuan Anwar diketuai Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria, dan dianggotai Tan Sri Raus Sharif, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar serta Datuk Ramly Ali. Kes ini merupakan tuduhan liwat kedua dihadapi Anwar. Pertama kali pada 1998, selepas beliau disingkirkan daripada kerajaan, apabila dituduh meliwat bekas pemandunya. Namun, beliau dibebaskan Mahkamah Persekutuan pada 2004. Kali ini, karier politk Anwar mungkin berakhir jika mahkamah tertinggi memihak kepada keputusan kehakiman Mahkamah Rayuan dan mengekalkan hukumannya. – 28 Oktober, 2014
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger