Home » » 'Kami tak boleh lari daripada dedahkan kebenaran' - Penerbit The Edge

'Kami tak boleh lari daripada dedahkan kebenaran' - Penerbit The Edge

Written By canang on Sabtu, 25 Julai 2015 | 7/25/2015 08:22:00 PTG


HO: Sebagai kumpulan media, kami mempunyai tangungjawab umum walaupun ia sukar dan berbahaya. KUALA LUMPUR: Daripada mengabaikan suatu perkara dan meninggalkannya, The Edge memilih untuk melakukan segalanya supaya kebenaran boleh didedahkan.
 Penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata demikian dalam sebuah kenyataan rasmi hari ini bagi menjelaskan pendirian mereka dalam penyiaran siri laporan berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB). “Ketika itu, kami boleh memilih satu daripada dua pilihan iaitu sama ada mengabaikan sahaja perkara tersebut dan meninggalkannya, ataupun melakukan segalanya demi mendedahkan kebanaran.

“Kami membuat keputusan untuk meneruskan usaha mencari kebenaran,” katanya. Menurut Ho, pada tahun 2013 dan 2014 The Edge telah menyiarkan laporan menyeluruh mengenai 1MDB ketika entiti kerajaan itu berdepan kesulitan kewangan. Bagaimanapun, usaha melaporkan itu menghadapi kesukaran kerana bukan sahaja maklumat yang diperoleh adalah terhad walaupun wartawan The Edge terpaksa berhubung dengan banyak sumber, malah laporan kewangan tahunan juga lambat dikeluarkan. "Pada awal tahun ini, ada seseorang yang mahu berkongsi maklumat tentang usahasama 1MDB dengan PetroSaudi International. Kami tidak mengetahui siapa orang itu sebelum kami dibawa bertemu dengannya.
 "Orang tersebut, yang kami tidak akan namakan, menunjukkan kepada kami ribuan emel dan lampiran dokumen. Setelah melihatnya, kami yakin akan ketulenannya. Malah kami juga merujuk kepada pakar forensik teknologi maklumat untuk memastikan semua dokumen itu asli," jelasnya. Tambah Ho, semua yang dilihat itu mengejutkan pihaknya.

"Apa yang sepatutnya sebuah usahasama yang akan memacu manfaat ekonomi kepada negara telah bertukar menjadi sindiket penipuan berbilion-bilion ringgit dari Malaysia oleh sebuah kumpulan kecil warga Malaysia serta rakan warga asing mereka," katanya. Ho juga menyatakan, dalam mencari kebenaran, tokoh-tokoh politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah pernah berkata bahawa sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat perlu tampil bersuara. Malah menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mahu kebenaran ditunjukkan.

 "Maka sebagai kumpulan media, kami mempunyai tanggungjawab umum walaupun ia sukar dan berbahaya. "Kami tidak terlibat dalam pencurian (maklumat), tidak membayar sesiapa, dan tidak mengubah suai semua emel dan dokumen yang diberikan. Tiada juga agenda atau konspirasi politik terlibat," jelasnya yang percaya artikel yang mereka siarkan telah membantu banyak agensi kerajaan meneliti isu 1MDB.

 The Edge sudahpun menyerahkan semua dokumen, emel yang dicetak dan cakera keras kepada Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial Polis Diraja Malaysia, manakala Ho sendiri telah memberi keterangan kepada Ketua JSJ. "Difahamkan bahawa beberapa badan penyiasat, Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, Bank Negara, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara telah memberi komitmen untuk mencari kebenaran," ujarnya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger