Home » » Polis buru Papagomo penyebar berita palsu insiden Low Yat

Polis buru Papagomo penyebar berita palsu insiden Low Yat

Written By canang on Isnin, 13 Julai 2015 | 7/13/2015 11:12:00 PTG


Polis kini sedang memburu penulis blog Papagomo yang didakwa menyebarkan berita palsu sehingga mencetuskan pergaduhan di Plaza Low Yat, Kuala Lumpur, semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Turut akan disiasat ialah anggota polis yang melepaskan rakan yang mengiringi suspek yang dikatakan mencuri telefon itu, sehingga membolehkannya menyebarkan cerita bohong berkenaan insiden itu.

 "Tindakan anggota polis ini (melepaskan rakan suspek) tanpa merujuk pegawai kanan dia. Itu kita akan uruskan dia secara berasingan. "Yang dibebaskan ini, balik buat cerita kata dia ditipu, ini diada-adakan, dan sebagainya. Dan ia digembar-gemburkan dalam media sosial. "Dan antara yang membuat cerita yang tidak betul ini ialah Papagomo, dan beberapa orang lagi. Dan saya arahkan mereka semua ini ditangkap," katanya pada sidang media di Plaza Low Yat sewaktu melawat bangunan itu petang ini.

 Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, tahun lalu diperintahkan membayar saman sebanyak RM850,000 kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyiarkan imej dan kenyataan yang mengaitkan Anwar mengadakan hubungan sejenis dengan lelaki. Sementara itu, Khalid berkata, polis akan terus memantau penyebaran berita tidak benar berkenaan insiden di Plaza Low Yat semalam menerusi media sosial.
 "Kita memantau semua laporan dalam media sosial dan kita akan menangkap mereka yang sengaja menyebarkan berita palsu, berita rusuhan dan sebagainya. "Kita tidak akan biarkan perkara ini dan kita akan ambil tindakan segera," katanya. Beliau juga mengumumkan 19 orang sudah ditahan reman selama 4 hari berhubung insiden semalam yang berusia di antara 19 dan 26 tahun. "Kita sudah tahan semua 19 orang, termasuk yang mula-mula mencuri itu, dan kita sudah dapatkan reman 4 hari," katanya. Beliau turut memberi amaran kepada mereka yang cuba berhimpun sekali lagi malam ini di Plaza Low Yat.

 "Kita akan memantau perkara ini dan kita nasihat mereka yang cuba melakukan himpunan, kita akan ambil tindakan," katanya. – 13 Julai, 2015 - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/polis-buru-papagomo-penyebar-berita-palsu-insiden-low-yat#sthash.zLCwZvkV.IUduAnAF.dpuf
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger