Home » » KHASIAT BUAH NAGA YANG PERLU ANDA TAHU..

KHASIAT BUAH NAGA YANG PERLU ANDA TAHU..

Written By canang on Selasa, 21 Julai 2015 | 7/21/2015 07:00:00 PTG


Buah naga atau ‘dragon fruit’ atau nama saintifiknya Hylocereus Undatus adalah daripada famili Cactaceae.

Pohon ini mempunyai pelbagai nama tempatan seperti Pitaya atau Kaew mang korn di Thailand, Than long (Vietnam), Strawberry pear atau Pitahaya (Amerika Latin), Queen of the night (Amerika Utara), Red dragon fruit atau Fire dragon fruit (Asia), Huo long guo atau Hong long guo (Taiwan)dan Buah naga di Malaysia.

Walau apa pun namanya, buah tersebut tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri, selain mampu menjadi penawar kepada beberapa jenis penyakit berikutan ada khasiatnya yang tersembunyi.

Buah naga ialah tanaman baru yang belum diterokai sepenuhnya di negara kita.

Di Malaysia, kawasan penanaman buah naga ini sangat kecil berbanding dengan tanaman lain seperti tanaman komoditi yang sememangnya diusahakan secara besar-besaran di Malaysia.

Walau bagaimanapun, penanaman buah naga mula mendapat perhatian dan sambutan hangat di Malaysia kerana buah ini mengandungi khasiat yang tinggi.

Pegawai Penyelidik Prinsipal Hortikultur dan Agronomi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Zainudin Meon berkata, buah ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu varieti putih atau nama saintifiknya Hylocereus Undatus, varieti merah (Hylocereus Polyrhizus) dan varieti kuning (Hylocereus Megalanthus).

Walau bagaimanapun, katanya, hanya dua varieti yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu varieti putih dan merah.

“Varieti ini mempunyai sifat tanaman yang berlainan antara satu sama lain. Varieti putih mempunyai batang berwarna hijau putih, bahu yang tinggi dan kasar berbanding dengan varieti merah.

“Tanaman buah naga termasuk dalam kumpulan jenis kaktus, mudah tumbuh di kawasan tropika yang mempunyai sistem saliran baik,” katanya kepada InfoAgro ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.


Sifat buah naga

Beliau berkata, buah naga mempunyai sifat fisiologi ‘long day plant’. Ini bermakna tanaman ini memerlukan tempoh cahaya matahari yang panjang pada waktu siang.
Selain itu, katanya, tumbuhan ini hidup secara menjalar (epipitik) dan memerlukan sokongan untuk tumbuh.

“Oleh sebab itu, ia perlukan para untuk menyokong batangnya yang lembut. Para berfungsi bagi memudahkan batang dan dahannya memanjat dan menjalar,” katanya.

Menurutnya, para diperlukan untuk menahan dahan-dahan buah naga yang keluar nanti, di mana setiap batang tiang konkrit akan ditanam dengan empat batang pokok buah naga.
“Tiang sokongan biasanya diperbuat daripada tiang konkrit, para, konkrit, tayar, besi dan polypipe,” katanya.


Biji benih, keratan batang

Zainudin berkata, pokok buah naga boleh dibiak melalui semaian biji atau keratan batang.

“Penanaman melalui keratan batang lebih baik kerana bahan tanaman mudah diperoleh dan pokok membesar dengan cepat.

Keratan benih tersebut dikeringkan di tempat yang sesuai dan ditanam ke dalam polibeg. Keratan boleh juga terus ditanam di ladang sekiranya tapak dan tiang para sudah disediakan,” katanya.

Menurutnya, pokok yang telah ditanam akan menjalar ke atas mengikut tiang. Pokok yang telah ditanam hendaklah diikat pada tiang supaya ia tidak mudah terkulai dan patah.
“Apabila pokok buah naga sudah membesar dan memenuhi para sokongan, ia hendaklah dijarangkan supaya ia tidak bertindih-tindih. Sulur air (stem) yang memanjang hendaklah dijaga supaya tidak mudah patah,” jelasnya.

Beliau berkata, pokok ini mudah ditanam berikutan ia mudah tumbuh di kawasan yang mempunyai sistem saliran baik.

Walau bagaimanapun, katanya, ia tidak sesuai ditanam di kawasan air yang bertakung.

Selain itu, suhu sekitar 20 hingga 30 darjah celcius dengan taburan hujan antara 500 hingga 1,500 milimeter (mm) adalah sesuai, selain memerlukan tanah yang berpasir dan tanah lom berpasir yang kaya dengan bahan organik.


Pembajaan

Menurutnya, buah naga berbentuk bujur, berwarna merah dan mempunyai sisik.

“Saiz buah yang cukup matang antara 10-15 sentimeter (cm) dan beratnya antara 300 hingga 500 gram (g) sebiji serta mempunyai rasa manis, berbiji-biji halus yang berwarna hitam seperti biji sawi,” katanya.

Bagi mendapatkan buah yang cantik, pembajaan perlu dilakukan.

“Tanaman buah naga memerlukan baja organik untuk pertumbuhan yang baik. Pengapuran adalah perlu dilakukan sekiranya tanah didapati pada pH rendah (masam).
“Lubang tanaman dimasukkan baja organan, CIRP dan juga kapur. Setiap tiang akan ditanam dengan empat keratan benih buah naga. Dianggarkan lebih kurang 2,000 keratan diperlukan bagi 0.4 hektar,” jelasnya.

Menurutnya, sekiranya tanah tersebut adalah lembap dan mempunyai kandungan air tinggi, pengairan tidak perlu.

“Pemberian baja hendaklah diberi secara ‘pemberian split’ atau ‘split application’ dengan kadar bulanan tertentu,” katanya.


Penjagaan danmakhluk perosak

Telah menjadi lumrah alam, setiap tanaman atau tumbuhan mempunyai makhluk perosak dan penyakitnya. Antara makhluk perosak yang biasa menyerang tanaman buah naga ini ialah burung, tupai, tikus dan kelawar.

“Haiwan ini akan makan buah yang sudah masak. Oleh itu penjagaan yang rapi akan dilakukan supaya buah yang dihasilkan tidak rosak atau busuk dan seterusnya tidak boleh dipasarkan.

“Antara perosak lain yang menyerang ialah kumbang Xylopetrus, walaupun tahap seranggannya adalah rendah tetapi perlu diawasi juga. Lalat buah juga boleh dikawal dengan menggunakan kertas atau jaring pembungkus,” jelasnya.

Selain haiwan perosak, katanya, penyakit batang reput (stem rot) disebabkan oleh bakteria Xanthomonas campestris dan penyakit antraknos turut menyerang tanaman ini.

“Penyakit antraknos akan menyebabkan batang mudah reput dan memperlihatkan bandal vaskular. Oleh itu bagi menghalang jangkitan dan penyebaran penyakit, kawasan ladang akan sentiasa dibersihkan dan memastikan tiada sebarang kotoran atau tempat bagi makhluk perosak untuk hidup membiak di ladang,” katanya.

Sementara itu, Dr Zainudin berkata, keseluruhannya, buah ini baik untuk kesihatan dan keperluan harian disebabkan ia kaya dengan zat vitamin dan mineral, amat baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah, mengurangkan tekanan emosi dan meneutralkan toksik dalam badan serta mempunyai kandungan karotin (lycopene) yang tinggi.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget

comment pembaca

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger